Theflowersellingboy

Sabtu, 30 November 2013

Kenaikan Gaji Ahli-ahli Pentadbiran Negeri dan ADUN; dan Ahli Pentadbiran Persekutuan dan ahli parlimen.



Berbagai reaksi terhadap kenaikan gaji ADUN Selangor. Ada yang menyokong, ada yang bersetuju tapi quantumnya perlu dikaji kerana agak tinggi, dan ada yang tidak bersetuju.
 
Yang nyata bersetuju ialah ADUN itu sendiri, baik ADUN kerajaan (PR) mahupun BN apabila cadangan yang dibentangkan oleh MB tiada tentangan, semua bersetuju.
 
Tetapi di luar dewan ada juga ADUN PR yang tidak setuju kerana terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan. Dalam dewan setuju, luar dewan tidak setuju . Apa punya perangai ADUN itu. Sebaliknya ADUN BN yang bersetuju dalam dewan, bersetuju juga diluar dewan. 
 
Soal tinggi atau rendah adalah subjektif. Orang yang biasa dengan gaji tinggi di sektor korporat, mungkin beranggapan kenaikan itu sebagai perkara biasa. Sebaliknya kepada rakyat berpendapatan rendah dan pekerja sektor awam menganggapnya terlalu tinggi.
 
Perkara kenaikan gaji ADUN ini bagi saya adalah seuatu yang boleh dijangkakan. Mereka juga menghadapi tekanan perbelanjaan. Mereka sentiasa didatangi oleh berbagai pihak terutama rakyat kawasan yang diwakili meminta berbagai bantuan, derma dan sebagainya.
 
Pernah seorang ADUN memberitahu sambil mengeluh , dia mendapat panggilan talipon dari seseorang meminta tolong kerana isterinya hendak bersalin. Dia beritahu hantar saja isteri awak ke hospital. Jawab orang itu, memang dia sedang dalam perjalanan ke hospital, tapi ke hospital swasta untuk mendapat layanan yang lebih baik. Jadi dia perlukan bantuan wang dari ADUN itu.
 
"Apa boleh buat, terpaksa juga saya layan", kata ADUN itu.
 
Itu baru seorang, kalau ramai yang buat perangai macam itu, rabak poket ADUN itu. Biasanya jarang ADUN melayan kehendak dari orang dari kawasan yang diwakili. Rakyat kawasan sentiasa menjemput ADUN untuk berbagai majlis, seperti majlis kahwin , dan mempunyai harapan yang tinggi agar ADUN itu menghulur sumbangan pada tahap yang difikirkan sesuai sebagai ADUN.
 
Maknanya kenaikan gaji ADUN adalah wajar. Cuma quantumnya saja yang boleh dipertikaikan.

Namun, pada pandangan saya, kenaikan di Selangor adalah tinggi. Mungkin MB menyedari bahawa gaji Pengerusi Eksekutif SYABAS terlalu tinggi sangat. Oleh itu gaji MB dan ADUN yang lain wajar dinaikkan aagar jurangnya dapat didekatkan walaupun tidak terlalu dekat.
 
Apa-apa pun gaji ADUN Sarawak lebih tinggi dari Selangor.
 
Selepas Selangor, Pulau Pinamg juga akan menaikkan gaji ADUN. Tapi lebih rendah dari Selangor. Melihat angka yang dicadangkan, ianya amat munasabah.

Johor juga ada bisik-bisik untuk menaikkan gaji ADUN. Adalah diharapkan tidak setinggi Selangor. Ikutlah macam Pulau Pinang.

Saya percaya ADUN negeri-negeri lain akan berbuat demikian iaitu menaikkan gaji.

Dan adalah dijangkakan bahawa gaji ahli parlimen juga akan dinaikkan. Logiknya, gaji ADUN naik, maka gaji ahli parlimen juga wajar naik. Takkan gaji Menteri Besar melebihi gaji Perdana Menteri. Atau gaji Exco negeri melebihi gaji Menteri.
 
Saya percaya rakyat tidak akan marah jika kenaikan itu munasabah; jika satu gaji minima tidak  kurang dari RM 2,000 sebulan dilaksanakan; jika pemimpin tidak rasuah dan salah guna kuasa; jika projek-projek yang boleh menjanakan pendapatan untuk rakyat dilaksanakan dan rakyat mendapat faedah, tidak seperti projek NFC; jika harga barang dan perkhidmatan tidak naik: jika keperluan rakyat untuk pembiayaan pendidikan disediakan; jika rakyat dibantu untuk memiliki rumah paling rendah yang mempunyai tiga bilik; jika jurang pendapatan diantara rakyat dan pentadbir negara/negeri menjadi kecil.

Oleh itu kerajaan negeri/persekutuan yang bercadang untuk menaikkan gaji ADUN/Ahli Parlimen  termasuk ahli pentadbiran mestilah memberikan perhatian kepada jurang pendapatan ini.

Ada satu fenomina baru tentang kenaikan gaji ini iaitu bahawa semua negeri boleh menaikkan gaji mengikut yang diputuskan oleh negeri itu. Ertinya Selangor, dan Pulau Pinang mempunyai gaji yang berbeza. 

Kedua-dua negeri ini adalah negeri kaya maka mampu menaikkan gaji yang tinggi. 
 
Bagaimana negeri-negeri lain seperti Perlis , Kelantan , Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka? Mampukah kewangan negeri-negeri itu bagi menaikkan tahap gaji seperti Pulau Pinang dan Selangor? Takkan ADUN negeri-negeri itu tidak wajar mendapat tahap hidup sama/hampir sama dengan kawan-kawan sejawat.

Walau apa pun, sebahagian besar rakyat sudah nampak bahawa sama ada BN mahu pun PR, kedua-dua pemimpin kerajaan ini tidak lari dari menjaga kepentingan perut mereka terlebih dahulu. Dalam kata lain, pemimpin didahulukan.



 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan