Theflowersellingboy

Isnin, 18 November 2013

Ikutlah Nasihat:Kurang Ambil Gula Untuk Elak Sakit Kencing Manis Kecuali Pada Suatu Hari dan Tempat Yang Secara Kebetulan Gula Boleh Dibeli Dengan Banyak




Orang kampong panggil sakit kencing manis. Orang bandar biasanya lebih gemar memanggil diabetis. Doktor pula sudah sebati dengan diabetes mellitus.  

Penyakit ini terlalu amat bahaya. Gula terlalu tinggi dalam darah. Pengidap kencing manis ini menghadapi keadaan 'polyuria' (kerap kencing), 'polydipsia' (tersangat haus) dan 'polyphagia' (lapar).

Tidak hairanlah mengapa kerajaan menasihatkan rakyat supaya kurang mengambil gula, atau makanan yang manis-manis. Tujuannya untuk mengelak kencing manis. Kalau rakyat banyak yang kencing manis belanja kerajaan akan bertambah. Ini merugikan kerana wang tersebut sepatutnya boleh digunakan bagi maksud lain bagi faedah rakyat. 

Produktiviti rakyatpun akan terjejas. Ianya memberi kesan kepada ekonomi negara.

Oleh itu kurangkan mengambil gula.

Walaupun kerajaan menasihatkan supaya kurangkan pengambilan gula, masih lagi terdapat sebahagian besar rakyat tidak memberi perhatian yang sewajarnya. Masih lagi 'berdegil' . Masih lagi tidak mahu berubah dengan mengurangkan pengambilan gula.

Rakyat tidak mahu mengambil nasihat yang baik. Oleh itu satu cara yang keras perlu dilakukan dengan menjadikan harga gula itu mahal. Tapi bukan bermaksud kerajaan mahu menaikkan harga gula. Itu adalah tafsiran oleh pihak-pihak yang suka memandang negatif akan apa saja yang kerajaan lakukan.

Kerajaan hanya mengurangkan subsidi gula! Harap mereka yang mengatakan kerajaan menaikkan harga gula dapat membezakan diantara pemotongan subsidi gula dengan kenaikan harga gula.

Pemotongan subsidi gula membawa maksud mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan dalam pembekalan gula. 

Manakala harga gula adalah ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran gula dalam pasaran. Jika banyak permintaan gula ianya boleh mempengaruhi harga. Tambahan lagi apabila perbekalan (penawaran)  gula kurang dari permintaan maka harga gula akan naik. Ini adalah perkara asas dalam ekonomi -faktor 'supply' dan 'demand'.

Mengapa pula perlu dikelirukan bahawa kerajaan yang menaikkan harga gula?

Tindakan yang betul dalam menghadapi harga pasaran ini ialah dengan mengurangkan permintaan. Kurang ambil gula. Apabila permintaan kurang dari penawaran, harga gula akan menjadi lebih rendah. Jadi rakyat kenalah membantu diri sendiri dan juga kerajaan, dengan mengurangkan permintaan terhadap gula.

Jika kita lakukan seperti yang dinasihatkan kerajaan, rakyat akan dapat tiga faedah. Pertama, harga gula akan turun. Kedua tidak kena kencing manis. Ketiga boleh dapat bantuan seperti BR1M yang lebih kerana kerajaan tidak perlu lagi beli ubat kencing manis dan merawat orang yang diserang kencing manis. Wang itu  boleh digunakan untuk BR1M seperti yang terdapat dalam bajet 2004 yang baru dibentangkan kerajaan.

Faktor 'demand' dan 'supply' yang menentukan harga sesuatu perkhidmatan dan barangan dalam pasaran termasuk gula, sekaligus menolak tohmahan setengah pihak yang mengatakan pemotongan subsidi gula adalah bertujuan untuk menaikkan harga gula bagi mengayakan syarikat kroni. Ianya tidak ada kena mengena.

Sebenarnya kerajaan melakukan rasionalisasi subsidi. Satu langkah bagi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan. Sudah tentu subsidi minyak , gula dan lain-lainya mahu tidak mahu terpaksa dikurangkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan. 

Lagi pun kerajaan tidak mahu meneruskan satu budaya yang mana rakyatnya sentiasa mahu diberi bantuan atau perlindungan. Kerajaan mahu mewujudkan satu keadaan dimana rakyatnya mempunyai kekuatan untuk bersaing, yang kompetitif. Daya tahan yang kuat dikalangan rakyat boleh menjadi faktor kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mapan (sustainable economic growth).

Maka kerajaan memotong subsidi minyak dan gula dalam rangka perasionalisasian subsidi. 

Oleh itu tidak wajar mana-mana pihak mengatakan pengurangan subsidi gula ini membebankan rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah. Kerajaan sekali-kali tidak mempunyai niat dihati untuk menyusahkan rakyat. Kerajaan memahami denyut nadi hati nurani rakyat.

Ini bukan cakap kosong atau omong kosong. Buktinya ialah kepedulian yang ditunjukkan oleh kerajaan semasa pilihanraya kecil dewan undangan negeri Sungai Limau di Kedah baru-baru ini. Berapa harga gula dipasaran? Berapa pula harga gula di Sungai Limau semasa kempen  pilihanraya itu. Bukankah harga gula hanya RM 1.00 sekilogram berbanding dengan harga pasaran RM2.80 sen sekilo?

Maknanya kerajaan   amat prihatin keatas kesusahan rakyat disitu semasa pilihanraya walaupun ianya membuatkan ramai rakyat membeli gula melebihi dari keperluan biasa kerana harganya murah. Ya, walaupun harga hanya murah pada masa berkempen tapi satu sen yang dapat dijimatkan oleh rakyat, ianya amat membantu kehidupan hidup mereka dalam beberapa hari itu.

Malangnya ada pihak membuat tuduhan mengatakan kerajaan mahu membeli undi. Membantu rakyat pun dikatakan sebagai membeli undi. Kalau rakyat tidak dibantu, dikatakan pula kerajaan tidak bertanggungjawab, tidak berhati perut.

Ada yang berkata kenapa di Sungai Limau saja harga gula murah. Mengapa semasa pilihanraya kecil?

Orang yang buat soalan yang kurang bijak ini, tidak sedar bahawa itu hanya satu kebetulan saja. Pihak menteri telah menjelaskan bahawa harga gula dijual RM1.00 di Sungai Limau pada kempen pilihanraya adalah satu kebetulan saja. 

Hal kebetulan ini memang ada dan selalu berlaku terutamanya dalam filem Hindustan. Kalau heroin itu hampir hendak dibunuh oleh penjahat, maka akan timbullah dengan segera hero bagi menyelamatkannya. Ini adalah satu kebetulan. Bukan dirancang oleh hero itu. Samalah seperti harga gula di Sungai Limau itu. Hanya satu kebetulan, seperti yang dinyatakan menteri yang memegang porfolio agama Islam. Tak percaya ke? Kalau menteri yang memegang portfolio yang tahu sangat dosa pahala, siapa lagi yang hendak kita percaya?

Menyambung fasal subsidi yang berkaitan dengan gula ini dan subsidi-subsidi yang lain. Jika ianya tidak dirasionalkan maka kita sudah tahu akibatnya seperti yang diperkatakan diatas ---belanja negara akan meningkat.

Perbelanjaan negara yang meningkat terutama dalam hal-hal yang memberi kesan buruk kepada rakyat seperti pengambilan gula yang berlebihan adalah tidak wajar. Kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang sepatutnya tidak perlu dilakukan jika rakyat bekerjasama mengurangkan pengambilan gula. 

Bukan saja tanggungan subsidi yang tinggi, yang mengakibatkan harga gula yang tidak rasional dipasaran, (murah dari sepatutnya yang ditentukan oleh pasaran), ianya sudah tentu memberi kesan langsung kepada hasil negara. Apabila perbelanjaan tinggi dan melebihi dari pendapatan negara, bajet negara akan menjadi defisit. 

Defisit ini terpaksa ditanggung adalah disebabkan kerajaan yang ada kepedulian terhadap keperluan rakyat. Kerajaan masih mahu berbelanja bagi kepentingan rakyat. Tapi dalam jangka panjang bajet yang defisit adalah tidak sihat kepada ekonomi negara.

Jadi soalnya dari mana kerajaan hendak dapatkan wang?

Sudah tentu kerajaan akan mendapatkannya secara membuat pinjaman. Dan kerajan juga akan mengenalkan cukai baru seperti GST. 

Kerajaan terpaksa berhutang. Tapi rakyat jangan marah hutang kerajaan yang tinggi. Rakyat jangan marah marah cukai GST. 

Oleh itu untuk membantu rakyat, bagi membantu negara, memadai saja bagi rakyat untuk mengurangkan  pengambilan gula. Berilah sokongan kepada pengurangan subsidi gula demi rakyat juga.

Soal hutang berhutang dan GST, kerajaan sentiasa mengambil pertimbangan hanya demi kepentingan rakyat . Dan perbelanjaan-perbelanjaan lain yang setengah pihak kata sebagai boros , rasuah dan belanja tidak berhemah, adalah sebenarnya juga demi rakyat. Sebab itu kerajaan beri BR1M yang bertambah. Ada pihak kata sedikit sangat tambahan. 

Benar dulu BR1M 500 ringgit. Yang diperuntukkan dalam bajet pula lebih 500 ringgit, ianya adalah satu tambahan. 

Tidak munasabah tambahan berbilion ringgit diberikan kepada seseorang seperti perbelanjaan bagi menentukan api dan air terus mengalir dirumah kediaman rasmi pemimpin kerajaan, dan bagi perkhidmatan pakar-pakar runding yang memberi khidmat runding untuk memajukan negara. 

Tidak rasional membuat perbandingan seperti itu.

Negara maju , rakyat juga yang senang. Betul tak? Itulah rasioanalnya diambil perkhidmatan pakar runding. Kita pun tidak mahu pemimpin kita hidup diganggu oleh ketiadaan air dan api. Macam mana nak buat kerja. Betul tak?

Memang ada orang yang akan berkata tidak betul.

Jangan peduli dengan kata-kata seperti itu. Yang penting kurang ambil gula kecuali pada hari kempen piliharaya di Sungai Limau saja. Itupun bagi pengundi Sungai Limau saja supaya limau yang masam bertukar jadi manis. Ingat, di Sungai Limau saja, waktu kempen saja. Sekarang, 'no sugar for you at that cheapest price', untuk Sungai Limau dan semua kawasan dalam malaysia yang sama bernasib malang.

Jangan makan gula! Elakkan kencing manis, diabetes, diabetes millitus.

   










Tiada ulasan:

Catat Ulasan