Theflowersellingboy

Jumaat, 29 November 2013

Mengenali Musuh



Khutbah Jumaat: ''Orang Islam (maksudnya Melayu) ketika ini menghadapi cabaran yang besar iaitu serangan dari berbagai posisi dari pihak 'musuh' untuk melemah dan menghancurkan Islam".
Islam diserang dari semua posisi, dari depan dan belakang; kiri dan kanan; atas dan bawah oleh pihak 'musuh'. Islam dikepong dan terkepong.

Siapa musuh Islam?

Musuh Islam terdiri dari bukan Islam dan idea-idea yang dibawa oleh mereka dalam konsep liberalisma, pluralisma, dan hak asasi manusia. Selain itu serangan juga datang dalam bentuk penyamaran dalam aktiviti kebajikan, dengan membina bangunan bagi maksud aktiviti tersebut yang mana sebenarnya adalah pembinaan sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, di Bukit Jalil , Kuala Lumpur.

Musuh Islam juga datangnya dari orang Syiah dan mereka yang telah terpengaruh dengan ajaran itu. Syiah telah difatwakan sebagai sesat.

Maka untuk menjaga kesucian agama Islam, untuk mempertahankan umat Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, dari kepongan dan asakan 'musuh-musuh' itu,  khutbah itu menggesa agar ibu bapa, ahli masyarakat, guru-guru dan umat Islam dari berbagai lapisan masyarakat memberi perhatian yang serious akan bahaya serangan musuh-musuh itu.

Begitulah atau kurang lebih begitulah khutbah yang dibacakan oleh imam pada hari ini Jumaat 29 November disebuah masjid.

Musuh Islam datangnya dari luar. Lebih spesifik lagi dari orang Keristian dan orang Syiah. Musuh Islam juga terdiri dari penerimaan konsep leberalisma, pluralisma dan hak asasi manusia.

Tiada yang salah apa yang dibacakan oleh imam itu, jika mereka yang menulis khutbah, dan imam yang membaca khutbah, serta mereka yang mendengar khutbah dengan hhusuq, (kerana ada yang semacam tidak memberi tumpuan dan ada yang tidur atau tertidur) memahami apa sebenarnya yang dikatakan musuh, dan bagaimana cara untuk menghadapi musuh.

Yang pasti ialah musuh Islam itu datangnya dari luar. Itulah yang hendak diyakinkan dalam khutbah itu. Sesungguhnya kita orang Islam diberitahu bahawa kehancuran kita adalah buatan dan tindakan dari orang bukan Islam, khususnya orang beragama keristian, syiah dan pengaruh perjuangan liberalisma, pluralisma dan hak asasi manusia.

Benar begitu?

Benar, tapi tidak semuanya benar. Dan pendekatan seperti ini bagi mempertahankan Islam sama sekali tidak akan menguatkan Islam itu sendiri. Ianya tertinggal kebelakang dan tidak sesuai dalam meyakinkan dan menjitukan umat Islam tentang agama Islam itu sendiri, apatah lagi dalam kerja-kerja mendakwah dikalangan umat Islam dan persaingan dalam usaha dakwah bagi  menyebarluaskan Islam dikalangan bukan Islam.

Pendekatan khutbah itu adalah pendekatan menuding jari. Bukan bermaksud bahawa tidak ada kebenaran musuh itu datangnya dari luar. Tapi Musuh dari luar itu mudah meresap, menyelinap dan bertebaran dikalangan kita adalah berpunca dari ketahanan umat Islam yang rapuh. 

Asas (foundation) dan pengertian keislaman kita dari segi ilmu dan amalan terlalu lekeh, sambil lewa, dan keliru serta celaru. Ianya terlalu  rapuh serapuh dahan mati yang masih lagi melekat dibatang pokok. Siapa saja yang memegang dahan itu sudah pasti tanpa usaha dan tenaga yang banyak boleh memiliki dahan itu untuk dibuat bahan bakaran, kayu api. 

Cuba kita tanya orang Melayu, sama ada yang berilmu agama dan kurang berilmu apatah lagi yang tidak berilmu, apakah sikapnya atau sikap mereka apabila ada pihak luar mengkritik atau menyentuh sesuatu yang dikatakan sensitif kepada orang Melayu, misalnya tentang penggunaan kalimah Allah dikalangan bukan Islam.

Maka sikap yang ditunjukkan adalah banyak menjurus kearah bahawa pihak berkenaan (orang bukan Islam) mempunyai maksud untuk menyebarkan Islam dikalangan orang Melayu. Maka berdemonstrasilah orang-orang Melayu itu. Itu saja.

Menyatakan tentangan dan perasaan kepada orang Islam yang menyalahgunakan kalimah Allah itu tidak salah. Tapi yang lebih bersalah dan boleh melemahkan orang Islam ialah jika kita sendiri tidak berilmu dan mengamalkan apa yang diajrkan oleh agama kita itu sendiri.

Kalau kita boleh memarahi dan menentang dalam soal penggunaan kalimah Allah dikalangan bukan Islam, mengapa kita  membiarkan saja banyak lagi perbuatan-perbuatan yang mencemarkan agama kita. 

Rasanya terlalu banyak perbuatan atau amalan yang telah dilakukan, sedang berlaku dan dipercayai akan terus berlaku yang mencemarkan agama suci kita, yang dilakukan oleh orang melayu sendiri, dari semua lapisan masyarakat, taraf sosial dan tahap pendidikan sama ada pendidikan agama Islam atau pendidikan selain dari itu.

Malu juga untuk menyenaraikan satu dua perbuatan kita yang mencemarkan agama kita.

Mengapa kita lakukan tanpa segan silu dan tanpa takut dosa?

Mengapa kita biarkan walaupun kita tahu?

Adakah disebabkan  perbuatan yang mencemarkan Islam itu dilakukan oleh orang Melayu maka ianya tidak mengapa, dan dibiarkan, ditutup dua belah mata?

Adakah yang mencemarkan itu berkedudukan tinggi , kebal dari undang-undang, sama ada undang-undang Islam atau undang-undang negara?

Apakah maknanya dan kesannya kepada orang melayu dan orang Islam lain, dan seterusnya kepada orang bukan Islam terhadap perbuatan yang mencemarkan agama kita sendiri oleh kita sendiri?

Antara makna dan kesannya ialah bahawa jika yang melakukan kecemaran itu terdiri dari mereka yang berkedudukan tinggi, pemimpin pula sama ada pemimpin agama mahu pun pemimpin negara, politik atau masyarakat, hilanglah rasa hormat masyarakat Melayu , orang Islam lain terhadap mereka. 

Paling malang sekali, orang bukan Islam dengan segera membentuk sikap dan kepercayaan bahawa Islam itu telah gagal melahirkan umat yang kental dari segi ketahanan imannya. Rapuh.

Rapuh inilah amat baik bagi mereka dalam dakwah mereka. Mereka tahu bahawa adalah menjadi pantang kepada orang melayu jika ada pihak terutamanya yang bukan Islam menyentuh sensitiviti mereka seperti dalam hal kalimah Allah yang disebutkan diatas. Dan mereka juga tahu bahawa iman orang melayu itu adalah rapuh sekali. 

Mereka sentiasa melihat dan mengkaji kerapuhan kita itu untuk kepentingan mereka. Kita pula sentiasa membiarkan saja dan menambahkan lagi perbuatan yang cemar itu kerana yang melakukannya ialah orang melayu, apatah lagi mempunyai kedudukan dan kuasa..

Kita tidak membaikki diri sendiri. Kita tidak membaikki jemaah kita. Kita gagal dan tidak mahu melihat dalam diri kita, dalam jemaah kita. Kita terlalu teruja untuk menuding jari kepada pihak lain yang bukan Islam apabila kita melihat pihak lain maju kedepan dalam dakwah dan menyebarluas pengaruh dan agama mereka dikalangan orang melayu. 

Maka terkeluarlah kata-kata bahawa kita dikepung dan terkepung dari berbagai arah, depan belakang, kiri kanan dan atas bawah seperti yang dibacakan oleh imam dalam khutbah pada hari ini. Kita berada dalam mentaliti yang terkepung dan dikepung (seige mentality).

'Seige mentality' itulah yang kita jadikan sebagai tembok atau kubu pertahanan bagi mempertahankan serangan musuh Islam. Orang luar menekan kita.

Benar, bahawa antara Islam atau melayu dan bukan Islam, mempunyai kepentingan masing-masing. Masing-masing mahu mengatasi diantara satu dengan yang lain, misalnya dari segi ekonomi dan pengikut . Dan berbagai cara dan kaedah digunakan. Dilakukan secara terang, tersembunyi dan halus bagi mempengaruhi pihak luar untuk bersama menyertai mereka, dan menyokong mereka. 

Hal diatas adalah fenomina yang berlaku dibumi nyata, satu realiti. 

Tapi bagi maksud bersaing untuk memperluaskan pengaruh, dan mempertahan dan memperteguhkan apa yang kita percaya, ianya tidak cukup hanya dengan perbuatan dan tindakan memperkecilkan pihak lawan, atau menimbulkan keraguan serta sangka buruk niat lawan; dan menyerang mereka dengan berbagai hujah, jika kita sendiri tidak sepenuhnya percaya atau tidak yakin dengan apa yang kita percaya , yang terserlah dalam perbuatan mencemarkan kesucian agama kita.

Oleh itu jangan terlalu pantas menuding pihak lain, dan jangan juga terlalu taksub akan kebencian kita terhadap perkataan yang membawa konsep yang ada ketikanya kita mendapat faedah dari penggunaanya, dan dalam banyak hal kita sendiri tidak memahami makna yang sepenuhnya atau konteks penggunaannya, sebagai kaedah menyerang 'musuh' demi mempertahankan agama kita yang suci.

Lihatlah terlebih dulu pada diri kita, pada jemaah kita. Apa yang ada dalam jiwa raga kita, jemaah kita, sebelum kita memulakan langkah menyerang musuh. 

Jiwa kita kosong dan rapuh?  Serapuh dahan mati yang dimakan anai-anai?

Memang terasa malu untuk menyenaraikan satu dua perbuatan kita yang mencemarkan agama kita seperti yang telah dipertegaskan diatas.

Namun berfaedah juga rasanya untuk memberitahu suasana semasa mahu memasuki dewan solat masjid, untuk direnung dan difikirkan. 

Perjalanan menjadi terhalang kerana laluan masuk itu (bibir atas anak tangga) telah tersedia dengan bilangan jemaah yang berhimpit-himpit berdiri. Mengetahui fenomina seperti ini adalah satu kebiasaan setiap kali Jumaat, saya terus juga menyelitkan diri untuk terus memasuki dewan solat yang terlalu banyak kosong dibahagian hadapan.

Soalnya mengapa mereka suka sangat berdiri di laluan sehingga boleh menghalang laluan ke dewan solat? Mengapa mereka tidak mahu ke depan yang masih kosong seperti yang diajar oleh Islam?

Jangan kata ini perkara remeh. Terlalu kecil untuk diberi perhatian. Dan tidak perlu diubah.

Dianya bukan remeh. Dianya terlalu penting dalam membentuk displin dan ketahanan diri kita sebagai orang Islam dalam penghayatan dan amalan harian yang diajar oleh Islam sebelum kita pantas memaki hamun dan berdemonstrasi terhadap musuh dalam hal kalimah Allah. Kuatkan dalaman kita.

Mereka yang pandang remeh itulah yang amat disukai oleh musuh. Senang bagi jarum musuh untuk menyelinap dalam tubuh badan kerana perbuatan yang asas dan amat mudah itupun belum lagi menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka

Sayang sekali fenomina itulah yang kita boleh lihat disebahagian besar masjid kita.

Kalau yang mudah pun kita tidak boleh buat, bagaimana kita mampu melupakan atau menolak salah guna kuasa atau menegur atau beranai menghapuskan salah guna kuasa. Bagaimana dengan perbuatan pecah amanah dan rasuah.

Sebab itulah pihak bukan Islam berjaya meresapi jiwa raga kita kerana ianya terlalu rapuh. Mereka sebenarnya melihat, mengkaji dan tahu bahawa jarum jahat mereka mudah saja memasuki dalam diri sebahagian besar orang melayu.

Sudah kenal musuh. Kitalah musuh Islam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan