Theflowersellingboy

Isnin, 25 November 2013

IKLAN: Satu Cara Mengajar Bercakap Bohong



Apa peranan IKLAN? 
 
Seorang pensyarah ekonomi jawab, peranan sesebuah Iklan itu sama dengan seorang dara sunti bernama AIDA. Maka terbarailah hilai ketawa para pelajar  memecahi dewan kuliah F.

Itu cerita tahun 1969

Pelajar menghilai ketawa. Tapi pensyarah itu walaupun sedikit tersingai menampakkan giginya, dia nampaknya terlalu yakin dengan apa yang dia cakap dengan mengambil dara sunti bernama Aida sebagai analogi untuk memahamkan makna Iklan itu.

Sesebuah iklan itu mesti ada daya tarikan. Kalau lesu dan pucat lebam saja, macam orang tua (maaf tidak bermaksud menghina orang tua. Saya pun tua juga), pengguna tidak akan tertarik keatas produk yang mahu dipasarkan. Iklan itu mesti bersifat 'Attractive', ada daya penarik. Nah , ianya mesti 'attract' pengguna sama seperti jika seseorang itu melihat anak dara sunti bernama AIDA.

Bukankah AIDA itu mudah diingati, sedap pula untuk disebut, dan satu khayalan (imiginasi) yang menyeronokkan? (pada waktu itu nama penyanyi dari seberang, Aida Mustafa yang memasyhurkan lagu minang 'Ayam Den Lapeh', menjadi sebutan ramai).

Huruf pertama A dalam ejaan penuh nama anak dara sunti yang dikhayalkan itu, mengingatkan kita bahawa iklan itu mesti bersifat menarik, mesti ada daya tarikan. 

Apabila telah kita bina daya tarikan, apabila pengguna sudah tertarik, maka ia akan mula menimbulkan minat (Interest) kepada pengguna. Setelah menguasai emosi pengguna yang tertarik dan menaruh minat terhadap produk yang diiklan itu, maka produk itu sudah ada pengguna yang akan membuat permintaan (Demand). Maknanya iklan itu telah berjaya mempengaruhi emosi dan akal fikiran pengguna itu yang bersedia untuk menerima (Accept) produk yang diiklankan.

"Attract , Interest  , Demand , Accept", bukankah itu AIDA. 

Pelajar, mengilai lagi.

"Oh ya masih lagi belum lengkap peranan sebuah iklan yang berkesan", pensyarah itu menyambung dalam hilaian ketawa para pelajar. 

"Mesti ada 'R' ".

"Apa pula 'R', ni", kedengaran seorang sahabat yang duduk disebelah sambil mencatat dalam nota kuliahnya.

Satu daripada kelemahan manusia ialah mudah lupa. Oleh itu pelanggan mesti selalu diberi ingatan (Remind) akan kewujudan produk kita itu dalam pasaran. Diberi ingatan agar tidak lupa. Lagi kerap, lagi susah pengguna hendak lupa.

Namun mencukupi saja kita menyebut nama AIDA bukan AIDAR sebab huruf R dihujung ejaan itu selalunya jarang dibunyikan.  

Habis saja kuliah, riuh rendahlah pelajar lelaki  menyebut nama Aida sambil mata menjurus kepada sahabat-sahabat dari kaum hawa. "Oh Aida".

Pensyarah itu tidak pula membicarakan soal etika dalam sesebuah iklan.

Saya tidak pasti sama ada etika tidak penting dalam sesebuah iklan sehingga beliau tidak menyentuhnya atau dia mengharapkan para pelajar untuk mencarinya sendiri. Takkan semua nak kena suap.

Sesebuah iklan, khususnya iklan bagi sesuatu produk sama ada perkhidmatan mahupun barangan wajar ada etika sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi, agar pengguna tidak keliru, tidak dibohongi, dan tidak dipermain-mainkan.

Iklan tidak boleh dibuat/ditayangkan sesuka hati yang hanya bermotif untuk melariskan jualan sesuatu produk bagi meraih keuntungan yang maksima tanpa memikirkan kesan yang negatif kepada mereka yang mendengar/menonton iklan itu.

Benar, berniaga mesti mahukan keuntungan. Tapi mendapat keuntungan secara yang tidak beretika adalah satu perbuatan yang boleh merosakkan masyarakat.

Satu dari unsur yang tidak beretika ialah iklan yang berkata bohong secara terang-terang tentang produk yang diiklankan. Secara rambang saya katakan, sebahagian besar iklan yang sempat saya tonton dan dengar yang disarkan oleh tv, mempunyai unsur berkata bohong ini.

Kesan pembohongan ini amat buruk sekali.

Seseorang kanak-kanak berumur dua tahun misalnya, apabila menonton iklan yang ada unsur pembohongan ini, akan menerima sebagai benar apa yang dia lihat dan dengar tentang perkara atau benda yang diiklankan.

Misalnya iklan bagi produk pewangi yang boleh mengatasi bau buah durian.

Menurut pengalaman anak itu sendiri bahawa bau buah durian yang pernah anak itu makan terlalu susah untuk dihapuskan. Tapi apabila anak itu menonton iklan , dia digambarkan seolah-olah bau produk pewangi yang diiklankan itu boleh mengatasi bau buah durian!

Bukankah ini jelas satu pembohongan. 

Tiap-tiap hari anak-anak yang menonton iklan yang terdapat unsur-unsur yang negatif akan mempengaruhi pemikiran mereka dalam proses pertumbuhan mereka. Kesannya amat malang sekali.

Anak-anak itu akan jadi keliru dan celaru. Dalam kehidupan hariannya dia tahu bahawa bau buah durian itu terlalu kuat dan tidak mudah dihapuskan dengan pewangi seperti yang diklankan.

Kemudian apabila anak itu menanyakan  ayahnya bahawa benarkah seperti yang digambarkan dalam iklan itu. Sudah tentu ayah menyatakan tidak benar. Dan dalam kehidupan hariannya, anak itu selalu diingatkan oleh ayahnya agar jangan cakap bohong. Sebaliknya, dia dan ayahnya yang bersama-sama tonton iklan yang kerap ditayangkan, akan menjadi keliru kerana ayahnya yang melarangnya bercakap bohong, juga menonton iklan yang berkata bohong itu.

Kesannya, keliru dan celaru.

Jika ianya berterusan maka tertanamlah dalam jiwa nurani anak-anak itu bahawa bercakap bohong bukan sesuatu yang perlu dielakkan/dijuhkan. Kalau ini sudah dipercayai, apakah bentuk generasi yang kita bina untuk masa depan.

Kesan kepada masyarakat secara keseluruhan ialah bahawa berbohong boleh dilakukan terutama dalam perniagaan demi melariskan produk yang hendak dijual. Berbohong sudah menjadi budaya yang diterima dalam masyarakat.

Sebab itu jika berlaku perkara-perkara negatif dalam masyarakat, atau jika anak kita suka bercakap bohong atau kita sendiri membenarkan perlakuan berbohong itu, maka satu dari sumber yang menyemarakkan kita, anak kita dan masyarakat bercakap bohong ialah dari iklan yang di pertontonkan dalam tv. Sebab tv pun mahu berniaga mencari untung. 

Soal etika seperti tidak bercakap bohong bukan satu yang amat penting yang perlu diberi perhatian dan dipertekankan walaupun dalam beberapa rancangan yang diterbitkan oleh tv itu sendiri hal-hal bercakap bohong dikatakan boleh merosakkan masyarakat dan negara.

Keliru dan bercelaru. Semua iklan punya fasal.


(Nota: Tentang peranan IKLAN dan AIDA itu  adalah cerita benar. Tetapi penceritaan yang dipaparkan ini adalah penceritaan saya, bukan yang dikuliahkan oleh pensyarah itu).

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan