Theflowersellingboy

Khamis, 28 November 2013

Perkara Asas Dalam Pengurusan Belanjawan




Belanjawan dan bajet adalah benda yang sama dalam konteks negara Malaysia. Belanjawan adalah terbitan dari perkataan Melayu Belanja. Bajet pula adalah perkataan Inggeris yang telah dimelayukan.

Belanjawan = Bajet.

Paparan ini bukan mahu bicara perkataan-perkataan itu. Ia hanya untuk membiasakan penggunaan perkataan-perkataan itu, sama ada mahu menggunakan secara silih ganti (interchangeable), atau memilih satu darinya, kerana maksudnya sama saja. 

Saya memilih menggunakan secara silih ganti dalam pembicaraan seterusnya.

Secara am Belanjawan ertinya melakukan perbelanjaan. Dua unsur utama yang mesti ada dalam belanjawan untuk ianya boleh dioperasikan adalah pendapatan dan perbelanjaan. Tanpa dua unsur ini belanjawan tidak mempunyai makna.

Ertinya mesti ada pendapatan. Usaha untuk mendapat pendapatan itu mesti dilakukan. Apabila ada pendapatan maka secara fitrah ianya akan digunakan untuk mendapat sesuatu yang kita tiada atau yang kita rasa belum cukup. Semuanya bergantung kepada kehendak kita atau apa yang kita mahu dalam memuaskan kemahuan kita, tertakluk kepada pendapatan yang ada.

Belanjawan = Pendapatan - perbelanjaan

Tanpa usaha tidak akan ada pendapatan. Kehendak atau kemahuan adalah fitrah manusia, maka dengan adanya pendapatan berlakulah perbelanjaan bagi mengisi kehendak itu.

Kemahuan atau kehendak adalah tidak terhad, sentiasa tidak cukup. Jadi dalam melayani kehendak yang sentiasa ada dan bertambah itu, maka usaha untuk mendapatkan pendapatan juga perlu ditambah.

Walaupun kehendak itu tidak terhad, tapi ada bebagai kekakangan dan halangan untuk memenuhi kehendak itu. Tidak semua yang kita mahu kita boleh perolehi. Kita boleh dapatkan sesuatu atau berbelanja sesuatu bergantung kepada wang yang kita ada. Ada wang boleh berbelanja. Tiada wang tidak boleh berbelanja.

Ertinya kalau kita ada wang RM 100, kita boleh berbelanja RM 100 saja.  Dalam keadaan begitu kedudukan kewangan kita akan menjadi sifar pada sesuatu tempoh -(pendapatan 100 - perbelanjaan 100 = 0). Keadaan seperti ini dipanggil belanjawan berimbang.

Satu lagi keadaan tentang belanjawan ini ialah apabila kita berbelanja kurang dari pendapatan. Dari pendapatan 100 kita belanja 80, ada lebihan 20 ringgit. Ini dipanggil belanjawan lebihan atau surplus. Lebihan itu menjadi simpanan. Dan jika pola pendapatan dan perbelanjaan bagi sesuatu tempoh itu sama, ianya akan menghasilkan lebihan. Dan lebihan-lebihan ini jika tidak digunakan, ia menjadi simpanan yang terkumpul.

Sebaliknya jika kita hendak berbelanja lebih dari pendapatan, kita terpaksa mencari sumber tambahan selain dari sumber biasa yang kita ada, misalnya meminjam dari kawan-kawan. Jadi belanjawan kita = pendapatan biasa + pinjaman - perbelanjaan. 

Biasanya kita tidak membuat pinjaman jika kita ada simpanan  hasil dari lebihan dari belanjawan sesuatu tempoh yang lepas. Namun bergantung kepada keutamaan yang kita pilih sama ada mahu meminjam atau menggunakan simpanan yang ada.

Apabila kita memilih untuk membuat pinjaman, belanjawan kita adalah belanjawan defisit sebab pendapatan kita tidak mencukupi bagi membiayai perbelanjaan, yang mana pembiayaan itu terpaksa ditampung dari sumber pinjaman.

Belanjawan defisit bukanlah satu belanjawan yang tidak sihat. Malah kita perlu meminjam bagi mempertingkatkan pendapatan kita pada masa depan. Misalnya , kita meminjam bagi tujuan melanjutkan pelajaran atau mendapatkan satu kepakaran atau sesuatu kemahiran sedangkan pendapatan kita yang ada tidak mencukupi. 

Meminjamnya kita itu adalah bagi mendapatkan satu nilai tambah kepada kita. Dengan kepakaran yang kita dapat nanti ianya akan menambah pendapatan kita pada masa depan. Dan kita mampu untuk membayar balik pinjaman yang kita buat.

Namun begitu meminjam atau berhutang bagi perkara-perkara yang tidak memberi nilai tambah kepada kita dari segi menghasilkan pendapatan yang lebih adalah satu tindakan yang tidak sihat, bahkan mempunyai risiko pada kita. Misalnya kita meminjam untuk membeli sebuah kereta mewah bagi tujuan menunjuk-nunjuk kehebatan gaya hidup kita.  

Sudah pasti perbelanjaan kita akan bertambah tapi tiada pendapatan baru yang terhasil dari gaya hidup berkereta mewah itu. Akibatnya kita tidak mampu untuk membayar balik pinjaman, dan sudah tentu kita didakwa oleh pemberi pinjaman. Jika gagal bayar kita akan dijadikan atau diistiharkan sebagai orang yang bengkerap.

Oleh itu defisit disebabkan pemilihan perbelanjaan yang tidak membantu bagi meghasilkan pendapatan pada masa depan adalah tidak sihat, bahkan mempunyai risiko yang tinggi.  Apatah lagi jika defisit itu berterusan pada setiap tempoh belanjawan.

Bagaimana pula dengan belanjawan yang berimbang. Ianya satu belanjawan yang baik. Tapi jika berimbangnya belanjawan itu tanpa memberi kesan kepada penambahan pendapatan, ianya tidak sihat kerana tidak ada nilai tambah. Jika ianya berterusan, maka tidak ada apa-apa pembaharuan bagi tujuan perkembangan dan kemajuan diri. Status quo.

Belanjawan surplus pun adalah belanjawan yang baik juga. Tetapi jika surplus itu adalah kesan daripada tidak ada usaha untuk menambah baik keadaan, bagi memajukan diri dan meningkatkan pendapatan, dan hanya semata-mata untuk menghasilkan lebihan untuk simpanan bagi ditunjukkan sebagai tabiat suka berjimat maka ianya tidak sihat juga.  

Apatah lagi jika simpanan itu tidak dimenfaatkan, hanya mahu ditunjukkan sebagai satu kejayaan bercermat sehingga dapat mengumpulkan simpanan yang banyak.

Ada wang tapi tidak tahu berbelanja bagi memperbaikki dan memajukan diri.

Begitulah sedikit asas dalam pengurusan belanjawan bagi individu.

Diperingkat lebih tinggi lagi misalnya negeri dan negara juga asasnya sama. Ada belanjawan berimbang, belanjawan surplus dan belanjawan defisit. Sama seperti individu, bajet negara juga adalah hasil dari keputusan yang dibuat oleh kepimpinan (kerajaan) dalam menentukan perbelanjaan yang hendak dibuat berbanding dengan pendapatan. 

Kesan pemilihan perbelanjaan  dan cara gaya perbelanjaan diurus akan menentukan sama ada bajet itu berimbang, surplus atau pun defisit. Jika pemilihan itu tidak dilakukan dengan baik, misalnya tidak ada menyediakan keutamaan atau salah memilih keutamaan , dan tidak pula dirancangkan dengan baik, lebih banyak perbelanjaan berbentuk 'ad hoc', dan ditambah pula dengan pengurusan bajet yang bercanggah dengan kepentingan negara, maka bajet negara sama ada ianya berimbang, surplus dan defisit adalah sebuah bajet yang tidak sihat dan berisiko.

Pemilihan yang baik itu bermaksud bahawa pendapatan negara itu, termasuk simpanan dan pinjaman akan dibelanjakan bagi menghasilkan nilai tambah dan pendapatan masa depan negara untuk digunakan bagi faedah rakyat dan kemakmuran negara. Dan ini hanya akan terhasil jika pendapatan dan perbelanjaan itu dirancang dan diuruskan dengan tata kelola urus tadbir yang telus dan bertanggungjawab.

Maka soal hutang negara yang meningkat sehingga RM 529.6 billion atau 53.6% daripada KDNK , dan negara akan jadi bengkerap jika GST tidak dilaksanakan tidak akan timbul sama sekali, sekiranya perkara asas dalam pengurusan belanjawan difahami dan  seterusnya dijadikan asas dalam pengurusan bajet negara.

Mengurus bajet negara adalah mengurus amanah rakyat. Jika salah urus maka risikonya akan ditanggung oleh rakyat. Berbeza dengan bajet individu dimana risikonya adalah individu itu sendiri.



 



 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan