Theflowersellingboy

Selasa, 19 November 2013

Angan-angan Nak BMW Tapi Akhirnya Berjalan Kaki. Dasar Hayat Kereta Lagsung Tidak Membantu



Kereta idaman , selepas mendapat kerja dulu ialah BMW. Tapi gaji RM750 sebulan. Tolak KWSP , tolak sewa bilik, tolak tambang bas pergi balik ke tempat kerja/rumah, tolak makan minum, tolak hantar ke kampong, idaman itu tidak boleh dijadikan kenyataan.
 
Akhirnya pada tahun kedua bekerja dapat juga beli kereta Jepun Datsun   1200. Itupun dibeli dengan pinjaman kerajaan. Harga kereta RM 8,000. Pinjaman RM7,000. Kekurangan RM1,000 ditampung dari simpanan dan meminjam dari kawan-kawan.
 
Itu cerita tahun 1972, sudah ditinggalkan selama 43 tahun. Kereta Datsun 1200 tidak tahu entah ke mana perginya setelah dijual kepada orang lain. Yang pasti kereta itu sudah menjadi tin milo atau ovaltine buruk. Begitulah yang dimasyurkan oleh orang kepada sesiapa yang memiliki kereta dari negara Jepun: Kereta tin milo/ovaltine.
 
Sehingga bersara, kereta BMW yang diidamkan itu masih lagi tidak mampu dimiliki. Mahal sangat. Sudahlah mahal , jenama BMW itu dikatakan Banyak Makan Minyak (BMW). Jadi, kempunanlah untuk bergaya dengan kereta mewah itu.
 
Tapi niat dihati masih lagi hendak merasa kereta buatan dari eropah, yang dipercayai lebih mempunyai ketahanan dari kereta Jepun , Korea dan kereta buatan tempatan.
 
Memang tidak mampu membeli yang baru. Harga beratus ribu ringgit, lebih mahal dari sebuah rumah banglo di setengah tempat.
 
Apabila bersara dapatlah sedikit wang ganjaran. Tapi tidak cukup untuk beli kereta BMW atau Mercedez yang baru. Lagipun banyak lagi komitmen yang masih perlu diteruskan. Anak-anak masih lagi belajar. Berhajat juga untuk membuat ubahsuai rumah sebagai persediaan untuk mengadakan kenduri kahwin anak, bila jodoh sudah sampai.
 
Namun hajat dihati untuk pakai kereta BMW atau Mercedez masih lagi membara.
 
Niat ada tapi wang tidak ada atau tidak mencukupi. Pendapatan sudah berkurangan lebih dari setengah berbanding semasa bekerja. Waktu bekerjapun tidak mampu, inikan pula setelah bersara.  
 
Apa perlu dilakukan untuk membolehkan idaman menjadi kenyataan? 
 
Ya, beli kereta Mercedez terpakai.
 
Maka dibelilah sebuah kereta Mercedez terpakai dengan harga RM20,000.
 
Sekarang kereta itu sudah berumur lebih 20 tahun. Enjin masih baik, tapi tidaklah sebaik enjin kereta mercedez yang baru. Badan pun cantik juga, tegap, bercat hitam. Kalau berlanggar dengan kereta proton baru dari berbagai nama , dijamin kereta proton yang baru itu akan mengalami kerosakan yang lebih. Kalau dengan kereta viva atau kancil, remuklah kereta viva atau kancil itu.
 
Cuma kalau isi minyak RM50.00, ianya akan habis tidak sampai dua hari bagi perjalanan dari rumah ke pasar dan makan di luar. Berbanding dengan sebuah lagi kereta Kelisa, minyak RM 50.00 boleh tahan dua minggu.
 
Untuk perjalanan jarak jauh kereta mercedez itu sungguh menyelesakan dan meyakinkan. Tidak mudah rasa sakit belakang. Tempat isi barang (boot) pun besar, banyak barang boleh dibawa untuk perjalanan percutian.
 
Namun sekali lagi diberitahu bahawa kereta ini kuat makan minyak. 
 
Oleh itu pernah satu ketika, dalam percutian di Bukit Tinggi, kereta Kelisa digunakan bagi menjimatkan perbelanjaan minyak. Ya, memang benar ianya menjimatkan.
 
Tapi, badan rasa sakit kerana lambungan kereta yang rengan itu. Masa sampaipun agak lewat kerana tidak berani memandu pada kelajuan yang melampaui 100 km/sj. Yang kelakar sekali ialah kereta itu menaikki bukit macam orang semput. Manakan tidak, sudahlah kereta itu kecil, orang yang dibawanya terlalu ramai, berasak-asak, enam orang termasuk pemandu. 
 
Tapi kalau kereta mercedez yang terpakai itu yang digunakan untuk percutian itu, ianya tidak jadi masalah. Cuma kuat makan minyak saja.

Harga minyak telah naik. Ron 95 naik dan Ron 97 pun naik. Menyusahkan lagi. Terperuklah kereta mercedez tua itu.

Sekarang ini pula ada cadangan dari kerajaan untuk memendekkan jangka hayat kereta kepada 12 tahun. Mercedez sudah lebih 20 tahun. Kelisa sudah 13 tahun, mahu masuk 14 tahun. Jadi dua-dua kereta itu tidak boleh berada diatas jalan kerana tempoh hayat sudah tamat. 

Tiadalah kereta untuk dipandu. 
 
Beli baru? Ada cukup wang ke? Bank pun tidak akan beri pinjaman kepada orang yang bersara. Kalau beri pinjampun, ada ke wang nak bayar balik pinjaman?
 
Nampaknya kena bersedialah untuk berjalan kaki menuju ke stesyen bas bagi sesuatu destinasi. Bila balik ke rumah, kena menapak menaikki bukit pula. 
 
Menyusahkan!

'Sebenarnya ia tidak menyusahkan. Ianya satu senaman bagi menyihatkan badan'. Begitulah gamaknya antara rasional kerajaan untuk memendekkan jangka hayat kereta. 
 
Sama kaedah yang digunakan bagi memotong subsidi gula, iaitu demi kesihatan rakyat.  Kerajaan tidak mahu banyak rakyat yang mati kerana idapan sakit kencing manis. Kerajaan juga tidak mahu rakyat mati dalam kemalangan jalan raya disebabkan memandu kenderaan yang berusia lebih dari 12 tahun. 
 
Dengan cara menghadkan jangka hayat kenderaan ini, bilangan kenderaan dijalanraya akan berkurangan kerana tidak semua rakyat mampu untuk membeli kenderaan setiap 12 tahun sekali. Jika bilangan kereta berkurangan diatas jalan, kuranglah berlaku kemalangan jalan raya.
 
Rasional itu ada tapi pendapat mengatakan kereta berjangka hayat melebihi 12 tahun sebagai penyebab kemalangan jalan raya, ianya tidak tepat sama sekali. Sepatutnya dinilai dari segi ketahanan kebolehgunaan kenderaan itu.   
 
Adakah memang telah dibuktikan bahawa kejadian kemalangan jalan raya berlaku banyak disebabkan oleh penggunaan kereta berjangka hayat melebihi 12 tahun? Adakah kereta baru tidak akan menyebabkan kemalangan? Begitukah yang dapat difikirkan oleh otak kepala orang yang mahu melaksanakan dasar jangka hayat kenderaan itu?
 
Orang yang 'berfokus jangka hayat ini', pandai sungguh berfikir untuk memberi susah kepada orang lain. Mereka tidak pula mahu berfikir dari segi ketahanan sesebuah kenderaan. 
 
Atau telah teruji dalam makmalkah bahawa semua kereta berjangka hayat melebihi 12 tahun sudah tidak layak berada ditengah jalan?

Soalan-soalan itu nampaknya macam tidak pandai, tapi ianya satu pernyataan bahawa dasar jangka hayat yang  dikhabarkan hendak dilaksanakan boleh menyusahkan, dan perlu difikirkan semula. Kerana jangka hayat sesebuah kenderaan dari segi kebolehgunaan diatas jalan adalah berbeza diantara satu buatan dan jenis kenderaan dengan kenderaan yang lain.
 
Yang pasti ianya menyusahkan saya dan orang-orang yang senasib, khususnya orang yang telah bersara yang pendapatan saraan tidak mampu menghasilkan lebihan untuk membeli kereta baru.
 
Ingat juga bahawa masih lagi ramai orang yang tidak mampu untuk menukar kenderaan setiap 12 tahun. Bagi yang mampu pun, amalan  menukar kenderaan setiap 12 tahun adalah membazir kecuali orang yang memang dengan mudah boleh mendapat wang tambahan dengan berbagai cara kerana peluang berbuat demikian luas terbuka.

Apa-apa pun saya mengharapkan berita itu tidak benar. Ianya cuma satu imiginasi saja. Tapi kalau menjadi realiti, saya sudah bersedia untuk berjalan kaki, satu senaman yang menyihatkan badan.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan