Theflowersellingboy

Sabtu, 23 November 2013

K-Pop Pelaburan Yang Menakjubkan



Melabur RM 1.6 juta, pulangan (return) RM140 juta, hampir 86 kali ganda dari modal. 

Satu pelaburan yang amat ajaib dan menakjubkan. Skim cepat kaya Pak Man Telo yang terkenal pada suatu masa dulu, sudah jadi lekeh, jauh ketinggalan dari segi meraih untung.

Cara melaburnya mudah saja. Tidak perlu menyediakan kos bagi kajian kemungkinan bagi melihat kebolehlaksanaan (untung/rugi) dari pelaburan ini. Tidak perlu juga menyediakan unjuran aliran tunai keluar-masuk projek  (project cash flow projection), dan melihat IRRnya (Internal Rate of Return) atau NPV (Net Present Value). Tidak perlu kesah tempoh pulang balik modal (payback period). Tidak perlu buat kajian risiko projek.
 
Maknanya labur saja wang anda. Soal-soal teknikal dalam membantu untuk membuat keputusan sama ada mahu melabur (dapat untung) atau sebaliknya (rugi) tidak perlu diambilkira.

Inilah pelaburan K-Pop, kumpulan hiburan dari Korea.

Kerajaan Malaysia telah melakukannya. Maksudnya telah melaburkan wang sebanyak RM1.6 juta untuk membawa kumpulan tersebut ke Malaysia sempena Hari Belia pada tahun 2012 yang lepas. Jadi apa perlu kajian-kajian seperti yang dinyatakan diatas. Buat saja pesanan langsung, kemudian bayar, -'cash on delivery', RM 1.6 juta. Pulangan, lumayan sekali.
 
Menurut yang dilaporkan oleh Malaysiakini, mantan Menteri Belia dan Sukan, selepas menghadapi PAC (Public Account Committee ), menyatakan bahawa perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh negara sebanyak RM 1.6 juta bagi membawa masuk kumpulan penghibur K-Pop dari Korea , bersempena sambutan Hari belia pada 2012 memberi keuntungan kepada Malaysia dari segi nilai wang (financial gains) dan bukan wang.

Dari segi nilai wang, negara memperolehi pulangan sebanyak RM140 juta, selain RM26 juta tajaan TM;  RM 1.9/2.3 juta dari lain-lain tajaan.

Keuntungan bukan nilai wang pula adalah dalam bentuk ianya satu 'inovasi' dalam menarik minat golongan belia terhadap aktiviti yang dianjurkan oleh kerajaan yang mana telah menarik seramai 2.4 juta pengunjung pada sambutan hari belia itu.

Tambah mantan menteri Belia dan Sukan itu lagi keuntungan mesti juga dilihat dalam bentuk keuntungan yang datang secara beransur-ansur.

Dan difahamkan juga segala proses dan prosedur bayaran telah diikuti.

Kalau begitulah kenyataannya, dan  pulangan yang diperolehi hasil dari penggunaan wang negara sebanyak RM 1.6 juta maka ianya patut diberikan ucapan syabas kepada pihak penganjur yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan, yang diketuai oleh mantan menteri itu.

Ianya satu kejayaan diluarkebiasaan, yang saya fikir tidak ada mana-mana ahli perniagaan mampu melakukannya. 

Dengan hanya 1.6 juta, kita telah berjaya mendapat 140 juta. Mengikut tatacara urusan kewangan kerajaan, wang 140 juta dan yang lain-lain yang diperolehi hasil dari penggunaan wang 1.6 juta itu hendaklah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan. Ertinya kita mempunyai tambahan wang bagi dikeluarkan bagi kegunaan demi kepentingan rakyat dan negara.

Tapi mengapa Ketua Audit Negara (KAN) memberi laporan yang negatif terhadap penggunaan wang RM 1.6 juta itu? Adakah laporan KAN itu tidak tepat sehingga tidak memberi gambaran yang sebenar yang boleh menjejaskan nama baik kementerian dan menterinya. Atau laporan KAN itu bersifat 'CULAS' seperti yang dikatakan oleh mantan menteri itu. 

Kenyataan PAC seperti yang dilaporkan adalah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh mantan menteri itu. Maknanya tidak ada apa-apa yang serious yang perlu menjadi kegusaran rakyat tentang penggunaan wang RM1.6 juta untuk membawa K-Pop ke Malaysia. Tiada pembaziran dan salah urus wang negara.

Kalau mantan menteri menyatakan bahawa penggunaan wang 1.6 juta itu memberi pulangan yang baik , atau memberi keuntungan kepada negara, dan PAC berpuas hati dengan penjelasan mantan menteri, dan proses serta prosedur kewangan dipatuhi, dimana negatifnya atau tidak teraturnya perbelanjaan 1.6 juta itu? 

Maka apakah kedudukan dari segi integriti atau kebolehpercayaan.

Kita percaya kepada Laporan KAN atau kita percaya apa yang dinyatakan oleh mantan menteri serta keputusan berpuas hati PAC tentang kes perbelanjaan K-Pop ini.

Logiknya, hanya satu pihak saja yang benar atau yang salah apabila ada pertentangan kenyataan diantara mereka.

KAN melaporkan yang benar?

Mantan menteri belia dan sukan yang tidak menyatakan yang benar?

Atau sebaliknya?

Apakah maksud yang hendak disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan yang ada sekarang ini yang mengakui apa yang dilaporkan oleh KAN itu sebagi benar.

Mengapakah ahli-ahli parlimen khususnya dari pembangkang menggunakan Laporan KAN itu mempersoalkan tentang perbelanjaan wang 1.6 juta itu yang dianggap tidak teratur dan membazir.?

Adakah disebabkan mereka suka-suka buat begitu kerana mereka pembangkang atau mereka mempunyai rasa tanggungjawab terhadap cara bagaimana wang negara digunakan?

Apa-apa pun apabila menteri belia dan sukan yang ada ketika ini berpandangan selari dengan laporan KAN, kenyataan pembangkang hanya suka membangkang, gugur dengan sendirinya. Gugur juga sangkaan atau pandangan yang mempersoalkan integriti Laporan KAN.

Macam mana saya? 

Saya percaya Laporan KAN. 

Dan saya menganggap bahawa penggunaan wang RM1.6 juta yang boleh meraih pulangan RM140 juta adalah sesuatu yang menakjubkan, dan luar biasa sifatnya.

Oleh itu saya tidak percaya ianya mampu dilakukan.

Tapi jika K-Pop atau yang sejenis dengannya dijemput lagi dengan perbelanjaan kerajaan untuk membuat persembahan dalam apa saja perhimpunan kerajaan pada masa depan atas dasar telah memberi pulangan yang begitu besar kepada kerajaan, dan dibuktikan kemudiannya, ia benar-benar menguntungkan, saya akan ubah pendirian dari tidak percaya kepada percaya, walaupun ianya sesuatu yang luar biasa sifat kemampuannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan