Theflowersellingboy

Jumaat, 22 November 2013

Little Thing- Satu Cadangan Yang Kecil saja



Ilham belum lagi menjelma diotak kepala. Apa mahu bicara hari ini.

Lantas ke ruang  yang menempatkan sebuah perpustakaan kecil. Membelek-belek buku-buku lama dengan harapan ianya boleh mencetuskan sesuatu untuk ditulis dan dibicara.

Terjumpa beberapa buku , semuanya tentang pembelajaran bahasa Inggeris yang telah digunakan semasa berada di sekolah menengah rendah dulu -tahun awal 60an.

Dalam belek membelek itu , teringat  kerisauan Dr. Mahathir tentang kelemahan pelajar-pelajar terutamanya pelajar Melayu menguasai bahasa Inggeris dalam pertuturan dan penulisan. Atas sebab itu , semasa menjadi Perdana Menteri dulu beliau telah melaksanakan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPMSI)

Dasar ini telah di ubah semula kepada dasar asal iaitu pengajaran dalam bahasa Melayu kerana terbukti pengajaran dua subjek ini dalam bahasa Inggeris sebenarnya tidak mencapai matlamat yang diharapkan, bahkan menimbulkan berbagai masalah , antara lain guru-guru sendiri tidak mahir dalam bahasa berkenaan.

Saya bersetuju dengan harapan yang hendak dicapai oleh Dr. Mahathir itu iaitu pengusaan bahasa Inggeris. Bahasa ini terlalu amat penting.

Tapi saya tidak bersetuju dengan pemilihan kaedahnya iaitu dengan cara mengajar subjeks sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sampai bila-bila pun jika kaedah ini diteruskan, dia tidak akan mampu melahirkan pelajar-pelajar yang boleh mengusai bahasa Inggeris.

Apa cara yang terbaik?

Cara yang terbaik ialah mengajar semua subjek termasuk subjek agama melainkan subjek bahasa selain bahasa Inggeris dalam bahasa Inggeris.

Ertinya menukar bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris seperti pada waktu sebelum merdeka sehingga tahun 1967. Dan saya menambah agar subjek agama juga diajar dalam bahasa Inggeris atau bahasa Arab bagi maksud penggunaan dalam kerja dakwah yang lebih meluas.

Tapi satu syarat penting mesti dikuatkuasakan iaitu pelajar WAJIB lulus Bahasa Melayu pada peringkat cemerlang bagi tujuan memperolehi sijil. 

Tanpa pencapaian pada tahap tersebut, sijil UPSR (sekolah rendah),  tidak akan dikeluarkan dan pelajar tidak boleh meneruskan pelajaran diperingkat lebih tinggi disemua sekolah kerajaan dan swasta di Malaysia.

Begitu juga seterusnya diperingkat menengah, kolej dan universiti. Maksudnya diperingkat menengah, kolej dan universiti Bahasa Melayu adalah satu dari mata pelajaran wajib yang perlu diambil oleh semua pelajar dan wajib lulus cemerlang bagi tujuan mendapat sijil atau ijazah. 

Pencapaian Bahasa Melayu pada tahap dibawah cemerlang dalam semua peringkat pendidikan akan tidak melayakkan pelajar mendapat sijil/ijazah.

Dengan kaedah ini Bahasa Melayu tidak akan diabai dan diketepikan. 

Dalam masa yang sama penggunaan dan pendedahan bahasa Inggeris kepada pelajar dalam semua subjek yang dinyatakan akan sudah tentu boleh memahirkan pelajar dalam pertuturan dan penulisan, seterusnya menguasai bahasa itu.

Soal mengetepikan atau meremehkan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Kebangsaan Negara tidak timbul. Bahasa Melayu masih lagi bahasa rasmi negara, bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai semua rakyat Malaysia. Sebab itu syarat WAJIB lulus cemerlang mesti dikuatkuasakan. 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan