Theflowersellingboy

Rabu, 6 November 2013

Parti Politik dan Kerajaan: Apa bezanya

Masih lagi kedengaran dakwaan setengah pihak bahawa wang dan peruntukan kerajaan itu adalah wang parti politik yang menguasai kerajaan. 
 
Dakwaan ini membuatkan pihak tersebut sentiasa mempersoalkan mengapa ada pihak tidak menyokong parti yang menguasai kerajaan, atau tidak berterima kasih kepada parti yang menguasai kerajaan.
 
Malahan jika ada kritik terhadap cara  kepimpinan kerajaan menguruskan aset dan sumber negara, orang yang mengkritik itu dianggap sebagai  cuba memburuk-burukkan negara.

Sama ada mereka faham atau tidak atau sengaja buat-buat tidak faham, itulah sebenarnya yang berlaku di Malaysia.

Maka paparan kali ini cuba menjelaskan perbezaan diantara kerajaan dan parti yang mengusai kerajaan dalam bahasa yang mudah.

Parti politik yang memenangi pilihanraya boleh menubuhkan kerajaan. Kerajaan yang dibentuk oleh parti yang menang akan menguruskan negara untuk kepentingan semua rakyat dan tidak terhad kepada ahli-ahli parti politik itu saja.
 
Parti politik menjaga kepentingan ahli-ahli parti tersebut. Kerajaan pula menjaga kepentingan semua rakyat .
 
Kerajaan menguasai dan seterusnya  menguruskan segala sumber dan aset negara melalui undang-undang dan institusi dan mekanisma yang telah ditetapkan. Parti politik hanya menguasai dan menguruskan segala sumber dan aset parti itu saja.

Segala bentuk bantuan, kemudahan dan projek-projek pembangunan adalah untuk faedah rakyat. Ertinya jalan atau pun sekolah yang dibena adalah bagi maksud kegunaan rakyat. Balai raya yang dibena adalah untuk digunakan oleh rakyat. 

Parti politik yang menjadi kerajaan tidak berhak menghadkan penggunaan balai raya hanya kepada ahli parti itu saja. Begitu juga dengan benaan-benaan yang lain seperti masjid, parti politik yang menjadi kerajaan itu tidak boleh menggunakan bagi kepentingan parti politik itu.

Apa-apa saja bayaran atau kenaan seperti cukai yang telah ditentukan oleh undang-undang mestilah dibayar oleh rakyat, tidak terhad kepada ahli politik bagi parti yang membentuk kerajaan. 

Pendapatan/hasil atau segala terimaan kerajaan hendaklah dimasukkan kedalam satu akaun khas atau Kumpulan wang yang dinamakan Kumpulanwang Yang Disatukan Persekutuan/Negeri. Dan pendapatan/hasil atau terimaan dalam Kumpulanwang ini hanya boleh dikeluarkan melalui satu Akta Perbekalan yang akan dicadang oleh kerajaan, dibahas, dipertimbang dan diluluskan oleh Parlimen/Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
Ini juga bermakna wang yang telah diluluskan oleh Parlimen/DUN hanya boleh digunakan setakat yang diluluskan oleh Parlimen dibawah Akta Perbekalan itu saja. Adalah melampaui atau menyalahi (ultra vires) Perlembagaan Persekutuan/Negeri jika kerajaan berbelanja lebih dari jumlah yang telah diluluskan oleh Parlimen/DUN.
 
Ertinya kerajaan tidak boleh berbelanja lebih dari apa yang telah diluluskan. 
 
Mana-mana projek yang tidak ada dalam belanjawan asal yang telah diluluskan, tidak ada peruntukan disediakan baginya. 
 
Untuk melaksanakan juga projek tersebut, yang selalunya diumumkan dalam sesuatu kempen pilihanraya, maka peruntukan yang telah diluluskan bagi projek asal, boleh digunakan. 
 
Tapi projek asal itu tidak boleh dilaksanakan jika kesemua peruntukan telah digunakan bagi melaksanakan projek luar belanjawan itu. 
 
Dalam kata lain, kerajaan tidak boleh berbelanja lebih dari yang telah diluluskan oleh Parlimen/DUN.
 
Parti politik yang membentuk kerajaan itu tidak boleh menggunakan wang dari Kumpulanwang Disatukan itu untuk tujuan dan kepentingan parti itu. 
 
Bermakna, wang dari Kumpulanwang Disatukan itu bukan wang parti politik yang menguasai sesuatu kerajaan. Ianya juga bererti segala projek atau pemberian yang dilakukan oleh kerajaan itu , dalam apa keadaan sekalipun misalnya dalam pilihanraya, bukanlah wang parti politik itu.

Segala aset kerajaan termasuk agensi dan penjawat awam, bangunan, kenderaan dan peralatan kelengkapan tidak boleh digunakan untuk tujuan dan maksud politik misalnya menggunakannya dalam kempen pilihanraya oleh parti yang menguasai kerajaan.

Ertinya adalah tidak benar dan salah sama sekali mengatakan wang yang dibelanjakan kerajaan itu adalah wang parti politik yang menjadi kerajaan. 
 
Tidak ada satu sen wang parti politik digunakan untuk menguruskan kerajaan termasuk dalam melaksanakan program dan projek kerajaan.

Adalah diharapkan paparan yang pendek ini dapat memahamkan pihak-pihak yang tidak faham bahawa ada perbezaan diantara parti yang menguasai kerajaan dengan parti itu sendiri dari segi tanggungjawab dan peranan. 
 
Kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat.
 
Parti politik bertanggungjawab kepada ahli-ahli parti itu saja. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan