Theflowersellingboy

Rabu, 13 November 2013

Malaysia Kaya Rakyat Miskin: Keadilan Sosial dan Perlakuan Jenayah Dalam Kehidupan di Malaysia



Jenayah dalam negara kaya rakyat miskin. Siapa yang melakukannya?

Jawapan saya ialah bahawa jenayah itu dilakukan oleh orang yang mahu meneruskan kehidupan. Hanya orang yang mahu hidup saja, yang berupaya untuk melakukan jenayah. Orang yang putus harap, yang tidak ada apa-apa harapan masa depan, masa depan yang kosong, tidak akan melakukan jenayah. 
 
Malah, mereka yang berpeleseran, berpakaian compang camping, duduk dibawah jambatan, dilorong-lorong sempit yang kotor, jika masih lagi menaruh harapan untuk hidup, mempunyai keupayaan dan akan menggunakan segala tenaga dan ikhtiar yang ada untuk melakukan  jenayah, demi sebuah kehidupan.
 
Jenayah dilakukan kerana mahu hidup -survival for life.
 
Untuk hidup maka kita perlu memenuhi kehendak biologi dan keperluan emosi. Kita perlu makan minum. Kita juga perlu melayan emosi  untuk ketawa, marah, kecewa , benci, malu dan untuk dikasihi dan disayangi, untuk dipuji dan dihargai dan sebagainya.
 
Semua keperluan dan kehendak itu, ada harganya, yang perlu dibayar. Ianya tidak percuma khususnya dalam dunia yang diaturkan oleh wang ringgit (termasuk segala aset, pengaruh dan kuasa).
 
(Wang ringgit hendaklah dibaca dan difahami sebagai bermaksud termasuk segala aset, pengaruh dan kuasa).
 
Ringkasnya, jika banyak wang yang kita ada, banyaklah kehendak biologi dan keperluan emosi yang boleh kita penuhi, termasuk tahap atau kualiti yang mengiringi keperluan dan kehendak kita itu. Ertinya wang yang banyak boleh mendapatkan barang dan perkhidmatan yang banyak dan kualiti yang baik, walaupun tidak semuanya mutlak betul.
 
Sebaliknya jika wangnya sedikit maka seseorang itu tidaklah boleh mendapatkan barangan dan perkhidmatan seperti mereka yang banyak wang. Logiknya begitulah.
 
Apatah lagi jika tiada berwang.

Apa sebenarnya yang hendak saya sampaikan?
 
Saya mengatakan bahawa hanya orang yang mahu hidup saja yang berupaya untuk melakukan jenayah demi sebuah kehidupan. 
 
Dan dalam dunia dimana sebuah kehidupan itu dapat diaturkan oleh jumlah pemilikan wang ringgit dalam menentukan tahap kedudukan sosial dan kualiti hidup, dan jika pemilikan wang ringgit itu  menunjukkan jurang yang terlalu besar dikalangan orang yang mahu hidup itu, apatah lagi hanya sebahagian kecil yang mahu hidup itu memiliki wang ringgit yang terlalu banyak, dan masih merasakan tidak mencukupi, maka ianya boleh dan berupaya menjadi unsur-unsur atau bahan-bahan penyubur bagi perlakuan jenayah.
 
Dalam kata lain, perlakuan jenayah ini  dilakukan oleh orang miskin kerana mahu hidup bagi satu kehidupan yang munasabah atau sewajarnya sebagai sebahagian dari anggota masyarakat. 
 
Perlakuan jenayah ini juga dilakukan oleh orang  yang memiliki banyak wang ringgit, yang mahu hidup melampaui tahap hidup yang munasabah atau yang sewajarnya sebagai sebahagian dari anggota masyarakat.
 
(Maksud Kehidupan yang munasabah -baca paparan semalam).
  
Fenomina jenayah orang miskin dan kaya sebenarnya berlaku di negara kita sekarang ini. 
 
Sama ada orang miskin itu terdiri dari orang Melayu, China , India, Iban, Kadazan, Murut, Dayak dan warga Malaysia yang lainnya, atau berbagai pekerja dan warga asing yang berada di Malaysia, harapan dan kemahuan bagi menjalani satu kehidupan yang munasabah berupaya dan mendesak sebahagian dari mereka untuk terlibat dan melakukan jenayah.

Dan mereka melakukan itu kerana mereka percaya mereka tidak akan kecewa bagi mendapatkan apa yang dikehendaki dalam negara Malaysia yang kaya ini. 
 
Bagi rakyat Malaysia yang miskin pula mereka percaya kekayaan Malaysia adalah haknya juga dan wajar dikongsi sama dengan adil.  
 
Dan apabila terpampang dihadapan mata mereka akan kehidupan sebahagian rakyat Malaysia yang lain, melampaui keperluan kehidupan yang munasabah maka timbullah berbagai perasaan yang mempersoalkan kenapa mereka (orang miskin) itu perlu berada dalam keadaan miskin.
 
Jadi jika mahu hidup, jalan yang sebahagian dari orang miskin ini nampak ialah menerusi perlakuan jenayah dalam berbagai jenis dan saiz termasuklah melakukan pembunuhan dalam rompakan bank dan rumah-rumah kediaman. 
 
Maka apa yang tidak kena disini?  Bolehkah orang miskin yang melakukan jenayah itu dilepaskan dari tanggungjawab  atas perbuatannya itu atau mereka itu dianggap tidak bersalah?

Saya jawab soalan kedua: Orang miskin itu mesti bertanggungjawab atas perbuatan jenayah itu dan perlu disiasat, didakwa dan dibicarakan.

Tapi cara itu tidak sebenarnya menyelesaikan masalah malah menambahkan masalah yang baru. 
 
Wang serta aset kerajaan (mesti difahami sebagai hak rakyat dan bukan hak parti yang menerajui kerajaan) yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan meningkatkan taraf kehidupan rakyat terpaksa diguna dan disalurkan bagi mengurus penjenayah itu dalam bentuk personel dan kos melakukan soal siat, kos perbicaraan, ruang penjara dan penyediaan makanan dan sebagainya.

Orang yang kaya yang mempunyai wang ringgit yang banyak, juga melakukan jenayah.

Mengapa mereka terlibat dalam perbuatan jenayah sedangkan kehidupan mereka terlalu lebih baik dari orang miskin?

Mereka melakukan jenayah kerana mahu hidup melampaui dari kehidupan yang munasabah dan kerana mereka mempunyai wang yang banyak, pengaruh dan kuasa yang boleh melindungi mereka dari tindakan undang-undang atau sekurang-kurangnya boleh melengah-lengahkan tindakan keatas mereka atau diputuskan sebagai tiada kes.
 
Jadi apa yang tidak kena seperti yang ditanya diatas? 

Yang tidak kena ialah Kerajaan yang tidak memberi kepentingan kepada mewujudkan KEADILAN SOSIAL bagi rakyatnya.

Kepincangan keadilan sosial inilah yang perlu diberi perhatian dan diperbaikki, jika perlakuan jenayah mahu dikurang dan dihapuskan.
 
Disenaraikan beberapa hal yang dengan jelas menunjukkan soal mewujudkan keadilan sosial ini tidak diberi keutamaan:
 
i) Memberi monopoli dan insentif (subsidi) perniagaan  kepada sebilangan kecil orang dan mereka yang terdekat dengan pihak yang berkuasa misalnya dalam industri gula, beras, pengeluar tenaga bebas  (IPP),  konsessi air, dan jalan, dan hak penyiaran.

ii) Mengurang dan pada akhirnya akan menghapuskan subsidi kerajaan dengan memilih subsidi yang memberi faedah kepada rakyat yang terbeban dengan kos hidup sebagai pemotongan yang didahulukan.
 
iii) Mengurangkan cukai korporat dan memperkenalkan GST (Cukai Baragan dan Perkhidmatan), suatu cukai yang meliputi semua orang termasuk yang miskin dan berpendapatan rendah yang sebelumnya tidak termasuk dalam kategori yang membayar cukai. 

iv) Segera mengambil tindakan menyiasat, mendakwa dan membicara jika perlakuan jenayah walau sekecil mana yang dilakukan oleh orang yang tiada pengaruh dan kuasa apatah lagi orang miskin berbanding dengan perlakuan jenayah walaupun besar dan serious yang dilakukan oleh yang mempunyai pengaruh , kuasa dan wang apatah lagi dekat dengan pihak yang berkuasa. 
 
Apakah memberi kad pengenalan biru kepada warga asing secara  sulit, bukan satu perbuatan jenayah atau penderhakaan kepada negara? Adakah memadai dengan penubuhan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasatnya? Apakah akan dilaksanakan perakuan-perakuan Suruhanjaya itu jika perakuan itu melibatkan orang yang berpengaruh?
 
Pertanyaan itu adalah pertanyaan mencari keadilan.
 
v)  Mengurus aset dan wang secara tidak berkhemah, tidak cekap dan membazir seperti yang dapat dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Itu hanya laporan sebahagian kecil saja apa yang berlaku dalam pengurusan kerajaan yang mampu dilakukan oleh Ketua Audit Negara.

vi) Banyak lagi yang kesemuanya memberi kesan yang buruk bagi mewujudkan keadilan sosial.

Penulisan saya ini terganggu dalam beberapa minit apabila menerima panggilan dari kakitangan astro. Beliau meminta saya untuk menukar decorder yang saya ada kepada yang baru, secara percuma dalam tempoh promosi. Kemudian beliau merubah dari percuma kepada memberi diskaun setelah saya bertanya betul ke percuma. Saya akan dikenakan bayaran 10 ringgit, tidak termasuk cukai kerajaan sebanyak 2 ringgit katanya. Setiap bulan saya akan bayar tambahan 10 ringgit kepada bayaran asal.

Astro juga ada menghantar surat makluman akan perlaksanaan kadar yang baru.

Ertinya astro yang dimiliki secara monopoli ini boleh buat sesuka hati bagi menyusahkan rakyat. Dan kita seabagi rakyat, ada dua pilihan. Tidak ada astro atau bayar apa yang astro tentukan.

Sudah tentu saya dan sebahagian besar dari rakyat Malaysia, termasuk yang miskin dan berpendapatan sederhana mahukan, iaitu satu kehidupan yang munasabah dalam sebuah negara Malaysia yang kaya dengan antara lain mendapatkan siaran tv berbayar seperti yang dimonopoli oleh astro ini.

Tapi jika itu yang saya hajati atau yang semua orang hajati maka kita tidak ada pilihan melainkan menerima saja yang dikenakan oleh astro, dengan perasaan dan hati yang sakit tidak terhingga.
 
Begitupun saya tidak akan melakukan jenayah, kerana kecil atau besarnya perlakuan jenayah, ianya tetap perbuatan yang keji yang wajar dihukum. 
 
Dalam masa yang sama saya terlalu amat sedar bahawa berlakunya keadaan ketidakadilan sosial ini adalah disebabkan saya hidup dalam sebuah negara Malaysia yang kaya dan rakyatnya yang miskin yang telah dan sedang diuruskan oleh orang-orang yang tidak ada kepedulian untuk memperbaikkinya kerana mereka mahu hidup melampaui kehidupan yang munasabah.




 
 
 
 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan