Theflowersellingboy

Isnin, 11 November 2013

Mengerja Haji dan Umrah: Kita Buat Sekali Saja, dan Duit Yang Berlebih Kita Bantu Orang Lain Untuk Buat Haji dan Umrah

Bahawa kedudukan ekonomi seseorang itu banyak mempengaruhi peluang seseorang untuk menunaikan haji dan  umrah. Lagi baik kedudukan ekonomi, lebih besarlah peluang seseorang untuk melakukan ibadat-ibadat tersebut, walaupun ianya tidak mutlak benar kerana ada juga faktor-faktor lain yang juga penting seperti sihat tubuh badan dan kuota haji yang telah ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi sesebuah negara. Jika lambat mendaftar di Tabung Haji lambatlah giliran seseorang untuk dapat menunaikan haji.

Mungkin giliran menunggu untuk menunaikan haji agak lama maka ramai orang yang mengerjakan umrah terlebih dahulu.
 
Melakukan ibadat umrah, bagi setengah pihak adalah amat perlu dan berfaedah sebelum menunaikan fardhu haji.. Pengalaman mengerjakan umrah ini dapat membantu seseorang untuk melakukan ibadat haji dengan lebih yakin lagi. Cuma, tidak ramai yang dapat berbuat demikian kerana kurang mampu. Dapat buat hajipun, hanya selepas bertahun-tahun mengumpulkan wang dan berdaftar dengan tabung haji. 

Ada juga yang melakukan kerja umrah (diluar musim haji ) pada setiap tahun. Ada juga selang beberapa tahun. Ada yang memilih bulan Ramadhan untuk melakukan umrah, untuk mengalami sendiri bagaimana suasana orang Islam menjalani ibadat umrah dan puasa di Mekah dan Madinah.
 
Dan ada yang tidak berpeluang melakukan umrah seperti itu walaupun dalam hati teringin sangat untuk melakukan umrah terutama dalam bulan Ramadhan. Orang ini hanya dapat membuat haji, sekali dalam seumur hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah kepada yang mampu dan tiada halangan yang lain.

Dan ada orang yang tidak dapat langsung mengerjakan umrah apatah lagi haji disebabkan uzur atau tidak mempunyai kemampuan kewangan.
 
Begitulah halnya dengan ibadat Rukun Islam yang kelima ini.

Kepada yang telah dapat melakukan haji dan juga umrah marilah kita panjangkan kesyukuran kehadrat Ilahi. Ramai lagi mereka yang belum lagi tertunai hasrat untuk melakukannya. 
 
Oleh kerana kuota haji boleh menyebabkan masa menunggu begitu lama maka sesiapa yang telah mengerjakan haji, wajarlah merelakan diri memberi peluang kepada orang lain yang belum pergi haji terutama mereka yang telah lanjut usia. Maksudnya, kita tidak perlu segera mendaftar untuk mengerjakan haji berikutnya.

Bagi saya, memberi peluang kepada orang lain untuk menunaikan haji adalah satu sikap, sifat dan tindakan, yang amat terpuji sekali. 
 
Selain dari itu didapati bahawa memang ada orang yang mampu dari segi wang, kesihatan dan pengaruh untuk melakukan haji dan umrah pada setiap tahun atau bila-bila masa dalam setahun untuk mengerjakan umrah. Bilangannya tidaklah ramai. 
 
Tapi jika orang seperti ini yang mempunyai wang, sihat tubuh badan dan yang ada pengaruh, hanya melakukan haji sekali dalam seumur hidupnya, mereka juga  membantu mempercepatkan orang lain yang belumpun pernah sekali mengerjakan haji untuk menunaikannya. Saya percaya, Allah akan memberi balasan pahala kepada orang seperti itu.
 
Wang adalah faktor utama yang memudahkan kita untuk dapat mengerjakan haji dan melakukan umrah. Ada wang yang mencukupi, bolehlah kita mendaftar untuk mengerjakan haji. Ada wang yang mencukupi bolehlah seseorang itu melakukan umrah diluar musim haji atau dalambulan Ramadhan. Dan jika ada wang yang berlebihan kita mampu melakukan kerja haji dan umrah lebih dari sekali, atau umrah setiap tahun sekali.

Tiada wang maka tiadalah haji dan umrah. 

Kita percaya Allah akan memberi balasan pahala terhadap perbuatan haji dan umrah kita itu. Logiknya ialah jika kita lakukan banyak kali maka sudah tentu kita akan mendapat pahala yang lebih banyak. Maknanya kalau kita mampu dari segi kesihatan dan wang maka mengapa pula bilangan mengerjakan haji itu perlu dihadkan sekali saja. Bukankah lebih baik kita  melakukan haji lebih dari sekali atau banyak kali, dan umrah setiap tahun sekali atau lebih dari sekali.

Dari segi banyaknya balasan pahala kerana menunaikan haji banyak kali, dan umrah sekali atau beberapa kali dalam setahun, hanya Allah saja yang maha mengetahui. 

Tapi saya percaya dengan memberi peluang kepada orang lain mengerjakan haji, Allah juga akan memberi balasan pahala kerana kita menolong orang lain untuk sama-sama dapat megerjakan haji.

Adalah lebih manis dan menambah eratkan jalinan kasih sayang dan persaudaraan jika seseorang yang telah menunaikan haji itu, yang mempunyai wang yang lebih yang mahu digunakan untuk menunaikan haji sekali lagi atau melakukan umrah banyak kali, menggunakan wang itu bagi membiayai orang lain yang tidak berkecukupan untuk mengerjakan haji atau umrah.
 
Saya tidak pasti yang mana satu lebih afdal atau balasan pahalanya lebih. Mengerjakan haji lebih dari sekali untuk diri sendiri, dan mengerjakan umrah banyak kali bagi diri sendiri atau membantu orang lain yang tidak berkecukupan wang untuk mengerjakan haji dan umrah. Cuma saya merasakan lebih baik kita yang telah pergi haji itu membantu orang lain untuk mengerjakan haji. Dan bagi kita teutamanya yang setiap tahun mengerjakan umrah, lebih baik kita membiayai orang yang belum pernah buat umrah.
 
Sekali lagi kalau ditanya dari segi balasan pahala, saya katakan hanya Allah saja yang maha mengetahui. Kedua-duanya adalah amalan yang baik.
 
Adakah dalam hati atau dalam diri kita telah subur segar satu perasaan yang saya panggil sebagai nafsu ketamakan diri?
 
Kita mahu melakukan sendiri perbuatan haji atau umrah . Kita merasakan wang berlebih yang kita ada itu adalah lebih baik kita sendiri yang gunakan. Kita rasa ralat atau semacam tidak sanggup orang lain menggunakan wang kita itu untuk melakukan haji atau umrah walaupun kita tahu ada balasan pahala jika wang itu kita gunakan bagi orang lain mengerjakan haji atau umrah.
 
Ya, ada ketamakan dalam diri kita. Kita mahu merasakan kepuasan melakukan sendiri haji dan umrah dari wang berlebihan itu.  Kita merasakan tidak puas jika wang berlebihan itu digunakan oleh orang lain.

Saya percaya terlalu susah bagi kita untuk menjadi tidak tamak walaupun bagi tujuan membantu dan mendapat balasan pahala. Sebab itu kita selalu mendengar cerita seseorang yang pergi umrah berulang kali. Jarang atau mungkin tidak ada cerita seseorang memberi wangnya kepada orang lain yang tidak ada wang untuk melakukan haji atau umrah.

Kalaulah mereka yang ada wang berlebihan itu, yang telah menunaikan haji, yang selalu buat  umrah,  menggunakan wangnya untuk membantu orang lain yang belum pernah buat haji atau umrah, alangkah baiknya. Soal pahala biarlah Allah tentukan. Kalau kita dapat melakukan begitu, kita berjaya membuang nafsu tamak dalam diri kita, walaupun perasaan tamak itu kita merasakan sebagai tamak untuk melakukan yang baik. 
 
Tapi membantu orang lain juga satu amalan yang baik dan dapat pahala. Bukan itu saja bahkan ianya mengeratkan lagi rasa kasih sayang dan saling bantu membantu diantara kita. Ianya lebih bersifat jemaah, tidak individualistik. Tapi ianya perlukan kekuatan hati untuk membuang nafsu tamak dalam diri. Tidak mudah tapi boleh dan perlu diusahakan.
 
 
 
 
 
 
 

1 ulasan: