Theflowersellingboy

Jumaat, 15 November 2013

Tahun 2014 Ramai Bakal-bakal Doktor Akan Menganggur?



Fakta dan maklumat penting:
 
i) Matlamat Malaysia ialah untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
ii) Jumlah penduduk pada tahun 2020 dianggarkan 34 juta
iii) Nisbah doktor dan penduduk USA (negara maju berpendapatan tinggi) ialah 1: 390
iv) Nisbah doktor dan penduduk yang mahu dicapai ialah 1 doktor bagi 400 orang penduduk. Ertinya memerlukan 85,000 doktor. 
vi) Mulai 2015 nisbah doktor dan penduduk ialah 1:600.
vii) Malaysia masih lagi kekurangan doktor.
viii) Pada masa ini (2013) terdapat 40,000 aktif doktor di Malaysia.
ix) Bilangan perjawatan doktor dalam perkhidmatan awam  28,309. Bilangan yang telah diisi 21,765 (2011).
x) Bilangan hospital sehingga tahun 2011 adalah sebanyak 132 buah. 
 
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr. NKS Tharmaseelan dalam sebuah laporan menyatakan kekhuatirannya akan berlaku pengangguran dikalangan para doktor yang akan memasuki pasaran kerja pada tahun 2104 nanti. Menurutnya seramai 5,000 orang doktor akan menganggur. 
 
Menurut beliau antara sebabnya ialah kerana bilangan hospital kerajaan yang tidak mencukupi (2011 hanya 132 buah saja) bagi melatih doktor-doktor tersebut.

Setiap tahun terlalu ramai doktor baru yang keluar yang perlu dilatih kesan daripada terlalu banyak institusi-institusi perubatan yang ditubuhkan bagi menjalankan kursus perubatan, tidak termasuk institusi perubatan diluar negara yang diiktiraf dan yang tidak diiktiraf.

Oleh kerana kebanjiran doktor baru berbanding dengan kemudahan tempat latihan yang ada (hospital), ianya membuatkan latihan kepada doktor baru itu (houseman) tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Menurut presiden MMA itu lagi bahawa ketika ini terdapat dalam 60 orang houseman dalam 1 unit hospital. 

Bagaimana mereka ini dapat belajar? Soal presiden itu.

Oleh itu MMA mencadangkan agar kerajaan membina banyak lagi hospital; menambahkan bilangan katil; lengkapkan hospital-hospital daerah dengan peralatan dan kelengkapan latihan bagi houseman ini.
 
Adakah kekhuatiran seperti yang dinyatakan oleh presiden MMA ini telah sedia diberi perhatian berat oleh kerajaan?

Kita percaya kerajaan telah sedia dan sentiasa memberi perhatian berat dalam soal penganguran dikalangan graduan. Sudah tentu kerajaan tidak mahu melihat doktor menganggur. Ianya menambahkan lagi bilangan graduan yang menganggur. Kita harap ianya tidak berlaku.

Ada sesuatu yang ganjil dan tidak munasabah jika ini berlaku, masudnya jika doktor menganggur, sedangkan Malaysia mengalami kekurangan doktor. Sebab itu kita ambil doktor dari negara luar misalnya dari India, Bangladesh dan Myanmar, untuk berkhidmat di Malaysia.

Jika sebenarnya hospital yang ada tidak mencukupi bagi tujuan menampong doktor baru ini bagi tujuan menjalani housemanship dan khidmat wajib dua tahun maka cadangan  MMA itu perlu diberi pertimbangan serious, dan dilaksanakan.

Melihatkan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dan me nsasarkan nisbah 1 doktor bagi 400 penduduk pada tahun 2020 seperti nisbah dinegara maju berpendapatan tinggi seperti USA (1: 390) maka kemungkinan doktor menganggur adalah kecil sekali.

Namun begitu kemudahan dan kelengkapan latihan kepada doktor-doktor baru itu perlulah dipertingkatkan termasuk pembinaan hospital baru.

Dalam masa yang sama kerajaan juga wajarlah menyediakan peruntukan yang besar bagi menghantar lebih banyak doktor untuk melanjutkan pelajaran bagi sesuatu kepakaran. Khidmat doktor pakar khususnya di hospital kerajaan adalah terlalu eksklusif sekali, tidak mudah untuk diperolehi. Dan khidmat doktor pakar swasta pula terlalu mahal.

Apa pun, kita mengharapkan tiada doktor yang menganggur pada tahun 2014 dan tahun-tahun berikutnya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan