Theflowersellingboy

Khamis, 14 November 2013

Menunggu selama 13 tahun, akhirnya.....



Kata orang menunggu adalah satu penyiksaan.

Mungkin ada kebenaran kata-kata itu. Misalnya menunggu isteri melahirkan anak. Macam-macam datang dalam fikiran selagi isteri belum melahirkan anak. Selamat ke isteri itu? Selamat ke anak itu? Bagaimana anak itu.....sempurna ke anggota badan  ...dan  macam-macam lagi.

Kalau apa yang diharapkan itu termakbul, suka dan gembiralah kita, dan bersyukur.  Terhapuslah dengan segera penyiksaan penungguan itu.
 
Kalau sebaliknya, muram dan dukacitalah kita. Kita terima dengan redha, jika tidak penyiksaan akan berterusan.

Mengapa agaknya menunggu itu satu penyiksaan? 
 
Mungkin kita mengharapkan sesuatu yang terbaik tetapi dalam masa yang sama ada perkara yang kita risau dalam penantian itu -sesuatu yang kita tidak ingini, yang selalu kita berdoa agar ianya dijauhkan Allah.
 
Jadi selagi menunggu, selagi masih mengharapkan yang terbaik, selagi masih belum tahu apa hasil penungguan itu, ianya menyiksakan kita. Makin lama menunggu makin menyiksakan. 
 
Ada juga yang naik bosan sehingga tidak mahu ambil kisah lagi. Dan ada yang terlupa apa yang ditunggunya. 

Bila menunggu sudah sampai tahap bosan dan sehingga lupa apa yang ditunggu, maka hilanglah rasa penyiksaan kerana tiada apa yang kita harapkan lagi. 
 
Oleh itu apabila kita menunggu atau menantikan sesuatu dengan mengharapkan hasil yang terbaik maka kita perlu bersabar. Perlu berdoa. Sudah tentu harapan bagi yang terbaik itu kita telah dahulukan dengan usaha yang bersungguh-sungguh. 
 
Jangan sesekali perasaan bosan menguasai diri kita kerana ianya akan melentur dan melunturkan harapan. Apabila tiada apa yang kita harapkan, kita tidak melihat adanya masa depan. 

Hanya orang yang memasang harapan saja yang melihat adanya masa depan. Untuk  sampai kesuatu masa depan, kita perlu menunggu datangnya masa depan kerana kita tidak boleh mendahului masa. 
 
Sudah tentu dalam perjalanan kemasa depan bagi terhasilnya sesuatu harapan, bermacam-macam hal yang kita hadapi dan tempuhi, secara fizikal dan emosional, yang menyebelahi dan yang menyusahkan. 
 
Masa depan adalah sesuatu yang tidak mudah kita ramalkan. Begitu juga kita tidak dapat meramalkan dengan pasti akan hasil harapan kita itu, dan bila ianya akan terhasil. Sebab itu kita kena menunggu. 
 
Adakah ianya satu penyiksaan?
 
Bagaimana pula yang kita tunggu itu sesuatu yang kita tidak suka, sesuatu yang kita tidak harapkan, sesuatu yang kita mahu  elakkan. Misalnya kita memandu kereta melebihi dari had laju yang dibenarkan, dan kita tahu kamera polis telah merakamkan kelajuan kita itu. Dan sudah tentu surat saman akan tiba pada suatu hari nanti.
 
Adakah penantian kita itu menyiksakan? 
 
Saya tidak tahu apa perasaan orang lain. Tapi bagi saya, saya mengharapkan agar surat saman itu tidak dihantar kepada saya.
 
Ertinya surat saman itu bukan sesuatu yang saya tunggu. Adakah tidak mahu menunggu itu bukan satu penyiksaan sedangkan kita tahu surat saman itu pasti akan datang? 
 
Bagaimana pula seseorang yang menunggu untuk ke tali gantung? Adakah penantian itu juga menyiksakan?

Dalam hal ini, pada agakan saya rasa tersiksa bukan lagi hal yang difikirkan kerana dia sudah tahu bahawa dia akan digantung sampai mati. Masa depan yang ditunggu itu tiada memberi apa-apa yang terbaik, melainkan mati.

Saya ada satu pengalaman menunggu bagi satu harapan. Penungguan saya selama 13 tahun. Pada hari ini, harapan yang ditunggu sudah terhasil.

Pada tahun 2000 apabila menduduki rumah sendiri saya ada menanam sebatang pokok durian disisi kanan rumah berhampiran dapur. Isteri saya yang suka makan durian itu sangat berharap agar pokok durian itu cepat berbuah. Ini merupakan cabaran kepada saya untuk memenuhi harapan isteri itu. Lalu pokok durian itu dijaga sebaik-baiknya dari segi pembajaan dan musuh tumbuhan.
 
Tapi setelah masuk tahun ke tujuh, pokok itu masih lagi tidak berbuah. Tapi pokok durian di dusun yang ditanam pada masa yang sama telah berbuah.  Bezanya, pokok durian di rumah, saya yang tanam dan jaga. Pokok durian di dusun, saya mengupah orang menanam dan menjaganya.

Maknanya , yang salah bukan pokok durian itu. Sayalah yang salah. Mungkin cara penjagaan saya tidak betul.

Oleh itu selepas tahun ketujuh itu saya tidak mahu ambil kisah tentang pokok durian itu. Maksudnya saya tidak lagi membajainya. Kalau nak berbuah, berbuahlah. Tak berbuah pun , lantaklah. Itulah sikap saya. Isteri saya lagi teruk, sehingga mencadangkan ditebang saja.
 
Tapi saya tidak tebang, Biarkan saja pokok itu membesar tanpa saya uruskan.
 
Sewaktu membakar sampah berdekatan dengan pokok durian itu, saya terpegun apabila ternampak tangkaian-tangkaian yang menjulur dari batang-batang pohon durian itu -tangkaian buah kecil berwarna hijau sebelum mengeluarkan bunga durian. 
 
Saya suka bersendirian. Kemudian memberitahu isteri akan berita yang beliau terlalu mengharapkan. Dia segera datang. Bukan main seronok lagi nampak gayanya.

"Jangan seronok sangat. Ingat, orang kencing manis mana boleh makan durian", saya mengingatkan isteri.

"Cucu ada. Anak ada", spontan isteri menjawab. Dia terlalu gembira sangat sehingga mengingatkan saya untuk menjaga dari dimusnahkan oleh tupai dan monyet yang memang terlalu banyak di kawasan rumah kami.

Setelah 13 tahun menunggu , akhirnya berbuah juga pokok durian yang saya tanam, yang ketika itu isteri mengharapkan dapat memakan buahnya. Tapi sayang sekali dia tidak boleh lagi makan buah durian yang bakal membesar dan gugur nanti. Tapi dia masih terlalu gembira kerana buah durian itu akan dimakan oleh anak-anak dan cucunya.

Jadi hasil penungguan saya amat berbaloi sekali walaupun selepas tahun ke tujuh saya tidak lagi ambil kisah tentang pokok durian itu. Tapisetelah ada hasil, barulah saya ambil kisah. Tidak patut sungguh saya bersikap seperti itu.

Apa pun penungguan saya bukan satu penyiksaan.


 
 
 
 
 

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan