Theflowersellingboy

Selasa, 5 November 2013

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau: "Kalah Dalam Menang".



Akhirnya calun PAS telah berjaya dalam PRK Sungai Limau Kedah. Tahniah.

Majoriti yang dimenangi berkurangan dari PRU yang lepas. Dan bilangan yang keluar mengundi juga berkurangan sebanyak 4%. Ini bermakna jika bilangan ini turut mengundi sama, mungkin keputusannya berbeza iaitu boleh memberi kemenangan kepada calun BN atau boleh menambahkan majoriti kemenangan calun PAS. 

Nampaknya kali ini tidak ada pihak yang mengungkitkan kesahihan keputusan itu. Malah kedua-kedua pihak yang bersaing menganggap PRK ini berjalan dalam suasana persaingan yang sihat dan aman walaupun berlaku satu dua kejadian kecil yang tidak diingini.

Ucapan tahniah kepada kedua-dua pihak yang bertanding dan SPR dan pengundi DUN Sungai Limau yang menzahirkan suasana pilihanraya seperti itu, aman dan sihat. Semoga ianya bertambah baik lagi terutama pada pilihanraya umum ke 14 nanti.

Selain dari suasana diatas, saya tertarik dengan ulasan Ketua Wanita UMNO tentang keputusan pilihanrya ini: 'BN kalah dalam menang'. Beliau nampaknya berpuas hati dengan bilangan pengundi yang diperolehi oleh BN/UMNO yang dapat mengurangkan majoriti kemenangan PAS itu. 

Tidak mudah untuk mentafsirkan apa yang dimaksudkan dengan komen seperti itu. Apatah lagi untuk membaca apa yang tersirat dalam hati nurani pihak yang memberi komen itu. 

Kita boleh buat bermacam-macam tafsiran menurut fahaman kita. Mungkin tepat seperti yang hendak dimaksudkan oleh penuturnya dan besar kemungkinan juga tersasar jauh dari maksud yang ada dalam hati penuturnya.

Misalnya komen 'BN kalah dalam menang', menggambarkan perasaan dan sikap bahawa harapan untuk menang pada masa depan masih ada. Apa yang diperlukan ialah kerja kuat bagi mencapai kemenangan pada masa depan. Kalah hari ini tidak bermakna akan kalah pada masa depan kerana telah ada petanda atau isyarat dari bilangan majoriti kemenangan PAS yang berjaya dikurangkan. 

Atau kita boleh juga berkata bahawa sebenarnya BN/UMNO menang kali ini berbanding dengan PRU yang lepas kerana majoriti yang dimenangi oleh PAS telah dapat dikurangkan lebih dari seribu. Maknanya UMNO telah menang dalam mengurangkan majoriti kemenangan PAS.

Jika kita mentafsirkan seperti itu, ada pula pihak yang berhujah bahawa itu bukanlah matalamat sebenar dalam sebuah persaingan politik dalam kerangka demokrasi untuk mendapat kuasa. 

Persaingan untuk mendapat kuasa politik bukan ditentukan oleh bilangan majoriti pengundi yang dapat dikurangkan. 

Sebaliknya satu undi saja yang diperolehi melebihi pesaing, kuasa politik pasti dapat dimiliki. Itu sebenarnya matlamat bersaing dalam politik iaitu untuk menang walaupun satu undi.

Bulan lepas menteri besar Kedah yang memimpin PRK Sungai Limau, telah tewas dalam merebut jawatan naib presiden UMNO. Sama seperti reaksi yang ditunjukkan oleh Ketua Wanita UMNO dalam PRK Sungai Limau, Menteri Besar Kedah ini  juga berpuas hati dengan pencapaian undi yang diterima. 

Pertama, ini adalah cubaan beliau yang pertama bagi jawatan tersebut. Kedua, undi yang diperolehi tidak jauh bezanya dengan pesaing yang memenangi kedudukan ketiga, walaupun beliau bukan calun yang direstui oleh pucuk pimpinan parti.

Bolehkah ditafsirkan kekalahan itu sebagai 'kalah dalam menang' sama seperti kegagalan menteri besar itu memimpin parti untuk menang dalam PRK Sungai Limau ini ?

Sama ada ianya satu kebetulan atau apa saja sebabnya, nampaknya menteri besar kedah ini menerima nasib yang sama dalam kedua-dua persaingan politik bagi menonjol dan mempamirkan pengaruhnya dalam politik. Dalam kedua-dua persaingan politik, dalaman dan luaran, menteri besar itu telah gagal.

Adakah kita boleh katakan bahawa menteri besar Kedah itu sebagai 'kalah dalam menang'?

Atau kita kata sebagai 'sudah nasib badan' dalam rangkaian kata penuh 'bukan salah ibu mengandung?

Atau lebih lembut lagi kita kata 'ianya sebagai takdir, redhalah saja ketentuan Allah'?

Apa pun komen yang kita tuturkan atau yang tersimpan dalam hati, komen yang sesuai dalam persaingan politik ialah 'menang ke kalah' walaupun dengan kekuatan/kelebihan satu undi.
 

   

 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan