Theflowersellingboy

Selasa, 26 November 2013

Tidak Bayar Cukai: Pengkhianat Negara?



Tidak bayar cukai atau keengganan membayar cukai, jatuh hukumnya sebagai pengkhianat negara. Itulah yang saya faham dari kata-kata yang diucapkan oleh PM, menurut apa yang dilaporkan oleh berbagai media.

Tidak bayar cukai- Penghianat Negara. Ini satu perkara yang serious. Kalau tidak membayar cukai itu sudah jatuh sebagai pengkhianat Negara, bermakna orang itu tidak amanah atau pecah amanah. Pecah amanah, hukumnya berdosa.

Jadi semua orang mesti bayar cukai.

Gagal membayar cukai atau tidak mahu membayar cukai atau mengelak dari membayar , menurut apa yang ditafsirkan oleh PM sebagai pengkhianat negara itu, meletakkan kita sebenarnya melakukan kesalahan yang amat besar. Kita berdosa. 

Berdosa, bermakna kita akan diberi balasan siksa diakhirat nanti, mengikut apa yang diajarkan oleh agama Islam. Dan  kita juga boleh dikenakan hukum didunia dalam bentuk denda yang diperuntukkan oleh undang-undang negara. 

Sudah tentu kita tidak mahu dikenakan siksa diakhirat dan dikenakan denda didunia. Kita hendak yang terbaik dunia dan yang terbaik diakhirat seperti dalam doa yang selalu kita pohon dari Allah. Hindarkan kita dari bakaran api neraka.

PM sudah berkata sedemikian. 

Kita tidak pasti ianya satu keputusan yang telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. 

Atau terdapat dalam mana-mana peruntukan undang-undang negara yang mentafsirkan sedemikian.  Tapi setakat yang diketahui, tidak ada dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mentfasirkan tentang apa itu perbuatan atau perbuatan-perbuatan yang dikategorikan sebagai mengkhianati negara.

Atau adakah akan digubal satu undang-undang yang mentafsirkan perbuatan, perlakuan, tindakan, usaha, kaedah, teknik, pujukan, ajakan dan yang seumpamanya sebagai bersifat mengkhianati negara sebagai persediaan bagi melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) pada tahun 2015 yang akan datang.

Jika demikianlah yang akan dilakukan atau jika itulah yang dihukumkan kepada sesiapa yang tidak mahu membayar cukai maka jelas sekali bahawa Kerajaan tidak akan berganjak dalam melaksanakan GST pada 2015 walaupun ada pihak dan sebahagian rakyat yang menentang dan tidak bersetuju.

Namun kita percaya, PM tidak akan sembarangan membuat kenyataan seperti itu tanpa mendapat pandangan atau nasihat dari seseorang atau pihak yang berkepakaran dan berkelayakan untuk menafsirkan bahawa tidak membayar cukai itu adalah pengkhianat negara.

Tapi mengapa pula ada pihak dan sebahagian rakyat yang mahu menentang perlaksanaan kutipan cukai termasuk GST. 

Mereka yang menentang ini mahu jadi pengkhianat negara?

Saya percaya mereka juga sayang dan cintakan negara. 

Mereka mempunyai hujah yang tertentu. Ada yang berhujah bersumberkan al-Qurnan , hadith dan amalan-amalan yang telah dilakukan oleh para pemimpin Islam terdahulu seperti pada masa pemerintahan Khalifah Umar Ab. Aziz yang tidak mengenakan cukai keatas rakyatnya. Dihujahkan juga bahawa kutipan cukai menjadi harus jika dalam keadaan darurat dengan memenuhi syarat tertentu. 

Selain hujah seperti diatas , ada juga yang menolak GST kerana cukai itu tidak membezakan diantara mereka yang  miskin dan yang kaya. Semua kena cukai. Ertinya cukai GST ini menambahkan beban orang yang sedia susah.

Pihak kerajaan berhujah sebaliknya. Bahawa GST ini akan berjaya mengutip hasil negara yang lebih banyak kerana cukai ini meliputi semua orang. Dengan hasil atau pendapatan cukai yang banyak itu ianya akan meningkatkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan berbagai program, projek, perkhidmatan, bantuan dan aktiviti demi kebaikan rakyat dan negara. Dan kerajaan juga telah berjanji akan membantu mereka yang memerlukan bantuan terutamanya rakyat yang berpendapatan rendah.

Hujah kerajaan itu ada kebenarannya iaitu pendapatan negara yang bertambah akan meningkatkan lagi kemampuan kerajaan untuk memaju, membangunkan negara  dan membantu rakyat yang susah.

Yang menjadi penghalang kepada usaha kerajaan itu ialah Pengkhianat negara.

Tapi erti pengkhianat negara itu bukanlah hanya terhad kepada mereka yang tidak mahu membayar cukai saja, sama ada GST atau cukai-cukai yang lain. Tidak menunaikan janji pada rakyat pun termasuk sebagai pengkhianat negara. Salah urus tadbir sumber dan wang negara pun pengkhianat negara. Mengeluarkan kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asingpun pengkhianat negara. Menyalahguna kuasa yang diamanah  termasuk mencuri wang negara dalam berbagai cara dan bentuk adalah dalam kelas yang sama dengan melakukan jenayah penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia -pengkhianat negara juga.

Itu adalah sebahagian dari perlakuan yang saya tafsirkan sebagai perbuatan mengkhianati negara. Sudah tentu ianya masih belum mencukupi, belum lengkap, tidak 'exhaustive'.

Dengan hal yang demikian kerajaan wajar menggubal, jika masih belum ada, satu undang-undang yang mentafsirkan apakah yang dimaksudkan mengkhianati negara atau pengkhianat negara. Kita mempunyai ramai kepakaran dan orang-orang yang berkelayakan untuk diajak berbincang dan merumuskan tentang pengkhianatan negara itu untuk digubal satu undang-undang dan dibentang di Parlimen untuk diluluskan.

Saya percaya jika itu dilakukan, kata-kata PM tentang mereka yang tidak membayar cukai sebagai pengkhianat negara tidak akan menjadi perkara atau  ucapan yang menjadi bahan perlekehan kerana PM bercakap atas ketetapan yang dibuat oleh undang-undang.

Jadi jika kita tidak membayar cukai, kita masih lagi bukan pengkhianat negara selagi tiada undang-undang atau fatwa yang berkata sedemikian. Dan sudah tentu melakukan urus tadbir negara secara yang menyeleweng yang tidak amanah, adalah layak untuk dikategorikan sebagai pengkhianat negara. Jangan gagal ini dimasukkan dalam undang-undang yang dinyatakan diatas.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan