Theflowersellingboy

Isnin, 4 November 2013

Bajet 2014: Menguruskan Hutang Negara Atau Menguruskan Wang Negara Bagi Pertumbuhan Ekonomi, Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.




Beberapa hari lepas, saya mulakan bicara dengan memaparkan kedudukan hutang negara, bayaran faedah dan kesannya bagi setiap rakyat.

Bahawa kedudukan hutang negara pada tahap yang kritikal tidak dapat dinafikan. Maka kerajaan begitu obses sekali, dan mungkin panik, sehingga bajet sebagai alat fiscal dirangka kearah menangani hutang tersebut melalui beberapa langkah dalam bajet 2014, antara lain:

i) mengurangkan defisit
ii) merasionalisasi subsidi
iii) menambah pendapatan negara dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dengan langkah-langkah tersebut, keperluan kerajaan untuk berhutang boleh dielakkan atau dikurangkan.

Jadi bajet 2014 itu adalah sebenarnya bajet berfokuskan hutang atau dirangka dalam kerangka hutang negara. Ianya bukan satu perancangan kewangan bagi pertumbuhan ekonomi. Sebab itu peruntukan pembangunan tahun 2014 menjadi kurang dari tahun 2013. Itu kesan yang saya dapati dalam bajet yang dibentangkan itu.

Sewajarnya kerajaan mengambil langkah untuk tidak berhutang atau mengurangkan hutang negara, lantas mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Tapi soalnya mengapa kerajaan berhutang pada jumlah yang banyak? Untuk  maksud apa? Adakah pendapatan negara itu disalurkan kepada perbelanjaan-perbelanjaan yang boleh dan mampu menjana pendapatan? Bagaimana peruntukan-peruntukan yang telah diluluskan dimenfaatkan? Adakah berlaku perbelanjaan tanpa kawalan? Atau peruntukan disalahurus misalnya kos yang dikembungkan (inflated cost) bagi menampung sesuatu pembayaran diluar peraturan, dalam kes perolehan dan pembelian aset kerajaan, dalam sistem tender terpilih, runding harga, sistem rekabentuk dan bena, dan penggunaan khidmat perunding?

Soalan-soalan itu ada kaitan langsung dengan kedudukan hutang negara ketika ini.

Mengapa perlu berhutang? Jawabnya kita tidak ada wang yang cukup. Mudah saja.

Untuk maksud apa kita berhutang? Untuk berbagai maksud bagi sesuatu matlamat.

Adakah pendapatan negara digunakan bagi menjana pendapatan? Sewajarnya begitu. Tapi bukanlah perbelanjaan dalam bentuk BR1M.

Adakah peruntukan itu dimenfaat sepenuhnya? Dan adakah berlaku perbelanjaan tanpa kawalan? Atau kos yang dikembungkan? Sepatutnya peruntukan itu dimenfaatkan untuk kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat melalui cara berbelanja berkhemah, dengan mengamalkan kebertanggungjawaban dan keterbukaan.

Pada setiap tahun, Ketua Audit Negara (KAN) melaporkan bahawa terdapat kepincangan dalam penggunaan wang dan pengurusan aset kerajaan. Maknannya perbelanjaan tidak dilakukan seperti sepatutnya dan kawalan perbelanjaan adalah longgar sekali sehingga hampir setiap tahun peruntuka tambahan perlu dipohon bagi perbelanjaan yang telah dilakukan. Difisit makin bertambah dari jangkaan awal?

Sebab itulah pendapatan negara tidak mencukupi untuk menampong perbelanjaan. Maka jalan keluar yang ada ialah melakukan pinjaman. Paling malang jika pinjaman itu adalah bagi maksud belanja mengurus.

Berhutang atau meminjam bukan satu hal yang boleh membawa negara kepada bengkrap. Syaratnya berhutang atau meminjam itu dilakukan setelah pendapatan negara diagih dan digunakan secara efisen sehingga tidak ada lebihan yang boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek pembangunan, misalnya projek infrastruktur dan projek-projek yang boleh menjana pendapatan negara. Meminjam adalah bagi membolehkan negara melabur bagi keuntungan pada masa depan.

Jika diikuti laporan KAN , banyak berlaku salah urus dan ketidakcekapan dalam melakukan perbelanjaan sehingga melibatkan pembaziran wang berbilion ringgit. In tidak termasuk kebocoran dalam bentuk rasuah dan peningkatan kos sesuatu perolehan dan projek disebabkan berbagai perubahan yang dilakukan keatas pelan atau sepesifikasi asal atau spesifikasi yang disediakan bagi membolehkan pihak-pihak tertentu saja yang dapat mengambil bahagian (tailored specs), tender terpilih dan sistem fast track, runding harga dan penggunaan terlalu banyak khidmat perunding, dan kegagalan menyiapkan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh kontraktor yang dipilih.

Bermakna, negara terpaksa berhutang bukanlah sangat disebabkan bagi satu pelaburan untuk menjana pendapatan, bukan juga kerana negara kekurangan hasil tapi berpunca dari pengurusan kewangan (pendapatan dan perbelanjaan) yang tidak cekap dan menyeleweng.

Soalnya ialah kenapa pula rakyat yang terpaksa menanggung diatas perlakuan kerajaan yang tidak cekap mengurus ekonomi negara ini?

Mengapa atas nama rasionalisasi subsidi yang bertujuan untuk mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan, kerana berhutang, kerajaan mensasarkan kepada perbelanjaan harian rakyat biasa , terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana seperti minyak dan gula? Apa pun alasan kerajaan sama ada dari segi kesihatan atau sebab lain, dan ajakan untuk rakyat bercermat, tindakan mengurangkan subsidi gula dan minyak, yang sekaligus menaikkan harga bahan-bahan tersebut, dan kesannya kepada mempengaruhi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain, sebenarnya bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mensejahterakan rakyat. 

Gagallah satu dari TERAS UTAMA BAJET 2014. Gagallah kata-kata hikmat kerajaan bahawa RAKYAT DIDAHULUKAN. Maka bertukarlah dari MENEPATI JANJI KEPADA MEMUNGKIRI JANJI iaitu satu lagi TERAS BAJET 2014.

Mengapa subsidi yang sangat-sangat diperlukan rakyat itu dikurangkan?

Benar, dalam jangka masa panjang subsidi adalah tidak sihat dari segi pertumbuhan ekonomi. Tapi mengapa subsidi kepada rakyat yang amat memerlukan itu, yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi , ditarik terlebih dahulu berbanding dengan subsidi sektor korporat yang sebahagiannya dipanggil dengan berbagai nama seperti tax relief, insentif, capital allowance, pioneer ststus dan sebagainya.

Mengapa pula tidak ada usaha yang berani dan bersungguh untuk menaikkan upah dan pendapatan rakyat. Adakah kadar upah minima RM900 sebulan itu sudah mencukupi bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup?

Sebenarnya, kerajaan tidak perihatin dan serious dalam hal menaikkan upah minima. Apakah makanan, barang, perkhidmatan dan keinginan yang boleh dibeli dari pendapatan RM 900 itu? Anak ada 5 orang. Semua bersekolah. Ada yang terpaksa melanjutkan pelajaran dikolej swasta kerana gagal masuk kolej/institusi awam atas sebab kelulusan yang agak rendah. Bukan kerana anak orang susah itu tidak ada kemampuan otak tapi tidak mempunyai peluang dan kemudahan seperti anak-anak orang kaya dalam mendapatkan berbagai ases pelajaran.

Ya, kerajaan ada jawapan untuk anak orang susah ini untuk meneruskan pelajaran. Pohonlah pinjaman PTPTN. Ertinya kerajaan suruh belajar cara-cara berhutang seperti yang diamalkan oleh kerajaan sekarang ini. Apabila telah sesak nafas dik hutang, tarik subsidi gula dan minyak. Tidak cukup dengan itu kenakan cukai kepada semua orang-GST. Kenakan cukai kepada semua orang tanpa kecuali-itu adalah asas keadilan kerajaan. Tapi kenapa tidak berlaku adil dengan cara mengagihkan kemakmuran negara kepada semua rakyat agar jurang perbezaan kehidupan diantara rakyat tidak jauh berbeza- seorang mampu berjalan kaki menapak berbatu-batu dan seorang lagi naik jet eksekutif untuk sampai kedestinasi dimana dia suka.

Ya, benar kerajaan beri BR1M. Tapi itu bukan cara yang betul bagi menaikkan pendapatan rakyat yang mapan. Ianya tidak 'sustainable'. Bayangkan BR1M RM500 yang diberi sekali, bukan tiap-tiap hari, bukan selang hari, bukan seminggu sekali, bukan sebulan sekali, dan bukan separuh tahun sekali, untuk dibelanjakan oleh  rakyat susah itu. Bil letrik dan air pun tidak mencukupi bagi tujuan itu. Inikan pula nak bayar bil astro?  Orang susah pun nak tengok astro juga walaupun perkhidmatannya mahal gila.

Bukankah lebih baik jumlah peruntukan untuk BR1M itu dimenfaatkan kepada sesuatu projek yang boleh meningkatkan ekonomi rakyat dalam jangka masa panjang.

Jadi bajet 2014 adalah bajet tentang hutang dan bukan bajet bagi maksud untuk tujuan pertumbuhan ekonomi, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

Jika kita pergi secara terperinci setiap butiran peruntukan yang membentuk bajet itu, banyak perkara yang dapat kita ketahui. Dan sepatutnya ahli-ahli parlimen meneliti secara detail peruntukan yang dicadang dan dipohon dalam bajet 2014. Macam-macam rahsia akan terserlah. Berikan tumpuan antara lain kepada peruntukan Bekalan dan bahan, Perolehan Harta Modal khususnya kod 3300 dan Pemberian khususnya kod 4100.


 


 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan