Theflowersellingboy

Khamis, 21 November 2013

Kikiskan Metos Pentas Bola Sepak Jika Kita Mahu Masa Depan Bola Sepak Yang Lebih Baik.



Kecoh lagi fasal bola sepak. Puncanya kekalahan yang berpanjangan. Kekalahan untuk menunju matlamat ke pertandingan antarabangsa, di peringkat juara Asia. Ke peringkat juara dunia telah lama berkecai.

Malah untuk menjadi juara peringkat negara kelompok ASEAN pun, kita seperti orang semput, terkial-kial. Ada masa menang, tidak kurang juga banyak kali kalah.

Begitu juga, dalam Piala Pestabola Merdeka, yang sudah tidak ada serinya lagi. Kita belum tentu menang walaupun bermain ditempat sendiri, dengan sorakan dan sokongan penonton sendiri.

Maknanya kita selalu kalah dan tidak pernah menang dalam persaingan kejohanan peringkat antara bangsa.

Pada suatu masa dulu, pada tahun-tahun awal kemerdekaan dan sehingga tahun tujuh puluhan, kita selalu jadi juara pestabola merdeka. Mengalahkan pasukan Korea, bukan satu perkara yang luar biasa atau kebetulan atau pun nasib. Mengalahkan Thailand , Burma (Myanmar), Singapura dan Indonesia adalah sesuatu yang boleh dijangka sebelum perlawanan.

Begitulah hebatnya pasukan bola sepak kita, pada suatu masa dulu.

Bagi generasi seperti saya, sudah tentu tidak akan lupa betapa seronoknya menonton siaran secara langsung dari Munich, Jerman, kalau tidak silap saya pada tahun 1972 , dalam perlawanan sukan olimpik, kita telah menewaskan pasukan Amerika Serikat 3 kosong? (saya kurang ingat bilangan skor). 

Kita juga merasa kecewa apabila pasukan bola sepak kita tidak mengambil bahagian di sukan olimpik Moscow, walaupun kita telah layak, disebabkan pertimbangan politik.

Dan sudah tentu nama-nama pemain seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, mendiang Arumugam, Soh Chi Aun dan banyak lagi  sentiasa bermain dibibir dan menjadi harapan dihati bagi mencapai kemenangan.

Sekarang, yang bermula pada tahun-taun 80an, pasukan kita adalah pasukan belasahan Singapura, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Thailand. 

Memang keras perkataan belasahan itu dan ianya juga tidak tepat kerana ada masanya kita menang, tetapi saya gunakan juga sebagai menyatakan bahawa prestasi pasukan bola sepak kita tidak menunjukkan kemajuan seperti pasukan Korea yang terlalu jauh meninggalkan kita.

Sekali lagi saya ingatkan bahawa suatu ketika dulu antara kita dan Korea tidak jauh beza dari segi standardnya. Ada masa kita menang dan ada masa Korea menang.

Beberapa tahun kebelakang dan sekarang ini kita sentiasa kalah dengan Korea.

Saya tidak nampak pada masa depan kita dapat menyaingi atau mendekati standard pasukan Korea.

Arab Saudi, Qatar, Bahrin, UAE dan beberapa negara teluk yang lain seperti  Iraq pernah tersungkur dengan pasukan kita, pada suatu masu dulu.

Tapi dalam perjalanan menuju Australia bagi kejohanan Piala Asia, kita kalah dengan Qatar dua kali (dirumah sendiri dan dilaman orang), sekali kalah dan sekali seri dengan Bahrin dan menang dengan Yaman yang hanya dapat mengumpul 4 mata. 

Kalau menangpun dengan Yaman pada perlawanan terakhir nanti, ianya kemenangan kosong saja.

Tapi ada pihak akan tidak bersetuju dengan kenyataan kemenangan kosong itu. 

Mereka akan bingkas bangun dan marah-marah menyatakan bahawa maruah pasukan mesti dijaga. Maruah negara adalah penting dipertahankan. Dengan itu kata mereka, kita mesti menang perlawanan dengan Yaman nanti walaupun harapan ke Australia telah lebur. 

Gagal ke Australia, tidak bermakna gagal segala-galanya. Matlamat kita bukan saja ke sukan Asia, malah lebih dari itu , untuk mempertahankan nama pasukan dan maruah negara. Begitulah kata-kata yang saya cuba ramal yang akan keluar dari mulut mereka. Sungguh bersemangat sekali.

Tidak hairan jika ada orang berkata begitu. 

Dan saya juga nak beritahu bahawa selain dari mereka itu , rakyat Malaysia yang lain pun mempunyai semangat untuk menjaga nama baik pasukan dan maruah  negara. 

Tapi antara dua golongan ini, ada bezanya dari segi kepemunyaan semangat itu.

Kepemunyaan  semangat bagi yang satu itu  menjadi berkobar-kobar kerana mereka terlalu sayangkan persekitaran bola sepak itu sebagai sukan number satu dunia, dan nilai tambah hasil dari memiliki pentas bola sepak itu, sehingga mereka menjadi lelan dan menganggap pentas bola sepak itu sebagai ruang 'khas untuk penyandang' (personal to holder).  Ianya sudah menjadi metos.

Kekalahan pasukan, gagal dalam destinasi yang hendak dituju, walaupun terlalu pahit untuk ditelan, tidak juga menjadi  satu petunjuk yang jelas untuk jalan keluar meninggalkan pentas bola sepak.

Bagi golongan kedua pula, mereka terlalu sayangkan pasukan, terlalu sayangkan negara, bahawa hujan ribut , taufan, petir dan halilitar sabung menyabung, jika pasukan diatas padang bertembung dengan lawan, mereka tetap bersama walaupun mereka tidak pernah berada diatas pentas yang menentukan arah tuju bola sepak negara. 

Pasukan tetap dihati mereka , sebab itu mereka lantang bersuara meminta perubahan apabila melihat pasukan sentiasa parah dan kalah. Mereka yang berada di atas pentas yang menentukan arah tuju bola sepak negara, dipersilakan berundur. Itulah harapan dari suara lantang mereka.

Namun, melihat perkembangan yang ada, dan selagi metos 'khas untuk penyandang' masih lagi dipegang bagi mengisi ruang pentas bola sepak  negara, yang menentukan hala tuju pasukan, saya tidak nampak masa depan bola sepak Malaysia akan berubah dari warna kelabu malap kepada warna cerah, jauh sekali akan dapat mendekati standard pasukan Korea yang satu masa dulu kita pernah kalah dan menang, apatah lagi untuk sama-sama bermain dalam merebut  kejohanan peringkat antarabangsa.

Apa yang perlu kita lakukan?

Semua pihak sama ada yang ada di pentas atau yang bersorakan dibawah pentas hendaklah sama-sama memikirkan untuk kemajuan bola sepak negara. 

Bagaimana?

Saya hanya mampu mencadangkan agar kepercayaan bahawa pentas bola sepak itu sebagai 'personal to holder', di kikiskan dari kepercayaan kita. Dan saya percaya, sebahagian besar rakyat malaysia telah tidak percaya kepada metos itu.

Kata bijak bistari terdahulu bahawa yang patah akan tumbuh, yang hilang boleh diganti. 

Kata orang putih, 'no one is indispensable'.  






Tiada ulasan:

Catat Ulasan