Theflowersellingboy

Khamis, 31 Oktober 2013

BAJET: Pengurusan Wang dan Sumber Negara -i) Hutang : Kesan Kepada Negara dan Individu




Saya mulakan bicara BAJET: Pengurusan Wang dan Sumber Negara dengan memaparkan kedudukan HUTANG NEGARA. 

Dibawah ini dipaparkan maklumat dan stastistik berkaitan dengan hutang negara yang saya petik dari media sosial.

Jumlah Hutang Negara                                          RM 527.5 billion
Faedah Setahun                                                      RM   17.67 billion 
Jumlah Penduduk Malaysia                                             29.3 juta
Hutang Ditanggung Setiap Seorang Warga            RM18,000
KDNK (GDP)                                                         RM 968.297 billion
% Hutang kepada KDNK                                                 54.28%


Saya tidak terperanjat tapi hanya mengeluh apabila saja mendapat maklumat seperti diatas. Ianya satu kedudukan yang amat genting kepada negara, sekaligus kepada rakyat Malaysia. 

Kalau kita jadikan hutang itu sebagai hutang peribadi kita, ianya bermakna duit gaji yang kita perolehi itu, 54.28% darinya ialah untuk bayar hutang. Ertinya jumlah wang setelah ditolak hutang hanya tinggal 45.72% saja, iaitu jumlah baki  yang boleh digunakan (take home income).

Dari segi peribadi, kita hanya boleh berbelanja setakat 45.72 % dari gaji kita. Jika kita mahu berbelanja lebih dari baki yang ada maka kita mesti mencari sumber tambahan yang lain, misalnya membuat kerja selain kerja tetap kita atau kita membuat pinjaman atau berbelanja secara berhutang (kredit). 

Jika kita amalkan cara berhutang, kesannya ialah kita tidak dapat merasa panas duit gaji kita itu, setiap kali kita menerimanya. Ianya sudah menjadi hak orang lain, berpindah tangan dengan begitu pantas sekali.  Dan jika kita ponteng bayar hutang, hutang kita akan terkumpul menjadi bertimbun yang akhirnya semua baki gaji kita itu tidak mampu untuk membayar hutang yang terkumpul itu. Paling malang dan berbahaya, jika kita berhutang dengan Along, keselamatan kita dan keluarga termasuk nyawa menjadi terancam.

Sama juga dengan negara. Negara hanya mampu untuk berbelanja sebanyak peratusan (45.72%) itu juga. Negara mesti mencari sumber pendapatan tambahan atau membuat pinjaman yang baru. Dan jika negara berterusan mengamalkan berhutang sebagai cara mendapatkan sumber pendapatan tambahan, kesannya sungguh malang dan bahaya sekali, negara akan jatuh bengkerap.

Sebagai individu, tidak semudah itu untuk kita membuat atau mendapat kerja tambahan. Ianya melibatkan masa, peluang, persaingan, modal, kemahiran bidang tersebut, dan kemampuan daya tahan fisikal kita sendiri selain komitment kita kepada keluarga dan masyarakat. Jadi, sebahagian besar kita akan berada pada baki gaji 45.72% itu saja. 

Simpanan? Sudah tentu tidak dapat dilakukan. Dan dengan itu kita juga tidak mempunyai peluang bagi memajukan diri sendiri pada masa depan, kekal ditakuk lama.

Begitu juga diperingkat negara. Jika negara dibebankan dengan hutang yang begitu besar (54.78%), maka negara mempunyai kemampuan terhad untuk melakukan perbelanjaan, apatah lagi untuk melakukan simpanan. Dengan baki wang yang terhad itu, sebahagian besarnya hanya diperuntukkan kepada belanja mengurus, terlalu sedikit untuk belanja pembangunan yang boleh menjana pendapatan negara pada masa depan. Ditambah buruk lagi jika negara tiada simpanan. Apabila tiada simpanan, negara tidak ada kemampuan untuk melakukan pelaburan baru bagi menjana pendapatan. Ertinya, ianya tiada pertumbuhan. 

Yang berbeza diantara negara dan kita secara individu ialah negara mempunyai kemampuan untuk mendapatkan sumber tambahan lebih mudah dari kita sebagai individu. Ertinya pihak yang telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan negara (kerajaan) akan mampu mendapat  pendapatan tambahan melalui berbagai cara yang dibenarkan oleh undang-undang. 

Biasanya cara yang digunakan kerajaan ialah dengan memperkenalkan cukai baru, mengenakan kadar tinggi bagi cukai yang sedia ada atau menyusun semula kadar cukai sedia ada kearah menghasilkan pendapatan yang lebih, selain dari membuat pinjaman melalui berbagai cara sama ada pinjaman langsung atau penjualan instument hutang kerajaan seperti bon.

Selain dari menambahkan pendapatan, negara juga boleh melakukan pengurangan perbelanjaan melalui pengurusan kewangan yang berkhemah iaitu tiada pembaziran perbelanjaan, menyusun semula keutamaan perbelanjaan, memperkemaskan proses, prosedur, kaedah, sistem, peraturan dan undang-undang kearah perlaksanaan penggunaan wang dan harta awam yang cekap dan berkesan, menyusun semula orgainisasi kearah mengurang atau menghapuskan pertindihan tugas dan tanggungjawab, mengkaji semula subsidi dan insentif yang menyebabkan pertambahan perbelanjaan dan pengurangan hasil negara, dan berbagai langkah lagi termasuklah juga mengkaji dan menyusun semula konsessi dan perjanjian penswastaan yang berat sebelah.

Tapi bagi individu yang mempunyai baki pendapatan 45.72%, terlaku sukar baginya untuk melakukan penjimatan atau pengurangan perbelanjaan kerana tanggungan yang bertambah (pertambahan anak misalnya)  dan kenaikan kos sara hidup diluar kawalannya. Bermakna jika baki pendapatannya kekal sama banyaknya maka kualiti hidup individu itu akan merosot bersama dengan tekanan jiwa dan perasaan sehingga boleh membawa kepada perbuatan yang merosakkan diri dan negara seperti melakukan perbuatan jenayah.

-------------

Bersambung ii)  Bajet 2014 : Menguruskan Hutang Negara Atau Meguruskan Wang Negara Bagi Pertumbuhan Ekonomi Bagi Kemakmuran dan Kesejahteraan Rakyat.
 



  

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan