Theflowersellingboy

Khamis, 7 Februari 2013

Rupanya Saya Bermimpi

Saya ada wawasan. Saya ada harapan. Saya ada suara hati. Saya ada budi. Saya ada bahasa. Saya ada pekerti. Saya ada kasih sayang dan ikhsan.

Saya mahu jadi seorang insan yang terbaik. Saya mahu semua orang tanpa kecuali suka pada saya. Dan saya pula suka kepada semua orang. Tiada permusuhan, tiada pergeseran, tiada perbezaan kepentingan dan tiada yang ada sakit hati atau saya yang menyakitkan hati. Semua beres bisa diatur.

Itulah wawasan saya.

Saya ada harapan kerana tanpa harapan saya tidak mempunyai makna untuk meneruskan kehidupan. Harapan saya ialah untuk berbuat baik kepada semua orang. Orang yang senang dan mewah adalah kawan saya. Orang susah miskin papa kedana juga kawan saya. Maknanya semua insan termasuk makhluk Allah yang lain adalah terlalu dekat dihati saya. Saya sayang kesemuanya. Saya tidak suka semuanya itu mendapat susah, menjadi binasa, teranianya dan pupus hilang didunia.

Itulah harapan saya.

Suara hati saya tidak pernah akan bersetuju hal-hal yang buruk dan merosakkan, yang hitam tidak akan dikatakan putih begitu juga sebaliknya. Suara hati saya tidak buta warna.  

Saya memiliki suara hati seperti itu.

Saya ada budi dan suka berbudi. Apalah erti hidup kalau tiada budi dan tidak pandai berbudi. Lebih baik mati kerana tiada budi, hidup terlalu hina sekali. Mana mungkin sepanjang hayat  saya mengizinkan dua tapak tangan sentiasa menadah meminta dan menerima. Hina sekali orang tiada budi.

Begitulah halnya dengan saya insan yang berbudi

Saya juga ada bahasa, pandai mengambil bahasa, bertegur sapa agar hidup dan suasana menjadi mesra dan ceria. Bahasa saya bahasa bertempat. Dengan yang tua, yang jadi ketua , dalam majlis , ada lenggok, ada gaya dan ada kata yang manis dan indah  dalam bicara.  Yang sebaya, bahasa saya selamba saja, seadanya, dalam gurau ada juga sendanya. Yang muda belia, pangkat anak,  bahasa saya bahasa semangat menyegar jiwa.

Demikianlah pilihan cara bicara saya.

Saya juga ada pekerti kerana saya orang yang berbudi. Saya jaga pekerti agar tidak tersinggung dan menyakitkan hati. Waktu berjalan melampaui  yang tua atau yang jadi ketua atau sesiapa saja badan sentiasa dibongkokkan sedikit sambil tangan kiri diangkat menghampiri dada dan yang kanan menghulur ke bawah mendahului langkah memohon izin untuk ke depan. Itu tanda hormat tidak menyombong membesarkan diri.

Pekerti macam itulah yang saya sentiasa pamirkan, merendah diri.

Saya ada kasih sayang dan ikhsan.

Apalah ertinya insan jika tiada kasih tiada sayang dan tiada ikhsan. Saya ada itu semua. Sebab saya ada wawasan untuk menjadi insan terbaik; harapan saya untuk berbuat baik kepada semua orang; suara hati saya untuk berkata benar melainkan yang benar belaka; saya begitu kepingin menabur budi bukan menyerah diri; saya mahu bicara bertegur sapa yang sifatnya mesra menambah ceria; dan saya memilih pekerti menghormati insan bukan menyombong diri.

Sesungguhnya saya ini amat hebat sekali. Saya ini insan yang hebat di dunia ini. Sempurna.

Satu hari saya berada di sebuah pejabat yang penuh sesak dengan orang melakukan berbagai berurusan. Waktu itu hujan lebat. Saya bersama dengan yang lain menumpang teduh di bahagian bawah pejabat berkenaan. Maka ada berbagai bau-bauan yang menusuk kehidung. Yang wangi menyegarkan pernafasan. Yang hangit, bacin , busuk dan tengit melemaskan pernafasan dan meloyakan selera.

Semua orang tidak selesa termasuklah saya.  Banyak yang masam muka. Tiada yang ceria.

Ada juga dikalangan yang ramai itu anak-anak suruhan yang mendekati untuk meminta derma. Derma bagi membina sebuah sekolah tahfiz. Seorang dari mereka mendekati saya.

"Busuk, tak tahan hidung. Baik aku keluar, berhujan pun tak apa. Yang ini pulak, tak henti-henti minta derma".

Itulah saya yang sebenarnya dibumi nyata.

Rupanya selama ini saya bermimpi sebelum teruji secubit saja.
  

    

  
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan