Theflowersellingboy

Sabtu, 16 Februari 2013

Sedih di KLIA Ceria di rumah, nyenyaklah tidurnya.

Malam tadi hantar anak saya si ct ke KLIA untuk balik ke Mansoura University di Mesir. Oleh kerana ct telah check-in online jadi kurang kecoh sedikit untuk bergegas ke KLIA. Namun mama si ct iaitu isteri saya, seperti biasa, tidak boleh menghilangkan rasa tertekan jika lambat untuk bertolak ke KLIA. Macam-macam dia fikir- jem lah, kereta rosaklah dan halangan-halangan lain yang boleh melambatkan untuk sampai ke airport untuk check-in dalam waktu yang telah ditentukan.

Maka digesanya juga untuk kami bertolak ke KLIA pada pukul 5 petang. Jadual terbang 9.45 malam.

Dari kediaman kami di Precint 11 Putra Jaya, saya menganggarkan perjalanan mengambil masa 45 minit, jika kelajuan kereta di pandu pada purata kelajuan yang tidak melebihi 100 km/sj. Bermakna, jika tiada apa-apa halangan kami akan sampai di KLIA pada 5.45 petang. Kaunter check-in bagi penerbangan ke Singapura dan Cairo , saya percaya belum dibuka.

Untuk menepati waktu bertolak pukul 5 kami telah buat keputusan untuk bersolat 'Asar di KLIA saja kerana waktu masuk 'Asar sekarang menghampiri pukul 5 bagi mengelakkan kelewatan sampai. Sebelum bertolak, si ct melakukan semakan terakhir ke atas Senarai Semak yang disediakan. 'okay, katanya, semua cukup'. Saya dan isteri pula memberikan ubat demam kepada si Naqib, cucu kami yang sudah masuk 3 hari tidak sihat.

Memberi minum ubat kepada Naqib tidak semudah saya mengambil ubat -ada air , ada ubat, telan saja. Sebab kalau sakit sendiri tanggung. Tapi anak kecil seperti Naqib, kalau dia kurang sihat, kami semua akan menanggung sama. 

Naqib tahu membezakan antara minum ubat dengan minum susu atau air. Nampak saja 'syringe', ditangan neneknya dia mula menangis dan menutup mulut. Makanya kami kena beri secara 'paksa'. Saya memegang kedua tangannya dan isteri memegang kedua pipi berhampiran mulutnya untuk memaksa mulutnya terbuka, dan dengan pantas memasukkan syringe ke dalam mulut Naqib sambil mengepam masuk ubat demam.

Cara itu adalah yang biasa kami gunakan setiap kali memberi Naqib ubat. Tapi kali ini, Naqib mudah saja membuka mulut, tidak juga menangis, membuatkan prosedur yang terpakai selama ini diketepikan. Mengapa yek?

Jawabnya: kerana Naqib terlalu gembira untuk berjalan-jalan sehinggakan rasa takut atau tidak suka makan ubat itu hilang secara otomatik. Sebenarnya bila cakap fasal 'aeroplane' dengan Naqib, dia akan sambung menyebut perkataan 'takeoff' dan 'landing'. 

Baru minggu lepas, Naqib bersama ayah dan mamanya beserta dengan atok dan opah dan ayah dan emak saudaranya bercuti di Bandung. Jadi dua perkataan itu telah dipelajarinya.

Naqib telah membantu dalam menjaga masa, bertolak tepat pukul 5 petang ke KLIA  dengan bertindak secara suka rela menerima ubat yang diberikan.

Dari rumah kami akan singgah terlebih dahulu di klinik mama Naqib di Precint 2 untuk mengambil mamanya untuk sama-sama ke KLIA. Mama Naqib besolat 'Asar terlebih dahulu. Jadi terpaksalah kami menunggu sehingga pukul 5.30 petang.

Nenek Naqib nampak gelisah takut lambat sampai. 
Akhirnya kami sampai di KLIA pada pukul 6.15 petang. Kaunter check-in pun masih belum buka. Tapi isteri saya merasa amat lega kerana tekanan untuk cepat sampai telah tiada. 

Kami bersolat Maghrib dan Isya di KLIA. Makan malam pun di sana. Pada pukul 9.10 malam ct pun masuklah ke ruang untuk berlepas melalui laluan imigresyen. Kami melambai-lambai tangan selagi ct boleh kelihatan.

Dalam perjalanan menuju ke tempat letak kereta di paras 2 blok C, saya dan Naqib serta ayahnya menaikki travelator. Saya di hadapan, Naqib dan ayahnya di belakang pada jarak lima langkah. Saya asyik melihat kelakuan Naqib yang malu-malu tunduk apabila saya menghagahnya. Sekejap tunduk, kemudian memandang saya, sambil mengawal senyuman, seolah-olah saya adalah orang baru baginya.

"Adoiii", saya terjatuh di hujung travelator. Satu dari selipar saya tercampak keluar. Anggota badan sebelah kiri  termasuk tangan dan pinggang terasa sakit dik sebab jatuh itu. Ada seseorang yang berdekatan dengan saya datang menolong untuk membangunkan saya. Isteri dan anak (mama Naqib) yang tidak naik travelator segera datang menanyakan kesan dari jatuh itu. Saya kata okay saja walaupun ada sedikit sakit.

Itulah, lain kali mesti beringat bahawa setiap perjalanan itu ada penghujungnya. Jangan hendak berkhayal suka saja sehingga tidak sedar bahawa di penghujung travelator itu mesti berjaga-jaga untuk kita melangkah ke satu kawasan yang tidak bergerak.  Kalau tidak bersedia, jadilah macam saya, berdebub jatuh macam nangka. Nasib baik tidak ada apa-apa yang serious, maklumlah dah lama bersara, macam-macam penyakit ada, jatuh pula.

Di rumah isteri berbaring diatas katil menunjukkan muka sedih kerana katanya malam ini tidak lah lagi tidur bersama ct. Di airport tadi, semasa melambai ct, isteri pun menangis. Begitulah perasaan seorang emak terhadap anak. Saya sedih juga tapi tidaklah menangis sebab si ct pergi belajar untuk kehidupan masa depannya.

Kemudian saya dapat berita tentang Lukman, anak lelaki kami yang bekerja di luar pesisir pantai Terengganu, di Laut China Selatan akan balik pada esok atau  lusa, bergantung kepada adanya kapal, dan akan bercuti seminggu bagi menghilangkan penat bekerja. Saya sampaikan berita ini pada isteri. Wah muka sedih dengan segera menjadi ceria.

Seorang pergi buat sementara seorang lagi balik datang brjumpa.

Maka lelap dan nyenyaklah tidur isteri saya itu. Saya? Terus menulis cerita ini. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan