Semalam saya berjanji untuk berpantang makan dan melakukan senaman pagi sebagai satu cara menjaga kesihatan diri apabila munculnya esok hari (hari ini). Amalan yang telah saya lakukan selama ini melainkan pada tiga bulan yang baru lalu ini. Saya bangga kerana telah berjaya melakukannya pada hari ini.
Mungkin ada yang mengatakan janji saya itu terlalu mudah untuk dilakukan oleh sesiapapun, dan oleh kerana itu saya tidak perlu berbangga. Ya, mungkin juga benar, tapi itulah kemampuan saya dalam membuat janji. Dan yang penting janji saya itu saya tepati.
Berihat dulu dengan mendengar lagu ini. Lagu Janji Membawa Akibat oleh Salbiah Harun.
Memang, berjanji mudah dilakukan. Tapi untuk menunaikan janji itu adalah sesuatu yang amat berat sekali walaupun ianya memberi faedah dan kebaikan kepada diri sendiri.
Contoh , janji yang saya telah ikrarkan semalam untuk berpantang makan bagi makanan tertentu dan melakukan senaman pagi.
Pagi ini saya tidak lagi bersarapan roti canai dan makanan lain yang berminyak untuk mengawal tahap kolesterol saya. Pagi ini juga saya melakukan senaman.
Cuma senaman pagi ini berbeza dengan yang saya lakukan dulu. Dulu saya akan berjalan pantas membuat 120 kali pusingan di kawasan kolam renang di kondo kediaman saya. Mengikut kiraan kasar 120 pusingan itu bersamaan dengan 6 kilometer, dalam masa menghampiri satu jam. Berpeluh lencunlah saya.
Tapi hari ini saya melakukan senaman dengan membuat kerja pembersihan. Saya basuh dan cuci kereta, luar dan dalam. Basuh dan cuci simen garaj kereta, simen di koridor rumah dan menyapu dan mengumpul sampah dihalaman. Saya bermula pada pukul 9 pagi dan berhenti pada pukul satu tengah hari, selama 4 jam tanpa henti-henti. Ertinya saya tidak bersarapan pagi dan tidak juga mengambil ubat sebagai rutin pagi.
Habis lencun juga badan saya dik peluh yang berjijiran keluar. Saya melakukan ini seorang saja, tanpa bantuan dari sesiapa.
Mudahkan saya menunaikan janji itu?\
Ohhh tidak semudah itu.
Selepas Subuh, saya memang ingat akan janji saya itu. Tidak seperti dulu, selepas Subuh saya pantas bersiap sedia untuk memulakan senaman di kolam renang, tapi kali ini saya menyatakan pada diri sendiri bahawa terlalu awal untuk memulakan senaman. Saya sambung tidur lagi. Saya tidur sehingga terjaga pada pukul 7 pagi. Pada masa ini pukul 7 persekitaran masih gelap lagi. Ada alasan bagi saya untuk meneruskan tidur. Lagipun dalam keadaan yang masih gelap, nyamuk mungkin lebih banyak, hati saya menyokong untuk nafsu tidur diteruskan.
Saya terjaga pada pukul 8.30 pagi. Persekitaran sudah cerah. Apa alasan lagi? Tiada alasan, bahkan malu pada diri sendiri. Macam ini tidak boleh, sanggup berjanji tapi tidak sanggup tepati janji. Akibat mungkir janji pada diri sendiri serious sekali,merosakkan kesihatan diri. Maka dengan segera saya bersiap sedia turun kebawah mengambil peralatan cuci kereta lalu mencuci kereta.
Begitulah liatnya saya menunai janji. Ada saja mencari alasan untuk tidak melakukan senaman. Gelaplah, nyamuklah.
Itulah saya katakan tadi tidak mudah untuk menunaikan janji walaupun untuk faedah dan kebaikan diri. Macam-macam alasan dicari. Jadi saya tidak hairan kalau banyak orang yang berjanji tetapi tidak mahu atau tidak berjaya menunaikan janji.
Macam-macam alasan juga dicari. Semua alasan itu bukan datang dari diri sendiri. Semuanya dari luar, dari pihak lain. Contohnya seperti saya tadi. Saya menjadikan persekitaran masih gelap dan nyamuk sebagai alasan bagi saya tidak mahu memulakan senaman.
Sebenarnya itu bukan alasan jika saya ada kekuatan dalam diri untuk melakukan senaman pagi selepas Subuh. Kalau dulu selepas Subuh, saya boleh lakukan mengapa sekarang tidak boleh? Saya sengaja cari alasan untuk menyalahkan pihak lain semata-mata untuk memuaskan nafsu tidur saya. Sebenarnya saya tidak ada kekuatan dalaman dalam diri sendiri.
Begitulah cerita tentang janji ditepati. Saya berbangga telah menepati janji walaupun ada sedikit cabaran yang dihadapi. Cuma adakah ini akan berterusan? Tengok pada keesokan hari jika usia masih ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan