Seorang anak anda menunjukkan rekod keputusan peperiksaan persekolahannya yang tidak seperti yang anda harapkan, misalnya pada kedudukan lima terbaik. Anak anda menduduki tempat ke 20 daripada 30 orang pelajar. Apa respon anda?
Pertama saya rasa anda akan kecewa. Kedua anda akan marah. Ketiga, anda tidak berkata apa-apa. Keempat, entahlah anda saja yang tahu.
Katakan anda merasa kecewa atau marah diatas prestasi yang sedemikian itu dan bertanya mengapa sebegitu teruk sekali jadinya? Dan anak anda pula berkata secara membela diri:
"Mama jangan risau. Tu si Husin anak Cikgu besar tu dapat nombor corot. Cikgu besar tu sakit jantung dibuatnya. Saya nombor 20, ok lah".
Hebatkan anak anda itu buat pembelaan diri. Kelemahannya dilemparkan kepada anak cikgu besar itu sehingga cikgu itu sakit jantung.
Adakah anda hairan dengan cara pembelaan diri anak anda itu iaitu mengalihkan kelemahannya dengan menelanjangkan kelemahan orang lain?
Saya percaya anda sudah biasa mendengar kaedah pembelaan diri seperti ini, dan tidak menjadi sesuatu yang menghairankan. Anda akan berkata lumrah manusia.
Tapi apabila berlaku kepada anak sendiri, saya percaya anda tidak boleh menerima alasan yang diberikan itu. Kerana apa perlu anda ambil berat dengan keputusan si Husin , anak guru besar itu. Dia bukan anak anda. Yang penting dan menjadi tanggungjawab anda dan yang perlu diberi perhatian ialah prestasi persekolahan anak anda sendiri.
Tapi anak anda menggunakan Husin sebagai 'buffer', dalam usahanya untuk mempengaruhi minda anda agar dapat menerima prestasi yang telah dicapai dalam peperiksaannya itu.
'Sedangkan anak guru besar pun dapat nombor corot, anak aku dapat no. 20 daripada 30 kira ok lah', mungkin tergerak juga dihati anda untuk berkata begitu. Dan kalaulah itu adalah suara hati anda maka anak anda itu telah berjaya mengalihkan pandangan dari isu sebenar yang berada di hadapan mata anda, iaitu kertas rekod pepereksaan anak anda yang menunjukkan prestasi yang anda kecewa, tidak suka dan marah.
Dan sesungguhnya anak anda ini adalah seorang strategis. Dia pandai mengatur hujah dengan mengambil satu personaliti yang biasanya orang percaya mempunyai kemampuan untuk melahirkan anak yang pandai. Anak guru besar katakan.
Dan anda pula mudah diperdaya atau dipengaruhi semata-mata atas dasar kepercayaan/anggapan kepada kebiasaan yang berlaku iaitu anak guru besar sudah tentu lebih kemampuannya dari anak kita. Ianya tidak semestinya begitu, tetapi itulah kepercayaan secara amnya.
Adakah fenomina seperti ini hanya berlaku kepada anak anda atau anak-anak sekolah yang mahu mengalihkan kelemahan prestasi persekolahannya?
Tidak. Fenomina ini berlaku dalam semua peringkat usia dan kedudukan serta taraf sosio-ekonomi manusia. Biasanya makin tinggi kedudukan, semakin besar kuasa dan pengaruh semakin bebas seseorang itu menggunakan cara yang sama seperti yang dilakukan oleh anak anda yang lemah dalam peperiksaan itu. Tujuannya sama saja iaitu untuk mempengaruhi pemikiran orang lain agar tumpuan atas kelemahan atau kesalahan sendiri beralih kepada pihak lain.
Maka orang itu atau anak sekolah itu merasakan dia dapat bebas dari dipersalahkan kerana orang lain atau anak sekolah yang lain juga berkedudukan yang sama bahkan lebih teruk lagi.
Mungkin anda sepantas kilat akan memberi reaksi bahawa anda tidaklah sebodoh itu untuk dialihkan pandangan, mempercayai membabi buta dan dapat dipengaruhi dengan hujah yang anda kata sebagai tidak masuk akal, tidak relevan, tiada kena mengena dan sebagainya tapi hakikatnya ada orang yang termakan akan hujah seperti itu. Kedudukan orang itu adalah sama seperti yang berlaku keatas bapa kepada anak yang mendapat keputusan peperiksaan yang mengecewakan itu, hatinya membisik bahawa ada munasabahnya hujah anaknya itu.
Baiklah saya bawa contoh dibumi nyata di Malaysia ini.
Bekas PM kita yang lama memerintah, menurut fahaman saya telah banyak kali menggunakan kaedah seperti anak sekolah tadi. Saya ambil dua contoh saja.
Apabila ditanya atau dikatakan beliau mempengaruhi keputusan dalam pemberian beberapa projek kepada anak beliau, PM itu mudah saja memberi jawapan kurang lebih maksudnya begini: Mengapa anak-anak PM termasuk bekas PM yang lain tidak dipersoalkan. Mereka pun sama juga.
Lihat, yang dipersoalkan ialah tentang projek yang diperolehi oleh anak beliau. PM itu tidak jawab yang ditanya tapi meminta pertanyaan seperti itu diarah kepada orang lain.
Baru-baru ini timbul berbagai cerita hasil dari pendedahan siasatan dalam RCI berhubung dengan pemberian kad pengenalan biru dan taraf warga negara kepada pendatang.
Saya percaya ramai yang masih ingat bahawa PM kita ini pernah menafikan penglibatannya dalam kes ini. Tapi hasil dari pendedahan beberapa orang saksi, beliau sendiri telah mengaku terlibat dalam kes yang dibangkitkan.
Tapi pengakuan itu bukan berhenti setakat itu saja. Baru-baru ini seperti yang dilaporkan beliau mengatakan Ketua Pembangkang terlibat secara langsung dengan kes pemberian warga negara dan kad pengenalan biru itu, yang telah melakukan lebih dari sepatutnya.
Dalam dua contoh diatas, tujuannya sama saja iaitu cuba mempengaruhi fikiran orang ramai bahawa orang lain juga melakukan perkara yang sama. Salah?
Kata beliau Tunku Ab Rahman PM Malaysia yang pertama adalah lebih teruk lagi. Apa maknanya?
Maknanya apa yang dilakukan oleh beliau tidak wajar dibangkit-bangkitkan. Tak ada kes.
Sebab itulah anak anda juga pandai berhujah jika mendapat keputusan peperiksaan yang mengecewakan anda. Bertujuan untuk memujuk hati anda yang luka. Sedikit lukanya? Banyak lukanya? Anda saja yang tahu.
Dan ada diantara anda akan termakan dengan pujukan itu.
Kalau begitu tidak termakankah diantara kita rakyat Malaysia ini akan hujah bekas PM kita yang lama berkuasa itu? Saya sudah ada jawapan. Anda bagaimana?
Apa beza hujah anak sekolah itu dengan hujah bekas PM kita tu dari segi matlamat.
Maka adalah lebih baik anda lihat dan tinjau kenyataan yang berlaku diatas bumi Malaysia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan