Daun Sireh |
Gajah |
Disebelah kiri daun sirih dan disebelah kanan ialah gajah. Mana satu pilihan anda. Saya tidak tahu apa pilihan anda diantara dua ini. Mungkin kedua-duanya tidak termasuk dalam hal-hal yang anda minat. Maka kedua-duanya tidak pernah timbul dalam pemikiran anda. Kalau pun ada ia hanya sebahagian dari maklumat saja yang tidak menjadi apa-apa kepentingan atau daya tarikan jika anda dicabar atau diberi peluang untuk membuat pilihan.
Bagi saya pula, saya tidak mahu membuat pilihan. Membuat pilihan bermakna saya akan menyingkirkan satu darinya iaitu sama ada saya memilih daun sireh atau memilih gajah. Saya suka dan sayang kedua-duanya.
Daun sireh, mengikut tradisi orang Melayu ada banyak gunanya. Untuk memulakan sebuah rumah tangga, daun sireh didahulukan. Mengepalai berbagai peralatan, barangan dan hiasan , ianya menduduki barisan depan sehingga mendapat gelaran sireh junjung. Digunakan juga dalam perubatan Melayu tradisional bagi menyembuh demam, luka dan mematikan kuman dan macam-macam lagi. Ertinya daun sireh ini ada banyak gunanya.
Gajah pun begitu juga. Raja-raja dulu dimuliakan dengan menaikki gajah. Untuk mengangkat kayu balak yang besar dan berat gajah juga digunakan. Ertinya gajah ini juga berguna kepada manusia.
Jadi kalau kedua-duanya ada guna dan faedahnya mengapa pula kita perlu buat pilihan? Sebenarnya saya rasa kita telah terpengaruh dengan hujah yang mengatakan 'kita hidup mesti membuat pilihan sebab kita tiada pilihan melainkan untuk membuat pilihan'. Pelik betul bunyi bahasa ini, berbelit-belit. Katakan saja hidup ini kena buat pilihan. Mudah untuk semua orang faham.
Mengapa hidup ini kena buat pilihan? Berilah contoh agar semua orang faham. Tunjukkan buktinya, jangan pakai cakap saja.
Tidak semua orang mampu faham akan sesuatu contoh yang diberi. Dan tidak juga semua orang mahu percaya atau akur akan bukti yang ada.
Ya, mungkin juga mereka faham tapi buat-buat tak faham. Bagilah sejuta contoh, atau sebanyak mana contoh , ditunjukkan didepan mata kepala mereka, jika contoh itu sesuatu yang tidak serasi dengan cita rasa dan kehendaknya, mereka juga tidak mahu faham. Apatah lagi contoh atau bukti yang ditunjukkan itu boleh merugi dan menjejaskan kedudukannya. Mereka akan buat selamba tak faham. Kata orang buat dek saja.
Kenapa hidup ini kena buat pilihan? Sebab kita tidak boleh hidup seorang saja. Paling sedikit dua orang. Barulah dinamakan hidup.
Bila lebih dari seorang kita tiada pilihan melainkan kena buat pilihan untuk meneruskan kehidupan. Misalnya dalam hal sireh dan gajah tadi. Ada orang sukakan sireh melebihi gajah maka sireh menjadi pilihannya. Ada orang sebaliknya. Orang macam saya yang sukakan kedua-duanya dan mahu memiliki kedua-duanya tidak boleh hidup. Sebab, orang lain akan marah kerana saya seorang yang tamak mahu membolot semua. Mana boleh hidup berperangai seperti saya itu.
Kenapa ambil contoh sireh dan gajah?
Itu contoh yang mudah untuk mudah faham. Itu pada pendapat sayalah. Contoh yang lain boleh juga. Pokoknya, atau pokok pangkalnya kita sentiasa perlu faham dan amalkan bahawa untuk hidup kita tidak boleh tamak apatah lagi haloba. Mesti buat pilihan diantara apa yang ada. Tidak boleh ambil semua. Beri peluang kepada orang lain memiliki apa yang tidak dipilih.
Tapi kalau orang itu hendak juga benda yang sama misalnya dalam contoh sireh dan gajah tadi, kedua-duanya mahu dimiliki, bagaimana?
Pertama ingat jangan tamak haloba.
Kedua kena tanya, mahu hidup atau mahu mati. Ini juga kena buat pilihan. Kalau mahu mati, berbunuhanlah. Yang mati tetap mati. Tapi yang hidup pun serupa mati.
Kalau mahu sama-sama hidup kena sama-sama setuju buat pilihan. Caranya runding-rundinglah baik-baik, yang mana terbaik pilihlah cara atau sistem pilihan itu. Maknanya cara pemilihan itu bebas dari unsur menipu.
Apa yang dimaksudkan unsur menipu itu?
Soalan itu senang tapi susah juga nak jawab.
Baiklah, unsur menipu itu adalah sesuatu yang tidak benar tetapi dikatakan sebagi benar. Contoh , bangkai itu baunya busuk dikatakan wangi. Dan ada pula yang menganggok kepala mengatakan benar begitu. Mereka ini cuba menyorokkan kebenaran bau bangkai yang busuk itu dengan menutup bangkai itu dengan daun.
Kita ada perumpamaan bagi maksud itu , 'Menutup bangkai gajah dengan daun'. Bangkai gajah kan ke besar manakan daun mampu menutup bau bangkai yang busuk itu. Tambah-tambah jika ada angin taufan yang kencang bertiup. Habislah daun itu berterbangan bersama dengan bau bangkai gajah menusuk lubang hidung semua orang.
Tapi masih ramai orang yang mengatakan tiada bau busuk. Itulah yang dikatakan unsur menipu.
Jadi apa pilihan yang ada? Pilihlah yang bukan berperangai suka menutup bangkai gajah dengan daun itu.
Kalau saya tidak buat pilihan bagaimana? Tidak buat pilihan itu adalah juga pilihan. Jadi dalam hidup ini mahu tidak mahu kita tidak boleh elak dari membuat pilihan.
Merapu saja cerita diatas itu. Kalau cerita fasal pilihanraya ke 13 ada juga relevannya. Tapi relevan cerita ini ada juga sebab dia melibatkan pilihan.
Wah kalau begitu lebih baik tidak memilih bangkai gajah yang ditutup dengan daun. Sebab baunya terlalu busuk, yekkkk jijik.
Tapi gajah tidak bertanding. Daun pun tidak bertanding. Nak pilih siapa yek?
Pilih siapa saja. Tapi ingat jangan pilih yang tamak haloba. Jangan pilih orang yang percaya bau busuk bangkai boleh hanya ditutup dengan daun.
Siapakah gerangan mereka itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan