Aduh penatnya badan tidak terkira. Seluruh anggota terasa sakit. Kedua-dua kaki pun sakit dan kadang-kadang berlaku kekejangan otot. Pinggang sakit. Muka terasa perit dik tembakan cahaya matahari walaupun disalut dengan kain dan kepala bertopi.
Itulah kesan dari melakukan kerja membersih kawasan rumah yang telah lama ditinggalkan.
Semalam, disebelah pagi pukul lapan, buat kerja memesin rumput di bahagian kanan rumah berhampiran dapur, dimana terdapat sebatang pokok durian (yang belum lagi mengeluarkan hasil walaupun sudah berusia lebih 10 tahun) dan pokok mangga (yang kerap berbuah tapi buahnya menjadi habuan simonyet, beruk , tupai dan kongkang). Mesin sebahagian saja kerana tak larat, terlalu panas. Dan pagi iini sambong semula, pun tak habis. Tapi kelihatan lebih terurus dan sedap mata memandang.
Begitulah jadinya rumah yang ditinggalkan.
Oleh kerana terlalu penat, fikiran pun melayang-layang bertanyakan diri mengapa tidak saja menyewa sebuah bilik dimana-mana apartmen atau bangunan untuk keperluan dua orang , saya dan isteri? Mengapa perlu ada rumah sedangkan penggunaanya tidak seberapa. Anak-anak pun sudah besar dan ada yang telah berumah tangga mempunyai rumah sendiri. Yang belum berumahtangga pun nampak gaya tidak menunujukkan minat untuk tinggal di rumah kerana masing-masing bekerja diluar kawasan. Jadi apa perlu enam bilik kalau yang digunakan hanya satu bilik. Bilik yang lain jadi bilik cicak memberak, buat busuk dan kotor.
Hanya sesekali anak balik untuk berkumpul misalnya pada hari raya, rumah itu ada fungsinya. Tapi mereka balik hanya sehari dua saja.Lepas tu bye bye. Tinggallah dua orang tua duduk mencangok.
Takkan asyik mencangok saja. Nanti naik bosan. Maka kenalah buat-buat sibuk mengemas semua ruang dalam yang ditinggalkan kosong. Sehari tidak dibersihkan, tahi cicak sudah berlambak. Sekurang-kurang dua kali seminggu kena mop ruang-ruang tersebut. Verandah diluar dan garaj kereta pun kena dimop. Kawasan luar rumahpun kena juga dibersihkan kalau tidak rumput liar dan lalang akan cepat membiak. Pokok bunga perlu disiram dan dibaja dan dibuat cantasa kalau mahu sedap mata memandang. Penat!
Tenaga dari hari kesehari semakin menurun. Cepat penat dan semput. Maklum usia semakin bertambah, tenaga semakin menurun. Nasib baik dah buat pembedahan pintasan jantung kalau tidak, entahlah, tidak terurus rumah saya ini.
Ada kawan-kawan cadangkan supaya diupah orang untuk melakukannya. Saya tanya upah? Daripada upah baik saya buat sendiri, badan akan lebih sihat. Itulah alasan yang saya berikan. Sebenarnya terniat juga untuk mengupah orang tapi setelah dibuat kira-kira berdasarkan kaedah perbandingan kos dan faedah yang saya belajar dulu (cost benefit analysis) maka saya memilih untuk buat kerja sendiri. Sebab faedah melakukan sendiri lebih banyak.
Tapi buat sendiri penat pulak.
Jadi pilihan yang terbaik untuk pesara seperti saya ni ialah menyewa sebuah bilik. Tak banyak ruang yang perlu dikemaskan. Kalau anak-anak mahu berkumpul, minta mereka berkongsi sewa sebuah suite di hotel untuk satu dua hari. Rasanya lebih seronok kerana setiap kali hendak berkumpul akan sewa hotel ditempat yang berbeza seolah-olah pergi melancung. Jadi tidaklah jemu, balik-balik rumah itu saja.
"Bang dah siap belum. Barang-barang nak bawa ke Putra Jaya dah masuk dalam beg?' Isteri saya mengganggu lamunan fikiran saya. Saya menggeliat. "Penatnya".
Sekali lagi rumah saya ini terpaksa menerima ucapan selamat tinggal. Entah berapa lama saya tidak pasti. Cuma saya amat pasti bahawa tahi cicak akan berlambak lagi. Rumput akan tumbuh dengan segar. Monyet dan beruk serta kongkang akan bebas bergayutan di atas pokok mangga. Dan saya terlalu pasti bahawa apabila balik nanti saya sekali lagi akan berkata "Saya terlalu penat. Saya hanya perlukan sebuah bilik sewa saja untuk saya dan isteri".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan