Theflowersellingboy

Sabtu, 9 Februari 2013

Semakin Usia Meningkat Selera Makan Semakin Segar

Sarapan pagi jam 10 di sebuah warung di tepi jalan berhampiran dengan Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka yang dulu dikenali sebagai Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka. Kami bertiga, saya, isteri dan anak, masing-masing memesan roti canai kosong, dua keping seorang.
 
Nampak gaya tiga bulan kebelakang ini saya dan isteri telah banyak langgar pantang dari segi makanan. Isteri sepatutnya mengurangkan makan yang manis-manis , sebab ada kencing manis, walaupun pada tahap rendah. Selain roti canai, beliau pesan juga putu mayam yang ditaburi dengan gula Melaka. Saya pula selain dari roti canai, pesan minuman milo bergula. 
 
Roti canai dan minuman bergula memang telah lama berpisah dengan saya, sebelum tiga bulan kebelakang ini.
 
Banyak lagi pantang larang dari segi makanan yang saya telah langgar. Diantaranya tauge, bende, bunga kobis, kacang panjang, kangkung, bayam, kobis, daging merah, telur, belacan, ikan bilis, sotong, udang, ketam, kacang goreng dari berbagai jenis, ais, dan minuman dalam tin. Semuanya telah menjadi biasa saja dan selamba untuk melayan selera saya.
 
Makanan-makanan yang disebutkan diatas tadi  sudah menjadi makanan ulangan sekarang ini walaupun ianya tidak baik bagi kesihatan saya. 
 
Saya adalah pengidap tekanan darah tinggi. Saya ada asma. Saya juga telah menjalani pembedahan pintasan jantung, dan mesti mengawal tahap kolesterol. Beberapa tahun dulu saya sentiasa diserang sakit gaut. Tapi saya tidak ada kencing manis.
 
Tekanan darah tinggi saya adalah dikawal dengan ubat. Tahap kolesterol saya juga dikawal oleh ubat. Asma pun sama. Cuma gaut, saya tidak ambil ubat tapi kawal makanan.
 
Tapi sekarang atau tiga bulan kebelakang ini, saya sapu semua. 
 
Sebenarnya kawalan secara ubat saja tidak mencukupi untuk mendapat satu kesihatan yang baik. Perlu juga kawal makanan tertentu seperti yang dinasihatkan oleh pakar pemakanan. Kawal makan pun belum lengkap, kalau tidak disertai dengan senaman.

Saya tahu itu semua. Saya telah amalkan. Kesannya amat baik sekali.
 
Tapi mengapa saya tidak melakukannya sekarang?
 
Jawabnya, semakin bertambah usia semakin kurang daya ketahanan menahan nafsu makan. Selera makan meningkat. Kekuatan fizikal menurun, membuatkan senaman pagi sebagai sesuatu yang membeban dan memenatkan. Dulu selepas senaman badan merasa segar, 'fresh'. Dan bertekad dalam hati bahawa esoknya mahu senaman lagi. Tapi tidak sekarang, sakit seluruh anggota badan. Esoknya mahu cuti.
 
Kalau sudah cuti satu hari, jangan harap hari berikutnya saya akan menyambung melakukan senaman. Saya sentiasa mengatakan, 'esok hari buatlah'. Akibatnya sudah tiga bulan saya tidak melakukan senaman pagi.
 
Selera makan rancak sekali.
 
Sedang berselera makan roti canai, ternampak dua pasangan suami isteri yang pada penglihatan saya lebih tua dari saya, mungkin berusia 70an, keluar dari kereta menuju ke gerai. Sesampainya berhampiran dengan meja saya, si suami yang memimpin isteri yang berjalan dengan bantuan tongkat  membuat pesanan, 'sate perut' kepada penjual sate.
 
Saya dan isteri saling pandang memandang. Saya boleh baca apa yang ada dalam fikiran isteri saya itu. Ianya sama dengan apa yang ada dalam otak kepala saya. 'Dah tua makan sate perut? Tak takut tambah kolesterol?'
 
"Hebat orang tua tu bang, order sate perut", kata isteri secara bisikan
 
"Tak salahlah kita makan roti canai dan putu mayam", saya mengambil kesempatan untuk mempertahankan kegelojohan selera yang tidak tahan berpantang.
 
Dan dalam masa yang sama saya teringat akan aruah abah pada ketika sakit sebelum meninggal dunia. Sayalah anaknya yang banyak menghalang abah dari makan makanan yang saya anggap boleh menambahkan teruk sakitnya. Macam-macam abah nak makan. Selera makannya sungguh baik sekali. Tapi saya tidak mahu penyakitnya bertambah teruk jika mengambil makanan tersebut.
 
Sekarang saya mula faham bahawa selera orang tua memang tidak mudah dikawal. Makanan yang boleh menjejaskan kesihatan, makanan itulah yang menjadi pilihannya. Macam orang tua tadi. Macam saya juga. Sama juga macam isteri saya. Berselera sungguh makan makanan yang boleh memberi kesan kurang baik kepada kesihatan.
 
Ibu jari tangan kanan saya, di bahagian sendi, telah terasa sedikit sakit. Sakit yang telah saya biasa rasa, sakit serangan gaut. Ini tidak boleh jadi. Saya mesti mula berpantang. Saya mesti mulakan senaman pagi,esok hari. Kalau saya boleh meminta abah supaya berpantang, kenapa saya sendiri tidak boleh melakukannya untuk diri sendiri.
 
   
 
 
 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan