Sabtu, 23 Februari, 2013- akan menghadiri jamuan Makan Malam ASAS, pukul 8, di PICC, Putra Jaya. Tahun lepas tidak dapat hadir kerana ada ketentuan lain yang terpaksa didahulukan.
Menurut berita dari sumber yang boleh diyakini bahawa ramai kawan-kawan yang satu kelas dan satu era akan hadir. Kalau begitu ianya boleh membangkitkan berbagai cerita suka duka , pahit maung serta manis semasa bersekolah dulu.
Kalau ada Shaharuddin maka akan saya bangkitkan cerita menyorok bawah katil semasa cikgu besar datang ke dalam bilik dom kerana kami membuat bising sedangkan pelajar tingkatan 5 tengah terkial-kial menjawab kertas soalan SPM di dewan besar, berdekatan dengan dom kami.
Nasib baik cikgu besar itu tidak dapat mengesan saya yang bergantung dibawah katil. Shaharuddin yang tidak sempat menyorok bersama dengan beberapa orang kawan , berdiri menggigil-gigil berhadapan dengan cikgu besar. Terdengarlah saya bunyi cematan rotan sega. Tapi Sharuddin tidak menangis. Dan tidak juga mahu memberitahu bahawa yang sama buat bising ada bergantungan menyorok dibawah katil.
Selepas mencemat kawan-kawan, cikgu besar tidak tunggu lama. Cikgu besar keluar dengan memberi amaran keras. Sekiranya cikgu besar berada begitu lama, saya kira pegangan saya keatas spring katilitu akan terlepas kerana terlalu lenguh. Sesungguhnya saya bernasib baik pada hari itu. Kawan-kawan pun sporting.
Saya juga tidak lupa cerita lucu tentang pelajar 'mencuri' kerak nasi di dapur dewan makan. Dihebuhkan cerita ada seorang pelajar yang terlalu suka makan kerak nasi sampai ke tahap ketagih. Satu hari tak dapat kerak nasi, melelehlah keluar air dari mulutnya. Macam orang ketagihan dadah.
Ada kawan memberi tip bagaimana hendak mengesan orang seperti ini. Mudah saja katanya.
Waktu kelas persediaan malam (prep. class) iaitu dihujung-hujung waktu, memasuki pukul 10 malam, buka mata luas-luas, perhati baik-baik semua kawan-kawan. Kalau ada yang terlalu gelisah dan telah lebih awal menyimpan buku serta peralatan pembelajaran, orang itu atau pelajar itu adalah orangnya yang suka melakukan perbuatan mencuri kerak nasi itu. Dan yang penting , ekori pelajar itu apabila keluar dari bilik darjah sehabisnya waktu prep.
Maka kawan yang termakan dengan tip yang diberikan itu , membuat applikasi.
Tapi malang, dia tidak pula dapat mengesan pelajar yang berkelakuan seperti itu. Namun, dia tidak berputus asa. Mengambil sikap bahawa ada kemungkinan pelajar itu telah keluar lebih awal dan sedang enak melakukan pencurian kerak nasi itu. Lantas dia pun pergi dengan tujuan membuat intipan.
Benar, dia ternampak ada semacam satu objek bergerak-gerak berhampiran kawah memasak nasi di dapur dewan makan. Dengan segera, tanpa perasaan takut dia menghampiri objek itu.
"Cikgu?" Keluar spontan dari mulutnya.
"Apa kamu buat disini", dengan segera cikgu itu bertanya.
"Saya ternampak macam ada orang luar masuk dalam dewan. Cikgu pula buat apa?" suara kawan itu keluar agak terketar-ketar.
"Saya nak cek makanan ni. Sebab ada komplen katanya masakannya selalu lembik. Saya cuba korek kawah ni. Tapi tak ada kerak. Maknanya masakan ni tak lah lembik", Cikgu itu memberi alasan tentang sebab musabab dia berada di tepi kawah dapur, dewan makan sekolah.
"Saya balik lah cikgu", kawan itu dengan cepat melangkah keluar untuk balik ke dom.
Begitulah cerita yang diceritakan, tali bertali, bec ke bec, tahun ke tahun, generasi ke generasi. Tapi saya percaya sehingga sekarang, belum ada seorang pun yang dapat dikesan melakukan pencurian kerak nasi itu. Dari dulu lagi, sebelum bec saya, cerita yang sama diceritakan oleh sang senior terutama semasa sessi 'ragging'. Kami yang mendengarnya angguk kepala, akur percaya akan cerita itu.
Apakah motifnya? Untuk menglipur lara agar tekanan belajar itu boleh dilupakan sebentar. Atau untuk memburuk-burukkan pelajar/guru yang tidak disukai. Tapi kenapa tidak pernah ditunjukkan pelajar/guru yang berkaitan. Nama pun tidak diberitahu, tidak juga pelajar dari kelas mana, rumah mana, dom mana , dan negeri mana.
Banyak lagi cerita-cerita yang boleh menjadi nostalgia semasa bersekolah di asrama.
Pada malam ini mungkinkah cerita ini menjadi monopoli makan malam asas khususnya di meja 25,meja yang telah diperuntukkan untuk saya dan kawan-kawan.
Cuma yang saya pasti bahawa cerita yang pertama diatas adalah cerita yang benar. Cerita kedua itu saya rasa direka cipta saja. Tidak tahu siapa yang memulakannya.
Ada banyak lagi cerita-cerita yang boleh membangkitkan kenangan lama. Antaranya cabar mencabar antara pelajar dari Kelantan dengan pelajar dari Perak. Yang dari Kelantan kata mereka ada kapak kecil. Yang dari Perak pula segera menghunuskan keris.
Tapi itu masa belajar disekolah, ubun-ubun masih lembut belum matang ketika itu. Sekarang diantara mereka yang terlibat dalam cabar mencabar itu bertukar menjadi sahabat baik.
Makan malam ASAS membuktikan bahawa kami sentiasa sayang akan sekolah kami dan kawan-kawan sama ada yang pernah bertumbuk diantara satu dengan lain atau yang suka jambu menjambu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan