Cerita tentang berpuasa dalam bulan Ramadhan. Ceritanya mudah saja.
Dalam bulan Ramadhan, orang Islam di Malaysia , terutamanya orang Melayu berasa malu atau takut untuk makan minum di khalayak ramai. Malu kerana ia mendedahkan dirinya sebagai orang yang tidak berpuasa. Tidak berpuasa bermakna tidak menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam. Takut pula di tangkap oleh pihak berkuasa agama Islam, dihumban kedalam kereta jenazah , kemudian didakwa kerana tidak berpuasa.
Oleh yang demikian, untuk mengelakkan jadi malu atau agar dapat makan minum tanpa takut-takut maka orang seperti ini melakukan secara bersunyian atau menyorok.
Perangai atau sifat orang seperti ini tidak wajar ditiru. Pertama orang itu menipu diri sendiri. Kedua, Allah tahu apa yang orang itu lakukan.
Jadi sebaik-baik kelakuan ialah dengan berpuasa pada siang hari dalam bulan Ramadhan.
Ada juga yang lebih teruk. Makan minum dikhalayak ramai, buat selamba saja. Tiada perasaan malu mahu pun takut. Kalau ditangkap oleh pihak berkuasa agama Islam, orang ini ada jalan keluar dengan mengistiharkan diri sebagai bukan Islam. Dahsyat sungguh orang macam ini.
Orang seperti diatas itu tidak ada perasaan malu. Tapi ada rasa takut didakwa. Sebab itu mengistiharkan diri sebagai bukan Islam pada hal pada masa dan keadaan tertentu mengaku sebagi orang Islam. Ertinya dalam bulan Ramadhan , dia bertukar menjadi bukan Islam. Masuk 1 Syawal dia menjadi Islam semula dengan pakaian Melayu yang baru dan cantik bersolat sunat raya.
Oleh itu dalam bulan Ramadhan, orang Islam boleh dibahagikan kepada tiga. Pertama orang yang berpuasa. Kedua orang yang mahu dilihat sebagai berpuasa tetapi sebenarnya tidak berpuasa secara makan menyorok dan ketiga orang Islam yang mengistiharkan sebagai bukan Islam sebelum memasuki 1 Syawal.
Adakah apa yang diceritakan diatas benar-benar berlaku?
Cerita tentang makan menyorok itu, saya kira ada berlaku. Tapi cerita keluar dari Islam apabila ditangkap, saya tidak berani mengatakan ada berlaku.
Cuma fenomina yang dipaparkan, iaitu sifat malu dan takut, dan sifat menipu secara terang-terang sudah menjadi amalan biasa ketika ini, baik yang Islam dan bukan Islam.
Diantara dua fenomina ini, yang terburuk dan keji sekali ialah menipu secara terang-terang. Orang yang mempunyai sifat malu dan takut diatas sesuatu perbuatan yang salah, walaupun tidak wajar dicontohi, masih lagi mempunyai harga diri dan rasa hormat kepada pihak berkuasa.
Seorang kerani telah meminta agar hampers yang diberikan kepadanya oleh seseorang dihantar ke rumahnya dan bukan dipejabatnya. Dan penghantaran itu dilakukan disebelah malam.
Kerani ini malu jika pemberian hampers itu diketahui oleh kawan-kawan sekerjanya yang lain, dikhuatiri dia dikatakan boleh dibeli dengan sebuah hampers. Dia mahu menjaga nama baik dirinya. Dia juga takut perbuatan menerima hampers itu akan membuatkan pihak berkuasa mendakwanya menerima rasuah. Ertinya kerani ini menghormati kuasa yang diberikan kepada pihak berkuasa itu.
Apakah diantara perbuatan yang dikatakan yang terburuk dan keji?
Sama seperti cerita diatas bahawa dia tahu dia orang Islam dan wajib berpuasa tapi dia berani dan selamba makan dikhalayak ramai. Dia boleh menghalalkan perbuatan salah itu dengan menukarkan saja nama perbuatan itu misalnya pemberian jasamu dikenang, cenderahati, hadiah, anugerah, persembahan, runding harga, kaedah menang menang (win win), komisyen, dan khidmat perunding dan banyak lagi.
Orang seperti ini melakukan penipuan secara terang-terang. Dia juga tidak ada perasaan malu. Dia juga tidak ada rasa takut. Dia juga tidak menghormati pihak berkuasa yang menguatkuasakan undang-undang.
Dia tahu dia menipu. Dan juga dia tahu dia boleh melepaskan diri. Cuma dia mungkin lupa atau tidak mahu ingat bahawa sebelum kiamat ada malam berganti siang. Kalau sudah kiamat di Padang Mahsyarlah semua dikumpulkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan