Hari in saya tidak tahu apa nak tulis. Cerita fasal politik, tidak berapa tahu. Kalau kurang tahu , nanti bila dibaca cerita itu orang akan naik bosan dan muak, dan ada yang meluat. Tapi kadang-kadang sedikit-sedikit sentuh juga sekadar melepaskan hajat di hati.
Dan hari ini saya terpaksa gunakan prinsip kadang-kadang itu. Harap jangan rasa muak dan meluat.
Sebelum itu dengarlah lagu Pak Pandir ini.
Yang menjadi muak dan bosan ialah kerana cerita politik ini tidak pernah boleh lari dari menceritakan tentang pergeseran dan pertelagahan untuk mendapat kuasa. Bila bergeser dan bertelagah maka sudah tentu mereka menggunakan mulut dan anggota badan yang lain seoptima mungkin. Mulut dan lidah mereka tidak jemu untuk kata mengata. Anggota-anggota badan yang lain turut sama digunakan misalnya menggunakan tangan untuk melempar objek pada lawan atau mengadakan berbagai halangan dan rintangan termasuk membuat kacau ganggu dalam majlis pihak lawan.
Untuk paparan pendek ini saya hanya mahu cerita fasal kaedah yang digunakan oleh sebahagian orang/parti politik dalam menyatakan kebenaran dipihak mereka.
"Bahawa saya bersumpah apa yang saya katakan semuanya benar , melainkan benar belaka". Sudah tentu bersaksikan al-quran.
Saya katakan tadi bahawa mulut dan lidah orang politik ini tidak jemu-jemu untuk kata mengata. Kata sana, kritik sini. Puji diri, kutuk orang. Tidak pernah mana-mana pihak yang bersaing mengatakan pihak lawannya itu baik. Semua buruk belaka. Yang baik dan terbaik ialah pihak sendiri. Macam-macam boleh buat dan beri, tidak seperti pihak lain yang tiada idea, tiada kesungguhan untuk membawa kebaikan.
Satu pihak mengatakan pihak yang lagi satu itu sebagai pembohong, mungkir janji dan suka lempar fitnah. Pihak yang kena kata itu mengatakan perkara yang sama juga iaitu pihak yang lain itu mungkir janji, pembohong dan suka buat fitnah. Maknanya kita boleh tafsirkan bahawa kedua-duanya adalah baik. Kita juga boleh mengatakan bahawa kedua-duanya adalah jahat. Atau apa saja mengikut keyakinan kita.
Bagi saya kedua-duanya ada sifat baik dan ada sifat tidak baik. Mereka manusia bukannya malaikat.
Tapi adalah sesuatu yang pelik jika ada yang mengatakan hanya pihak itu saja yang baik, sebaik-baiknya, tanpa kelemahan , tidak buat salah dan silap dan pihak yang lagi satu jahat sejahat-jahatnya.
Ada kah mana-mana orang atau pihak mempunyai pegangan seperti itu?
Jawabnya ada. Dalam politik Malaysia ini masih ramai yang mempunyai pegangan seperti itu. Hanya orang itu, hanya parti itu saja yang baik dan boleh membawa kebaikan. Orang lain atau parti lain adalah jahat dan tidak mampu membawa kebaikan. Orang-orang seperti ini adalah orang buta warna. Kalau kain yang berwarna hitam itu dikatakan putih oleh orang atau parti yang disokongnya maka akurlah dia bahawa kain hitam itu berwarna putih.
Maknanya jika orang itu melakukan perbuatan yang tidak baik misalnya perasuah atau penjenayah ia boleh terlepas hanya dengan berkata bahawa dianya tidak terlibat atau tidak melakukannya. Tambah-tambah lagi kenyataannya itu disokong dengan pengakuan secara bersumpah. Apatah lagi bersumpah bersaksikan al-quran. Dan sudah tentu orang itu orang yang ada kuasa.
Sesiapa yang tidak mahu bersumpah bersaksikan al-quran bagi melepaskan sebarang tuduhan atas perlakuan yang tidak baik akan dianggap sebagai orang yang bersalah kerana hanya yang benar dan tidak bersalah saja yang berani bersumpah bersaksikan al-quran, menurut kepercayaan mereka. Mereka berpegang kepada konsep' berani kerana benar, takut kerana salah'. Jadi yang takut bersumpah itu adalah orang yang bersalah. Apatah lagi orang itu tiada kuasa.
Jadi sumpah itu hanya terpakai sebagai benar jika ada kuasa. Kalau anda tiada kuasa jangan cuba jadi pencuri, walaupun anda mencuri hanya satu ringgit untuk menampong membeli susu anak. Sebab, bila anda didakwa, anda tidak akan boleh terlepas hanya dengan cara bersumpah bersaksikan al-quran.
Dengan demikian tidak menjadi sesuatu yang pelik jika orang politik ini suka bergeser dan bertelagah untuk mendapat kuasa. Sebab, hanya dengan ada kuasa saja orang politik boleh buat segala-galanya, waemah kain yang berwarna hitam pun dia boleh kelentong keatas sebahagian rakyat untuk mengatakan kain itu benarlah berwarna putih, seperti yang dikata.
Dan rakyat itu percaya. Bukan saja percaya, bahkan ajak orang lain supaya turut percaya. Jika orang lain kata dia gila maka bermusuh dan berperanglah jadinya. Sebab itu berlaku kacau ganggu dan membaling berbagai objek tajam dan tumpul ke majlis pihak lawan.
Maknanya ada kuasa semua yang dilakukan adalah benar dan sah walaupun menipu. Terbaik sekali jika sanggup bersumpah bersaksikan al-quran.
Sekali lagi diingatkan bahawa anda yang tiada kuasa jangan buat begitu. Kalau hendak juga menipu, anda dapatkan kuasa politik terlebih dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan