Pukul 10.50 pagi, dihadapan sebuah mini market, ditempat letak kereta, di Precint 9, Putra Jaya, saya menyaksikan satu tabiat cuai seorang bapa, seorang suami keatas keselamatan anak,isteri dan hartanya. Tabiat yang sambil lewa dan ambil mudah yang dipamerkan itu jika berterusan diamalkan , pada suatu hari nanti akan besar kemungkinan memberi kesan yang buruk pada dirinya, isterinya dan hartanya. Apabila itu berlaku, tidak perlu menyesal lagi.
Sebenarnya kesan buruk hasil dari tabiat sambil lewa dan cuai itu telah pun berlaku. Dan ada kemungkinan si bapa, si suami ini telah sedia maklum dari perkhabaran dan berita dari berbagai sumber.
Apa ceritanya?
Pada waktu yang dimaksudkan itu, saya berdiri berhampiran dengan pintu masuk mini market tersebut, menunggu isteri yang membeli sesuatu. Sebuah kereta merah memasuki ruang letak kereta di hadapan mini market dimana saya sedang berdiri. Keluarlah seorang lelaki dari kereta tersebut, meninggalkan seorang anak kecil yang berusia pada jangkaan saya tidak lebih dari 3 tahun, dan isterinya, tanpa memberhentikan enjin keretanya, bagi keselesaan anak dan isterinya berterusan menikmati hawa dingin.
Melihat keadaan itu, ianya menimbulkan minat kepada saya untuk mengikuti perkembangan seterusnya. Lelaki itu masuk ke dalam mini market pada pukul 10.50 minit. Saya masih menunggu isteri yang kelihatan sedang beratur di kaunter bayaran. Pukul 10.54 isteri saya selesai membuat bayaran dan keluar dari mini market itu. Lelaki tadi tidak kelihatan tetapi masih lagi dalam mini market itu sedang mencari barang yang diperlukan.
Saya bersama isteri menuju ke kereta. Lelaki tadi masih lagi belum keluar.
Maknanya lelaki itu telah berada dalam mini market selama 4 minit, meninggalkan isteri dan anaknya dengan enjin kereta masih lagi hidup. Maknanya juga masa yang akan diambil oleh lelaki itu untuk kembali ke keretanya sudah tentu melebihi dari 5 minit.
Apa perkara buruk yang mungkin boleh terjadi kepada anak dan isteri dan kereta lelaki itu tadi dalam tempoh yang ditinggalkan sedemiikian rupa?
Kita telah biasa mendengar berita tentang kecurian kereta. Cerita tentang kereta dibawa lari bersama dengan anak kecil didalamnya semasa ibu atau bapanya singgah sekejap di kedai untuk membeli atau mengambil sesuatu. Kita juga sedia maklum jenayah mencuri kereta sentiasa berlaku di negara kita. Kita juga tahu bahawa penjenayah itu boleh melakukannya dengan sekelip mata.
Tapi mengapa kita, lebih khusus lagi mengapa lelaki tadi tidak langsung terlintas di fikirannya akan risiko meninggalkan anak, isteri dan keretanya itu dalam keadaan sedemikian itu? Dia tidak sayang anaknya? Dia tidak sayang isterinya? Atau dia terlalu kaya sehingga tidakambil kisah keretanya mudah dibawa lari?
Tanpa bertanya kepada lelaki itu , saya berani mengatakan bahawa lelaki itu sayang pada anaknya, sayang pada isterinya. Dan dia juga tidak rela keretanya dibawa lari, dicuri walaupun dia orang kaya.
Jadi kalau begitu mengapa dia sanggup mendedahkan anak, isteri dan keretanya dalam bahaya? Sebenarnya tidak ada langsung terniat dihatinya melakukan seperti itu.
Yang ada pada lelaki itu ialah tabiat buruk berperangai sambil lewa, tidak prihatin dan tidak ambil kisah termasuk dalam hal keselamatan dirinya, anak, isterinya dan hartanya. Mungkin juga dia terlupa atau tidak memberi perhatian berat keatas cerita-cerita tentang kecurian kereta, termasuk kereta yang dilarikan bersama dengan anak yang ditinggalkan dalam kereta.
Dan kita mengharapkan lelaki ini juga tidak berperangai buruk di jalan raya. Saya khuatir unsur-unsur sambil lewa, cuai dan tidak perhatin kepada keselamatan diri , anak, isteri dan harta sendiri ini akan membentuk tabiat lelaki ini untuk dipamerkan dijalan raya yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Boleh kah jadi begitu? Allah saja yang tahu. Tapi kalau keselamatan diri pun tidak ada harga apa perlunya menghargai keselamatan orang lain.
Saya memulakan perjalanan balik ke rumah menghampiri pukul 11 pagi. Wajah lelaki itu masih lagi belum kelihatan menunuju ke keretanya. Harap-harap anak dan isteri dan kereta lelaki itu tidak dibawa lari. Dan harap-harap tiada pencuri kereta di tempat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan