Hari ini dapatlah saya membuat paparan terbaru walaupun dalam keadaan kurang bermaya. Minat berblogging memberi sedikit kekuatan kepada saya untuk melakukannya secara berbaring diatas katil.
Dua hari yng lepas, secara tepatnya pada malam 23. 2.2013 saya dan isteri telah menghadiri majlis Makan Malam Tahunan ASAS , iaitu Alumni Pelajar-pelajar SAS, di PICC, Putra Jaya. Nampaknya setiap tahun penyertaan bekas pelajar melebihi dari kapasiti muatan dewan. Namun majlis malam Sabtu yang lepas adalah terlalu istimewa kerana ianya bersempena menyambut usia ke 50 tahun penubuhan SAS yang kami sayangi. Maka kehadiran di dewan PICC melempah ruah. Ada yang duduk diluar dewan semata-mata untuk bersama dalam majlis sempena penubuhan SAS yang ke 50 tahun-setengah abad.
Tanyalah saja kepada pelajar atau bekas pelajar SAS, apakah yang mereka tidak akan lupa tentang SAS. Cerita dan pengalaman,pahit. manis .suka duka dan gurau senda yang lucu dan mengusik hati? Ya, mungkin ada yang menjawab begitu. Tapi yang pasti semuanya akan menjawab mengatakan bahawa logo yang berhiaskan cogan kata SAS, "CITA USAHA JAYA" sentiasa tersimpan disanubari mereka selagi hayat dikandung badan.
Cogan kata itulah yang menjadi penggerak dan motivasi kepada kami semua. Masing-masing dari kami akan memasang cita-cita, kami bekerja kuat berusaha kearah merealisaikan cita-cita itu dengan penuh yakin dan percaya bahawa akhirnya cita-cita kami itu akan berjaya.
Pada malam itu tetamu kehormat ialah Sultan Selagor, Sultan Shariffudin cucu kapada sultan Selangor Sultan Alam Shah. Mengambil sempena nama Sultan Alam Shah itulah maka sekolah kami dimasyhurkan sebagai Sekolah Alam Shah (SAS) pada 7 Februari, tahun 1963. Dan sekarang telah ditambah perkataan sultan dihadapannya menjadikan Sekolah Sultan Alam Shah. Namun kami bekas pelajar lebih selesa dengan panggilan SAS.
Pada asalnya SAS mengambil tempat di Batu 4 Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Kemudian berpindah ke Putra Jaya pada 26 April 2003 sebagai satu dari simbol kebanggaan negara dalam menegakkan sistem pendidikan berasaskan bahasa pengantar Melayu.
Bagi kami bekas pelajar di Cheras, tempat kami bermain, tempat kami pernah jatuh luka dan kalau sakit dikurantinkan dalam bilik khas, tempat kami diajar sebelum menjamah makanan hendaklah berdiri dahulu untuk membaca doa memohon rezeki yang halal dalam membentuk peribadi kami dalam pencarian ilmu, ditambah cantik lagi diwaktu makan malam sebelum kelas persediaan kami berbaju Melayu mengaminkan doa itu, tempat kami bersorakan menyokong pasukan sekolah dalam setiap pertandingan, dan tempat kami berlarian cross country di kampong Kongo (Bandar Tun Razak) tidak mudah dilupakan, sentiasa dikenang dan terus di kenang.
Saya percaya di Putra Jaya pun tradisi dan amalan membaca doa itu tetap diteruskan.
Satu dari agenda pada malam itu adalah penampilan kebolehan menyanyi bekas pelajar menurut bej/angkatan. Dibahagikan kepada beberapa bej yang terdiri dari bej pertama merangkumi tahun 60an sehingga awal 70an, bej selepas itu sehingga 80an dan bej 90an. Masing-masing menunjukkan kehebatan. Bagi saya mereka adalah hebat. Saya tidak termasuk dalam kategori itu kerana saya tidak ada kebolehan menyanyi. Kalau menyanyi, banyak yang lari.
Siapakah gerangan mereka yang hebat itu? Mereka terdiri dari berbagai profession rupanya. Ada yang terdiri dari ahli berniagaan, pakar bedah dalam berbagai bidang, penasihat undang-undang, bekas menteri, ahli-ahli politik dan mereka yang terlibat dalam kumpulan nyanyian.
Sempat juga pakar bedah itu memberi masa kepada nyanyian. Untuk hilangkan 'stress' kerja, agaknya. Kalau si 'Ruffedge' tu saya tidak hairanlah, sudah bidang dia. Yang penasihat undang-undang itu pada mulanya saya hairan juga. Bila masa nak beri nasihat undang-undang dan bila masa nak menyanyi. Tapi apabila juru acara bertahu bahawa si penasihat undang-undang itu adalah bapa kepada si Yuna, penyanyi yang terkenal itu, maka saya sudah tidak hairan lagi. Cuma saya merasakan penasihat undang-undang ini telah menceburi bidang yang tidak sama dengan bakat semula jadinya.
Ertinya kerja tidak mesti sama dengan bakat semula jadi. Ertinya juga bidang pembelajaran tidak akan menyekat bakat semula jadi yang ada. Jika mengambil jurusan sains misalnya perubatan, bidang seni pun kita boleh lakukan seperti nyanyian, jika kita ada bakat.
Dan yang paling penting sekali ialah SAS sebuah sekolah berasaskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah membuktikan bahawa bahasa Melayu bukan penghalang kepada kejayaan seseorang dalam mendapatkan ilmu seperti yang diyakini oleh banyak orang seperti Doktor Mahathir. Tidak juga menghalang kepada penguasaan dalam bahasa Inggeris kerana pada malam itu doktor-doktor itu berbicara dalam bahasa Inggeris, malah sebahagian besar peserta melakukannya, lancar sekali.
Saya macam mana? Boleh tahan juga. Mampulah mendapat pendidikan diluar negeri diperingkat sarjana. Bukan riak dan sombong. Cuma saya rasa amat dukacita diatas sikap orang Malaysia terutama orang Melayu yang menganggap bahawa bahasa Melayu adalah penghalang kepada penimbaan ilmu yang lebih tinggi. Bukan bahasa itu yang menyekat kejayaan. Yang penting ialah kita mesti ada 'CITA' , kita mesti ada 'USAHA', yang akhirnya menghasilkan 'JAYA'. Itu moto sekolah kami, SAS.
Menurut buku program, acara akan berakhir pada pukul 10.30 malam. Dan waktu ini perlu dipatuhi kerana melibatkan protokol kehadiran sultan. Tidak boleh diperpanjangkan.
Namun memasuki pukul 10.30 malam, persembahan makin rancak berterusan. Ada yang hadir, gelisah mahu pulang, terutama yang tua-tua seperti saya. Yang muda-muda bukan main enjoy sekali turut sama menyanyi dimeja masing-masing dibahagian belakang.
Akhirnya saya diberitahu oleh pengerusi Jawatankuasa Makan Malam bahawa sultan Selangor itu 'tidak mahu balik', terlalu seronok dengan acara persembahan.
Bagaimana pun pada pukul 11 malam saya dan isteri dan beberapa yang tua-tua beredar balik. Majlis masih diteruskan. Sultan Shariffuddin masih duduk di barisan hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan