Sehari setitik darah. Tiga puluh hari tiga puluh titik darah. Berapa ml darah dalam setahun?
Setiap kali selepas solat Subuh, isteri saya akan mengambil 'peralatan doktor'nya untuk mengambil setitik darah dari salah satu jari kedua-dua tangannya untuk diuji tahap kandungan gula dalam darah. Ini adalah rutin hariannya semenjak setahun yang lepas.
Jangan silap teka akan profession isteri saya itu. Dia bukan seorang jururawat, tidak juga seorang yang ada kaitannya dengan bidang perubatan, apatah lagi sebagai doktor perubatan. Dia seorang suri rumah tangga selepas bersara dari perkhidmatan kerajaan. Tapi bukan bidang perubatan.
Cuma orang akan keliru apabila mendengar dia bercerita fasal bab-bab tertentu tentang kesihatan. Macam seorang doktor atau paling kurang seorang jururawat.
Sakit kencing manis yang sekarang ini lebih enak disebut diabetik adalah satu daripada penyakit yang dapat dihuraikan oleh isteri saya dengan baik. Sebab musabab penyakit itu, jenisnya, risiko kepada pengidap jika penyakit itu tidak dikawal, ubat-ubat yang perlu dimakan. makanan-makanan yang perlu dielakkan dan cara terbaik untuk mengawal tahap gula selain dari pemakanan dan kawalan ubat, dan lain-lain hal yang berkaitan boleh disampaikan dengan cara yang boleh meyakinkan si pendengar.
Beliau sebenarnya pengidap diabetik pada tahap rendah. Tidak serious.
Jadi setiap pagi selepas Subuh, dia akan mengambil bacaan kandungan gula dalam darah dengan menggunakan alat yang berjenama ACCU-CEK. Alat itu dibelinya di Farmasi dengan harga RM185.00, harga diskaun.
Dimulakan dengan tikaman jarum dengan alat yang bernama ACCU-CEK Softclix keatas hujung jari yang dipilih, biasanya jari telunjuk tangan sebelah kiri, setitik darah diambil dengan menggunakan ACCU_CEK performa dan dimasukkan dalam alat bacaan. Dalam beberapa saat, mesin atau alat bacaan akan mengeluarkan angka tertentu misalnya 10. Angka itu adalah tahap kandungan gula dalam darah.
Jika angka itu pada tahap 6 dan kebawah, ia menandakan tahap gula yang normal. Jika lebih dari itu, ia merupakan tanda-tanda yang perlu diberi perhatian dan wajar dikawal.
"Allah, dah naik 10".
Ayat keluhan seperti itu sudah biasa saya dengar. Bukan sekali tapi beberapa kali.
Maka si isteripun sibuk bertanya saya semalam atau hari-hari yang lepas apa yang dia makan. Maksudnya makanan yang mempunyai kandungan gula.
Jawapan saya mudah saja iaitu mengatakan saya tidak perasan atau tidak ingat.
Memang saya tidak ingat. Kadang-kadang makanan sarapan pagi yang baru satu jam saya ambilpun susah untuk saya ingat. Terkial-kial cuba memikirkannya. Inikan pula makanan yang orang lain makan.
Lagi pun pertanyaan isteri itu, saya sudah anggap sebagai tidak serious kerana setiap kali kandungan gulanya naik, dia akan bertanya soalan yang sama. Maknanya dia sendiri tahu semasa dia mengambil makanan itu ianya akan memberi kesan tidak baik kepada tahap gula dalam darahnya.
Maka berjanjilah isteri itu pada dirinya akan tidak mengambil lagi makanan yang bergula. Atau hanya mengambil makanan yang kurang gula.
Tapi janjinya mudah saja terbarai apabila melihat buah durian. Semasa membeli buah durian, alasannya ialah untuk anaknya yang juga peminat buah durian. Maka dia pun tumpang semangkuk dengan alasan hanya makan seulas dua.
Berjanjilah juga dia bahawa esok harinya dia akan mulakan senaman pagi dan menggesa saya turut sama.
Tapi kenapa esok hari? Kenapa tidak pagi itu juga?
Sesungguhnya untuk mengawal penyakit adalah lebih rumit dari mengelak. Mengawal benda yang sudah ada dalam diri seperti penyakit diabetik ini memerlukan kekuatan dalam diri sendiri.
Tidak cukup hanya dengan memantau saja dengan mendapat maklumat tentang tahap gula dalam darah tapi tindakan lanjut untuk mengawal pertambahan gula itu tidak diambil. Misalnya tidak ambil ubat atau terlupa mengambil ubat seperti yang telah ditentukan oleh doktor. Terus mengambil makanan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Tidak melakukan senaman secara konsisten.
Jadi bagaimana hendak membina kekuatan dalam diri sendiri?
Mungkin dengan melihat kesan buruk yang disebabkan oleh penyakit itu boleh memberikan kekuatan seseorang itu untuk mengawal penyakitnya meningkat ke paras yang serious. Misalnya dalam hal sakit diabetik, mata akan boleh jadi buta, anggota dipotong dan sebagainya. Bawa sipengidap itu melihat sendiri mereka yang sampai ke tahap sedemikian. Kalau dengar cerita , mungkin tidak menimbulkan rasa gerun.
Atau beri tahu penyakit itu boleh membuatkan seseorang itu mati. Tapi semua orang akan mati. Saya rasa ianya kurang berkesan.
Apa pun isteri saya terus memantau tahap kandungan gulanya setiap hari. Satu hari setitik darah diambil dari jarinya. Dia patuh makan ubat. Dia juga bersenam pagi walaupun kadang-kadang berhenti. Cuma, buah durian buat kacau, membuatkan janji pada diri tercabar jadinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan