Theflowersellingboy

Sabtu, 23 Februari 2013

Bezanya Orang Dulu dengan Sekarang

Dulu, sekurang-kurangnya dalam tempoh masa yang saya boleh ingat, pada usia 4 tahun ke atas, terlalu banyak bezanya dengan yang ada sekarang. Saya tidak bercakap fasal alam sekitar, fasal bangunan, dan objek-objek yang ada didunia ini. Saya mahu mengingati fasal norma dan nilai yang membentuk sikap, perlakuan dan perwatakan manusia khususnya orang Melayu.

Mula-mula fasal makanan. Apa yang kita makan menjadi ukuran taraf sosial kita dalam masyarakat. Kalau ada orang berkata bahawa seseorang itu hanya makan ikan bilis saja maka tahulah kita orang yang dimaksudkan itu adalah miskin kedana. Dulu ikan bilis adalah murah dan mudah saja didapati.

Sekarang harga ikan bilis terlalu mahal RM 60.00 satu kilo bergantung kepada jenisnya. Ikan bilis juga sudah menjadi makanan eksklusif di hotel-hotel. Jadi kata-kata 'makan ikan bilis', sebagai penanda aras kemiskinan yang menjadi makanan harian orang bertaraf sosial rendah, tidak lagi boleh digunapakai. Sebaliknya ikan bilis sekarang menjadi makanan kegemaran orang-orang yang mampu menyewa bilik hotel, orang kaya yang bertaraf sosial tinggi.

Tentang pakaian pula. Bukan fasal fesyen pakaian tapi fasal peranan pakaian dalam menutup aurat. Dulu, semasa saya di tahun-tahun awal universiti, pada awal 70an, sebahagian besar pelajar wanita Melayu di pandang sebagai ganjil dan 'menakutkan' jika mereka memakai tudung kepala yang menutup aurat. Tambah-tambah lagi jika pelajar ini memberi salam dengan ucapan 'assalamualaikum wbth'. Pelajar-pelajar ini akan di panggil sebagai hantu kum kum. Bilangan mereka tidaklah ramai. Dan biasanya mereka ini terpinggir dikalangan pelajar-pelajar lain yang majoriti.

Sekarang lain pula. Terlalu susah untuk kita berjumpa dengan pelajar-pelajar Melayu yang tidak bertudung. Jika ada seorang dua, mereka ini dilihat sebagai ganjil atau merasa kurang senang untuk berada berama-sama dengan majoriti pelajar yang bertudung.

Memilih pasangan. Menurut yang diceritakan oleh yang lebih tua dari saya bahawa isterinya adalah atas pilihan kedua ibubapanya. Dia tidak pun kenal sangat dengan isterinya itu sebelum kahwin walaupun duduk sekampong kerana isterinya itu adalah dara pingitan, jarang keluar bercampur gaul menurut yang diaturkan oleh norma hidup bermasyarakat ketika itu. Ertinya, kalau hitam, putih atau kuning langsat warna kulit isterinya, itulah yang akan diterima. Pilihan mengikut cita rasa kedua-dua ibubapa kedua-dua belah pihak.  

'Asalkan pandai menanak nasi, menyediakan gulai dan baik budi bahasanya', kata emaknya dulu sewaktu memberitahu akan pilihan bakal isterinya.

Dalam tempoh pertunangan tiada satu hari dan ketika pun dia dan tunangnya dapat berjumpa, bersua muka. Namun dia  berusaha juga. Kebetulan ada pokok kelapa berhampiran dengan rumah tunangnya. Di panjatnya pokok kelapa itu sehingga pada paras yang boleh melihat wajah seseorang didalam rumah itu melalui tingkap. Nasibnya baik pada hari itu kerana dia ternampak seseorang, orang perempuan, tetapi dia tidak pasti, tunangnya atau bakal emak mertuanya. Begitulah hal dulu-dulu dalam memilih pasangan.

Masa saya dulu ianya telah berubah. Sendiri boleh pilih dan kemudian minta restu kedua ibubapa.

Sekarang ini sendiri punya sukalah. Macam-macam cara boleh dapatkan pasangan. Yang terkini ialah melalui media sosial seperti fb dan tweeter. Sendiri boleh buat keputusan tanpa rundingan dengan ibubapa. Cuma dipihak perempuan memerlukan bapa sebagai wali. Kalau tiada peranan bapa sebagai wali, ceritanya amat mudah sekali. Ikut kehendak hati, berbulan madulah setiap hari.

Hormat yang lebih tua. Perkara ini telah menunjukkan perbezaan yang amat ketara antara dulu dan sekarang. Perkembangan yang membimbangkan.

Pada masa dulu, seseorang yang mahu melepasi barisan orang yang sedang duduk dalam sesuatu majlis, akan berjalan secara membongkokkan sedikit badan sambil tangan kanan menghulur ke depan dan tangan kiri diletakkan diatas dada sebagai isyarat meminta izin untuk melepasi barisan itu. 

Sekarang? Bukan saja berjalan tegak, bahkan tidak kisah sama ada orang yang sedang duduk itu dilanggarnya.
   
Lebih jelas lagi kalau kita berjalan di pusat-pusat membeli belah atau menaikki komuter atau bas. Anak-anak muda baik perempuan yang bertudung lingkup, yang terdedah aurat, mahupun lelaki berketayap dan yang gondol kepala, tidak lagi ambil kisah tentang menghormati orang tua. Cara bicara dan lagak laku adalah mengikut cita rasa dan selera masing-masing. 

Malu? Tiada apa perlu dimalukan. Merempuh bahu situa, sehingga boleh merebahkan situa, sama saja dengan makan burger sambil berjalan. Biasa saja. Lebih baik diketawakan kerana dah tua bangka masih lagi mahu 'bershopping'.

Pengajian moral dan agama. Dulu pengajian moral dan agama tidaklah sehebat sekarang. Tiada kuliah agama disana sini, tiada forum perdana, tiada perkhemahan motivasi waktu cuti sekolah, dan sebagainya berbanding dengan sekarang. Dulu pun tiada konsert atau pertunjukan seperti psy gangnam style berbanding sekarang. Sebab itulah agaknya sekarang ini kita boleh dapat berbagai ragam perangai dan jenis manusia, baik situa bangka, yang muda remaja dari berbagai jantina, yang memimpin ada kuasa dan salah guna kuasa, dan yang kena pimpin ditarik hidung, dibutakan mata dan dipekakkan telinga, yang kaya tamak haloba mengumpul harta merembat sana sini, dan yang miskin papa kedana merempat dikaki lima dan bawah jambatan.

Tapi jangan lupa yang jadi lebai pun ada juga. Cuma mereka ini kurang ummmpp.



 
 
 
      

  

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan