Theflowersellingboy

Selasa, 5 Februari 2013

Dulu Gaji Kecil Hidup Selesa. Sekarang Barang Mahal Hidup.......

Waktu mula bekerja pada Februari 1972, saya telah dibayar elaun sebanyak RM501.00. Ketika itu menjawat jawatan secara sangkutan saja (attachment), belum bertaraf sementara apatah lagi tetap. Elaun sebanyak itu sungguh besar bagi saya dan dapat hidup bermewah berbanding semasa menjadi seorang mahasiswa. 
 
Kemudian apabila diterima sebagai penjawat tetap, gaji yang diterima meningkat kepada RM750.00 sebulan. Jumlah pendapatan yang bertambah ini menjadikan saya lebih mewah berbelanja. Butiran-butiran perbelanjaan mula bertambah termasuklah keinginan untuk memiliki sebuah kereta.
 
Maka sebelum memasuki tahun 1973, saya pun membeli sebuah kereta Datsun 1200 dengan harga RM7,700.00 secara berhutang. Maksud saya dengan menggunakan skim pinjaman kenderaan kerajaan.Tapi saya terpaksa menggunakan sedikit wang sendiri kerana kelayakan pinjaman saya tidak sampai jumlah harga kenderaan itu. 
 
Walaupun telah mempunyai sebuah kenderaan ianya tidak memberi tekanan sangat kepada beban perbelanjaan saya. Cuma , semenjak telah ada kenderaan saya telah mengaturkan perbelanjaan yang lebih sistematik. Saya membahagikan perbelanjaan kepada dua kategori iaitu perbelanjaan tetap dan perbelajaan yang berubah-ubah seperti berikut:
 
Pendapatan boleh guna (take home income- setelah ditolak bayar balik pinjaman kenderaan dan sumbangan KWSP) RM500.00
Perbelanjaan tetap
 i) Sewa bilik                                  RM 50.00
ii) Wang kampong                         RM150.00
Perbelanjaan Berubah
iii) Makan / minum                       RM150.00
iv) Minyak kenderaan                   RM 50.00
v) Lain-lain (termasuk simpanan) RM100.00
Jumlah belanja                                                          RM500.00
 
Perbelanjaan tetap bermakna tidak boleh tidak saya akan memperuntukkan jumlah wang sebanyak yang ditetapkan. Tapi perbelanjaan berubah adalah perbelanjaan bagi sesuatu item yang boleh diubahsuaikan walaupun telah diperuntukkan sejumlah yang tertentu.
 
Tapi yang jelasnya ialah saya masih lagi boleh berbelanja mewah bagi jumlah pendapatan sebanyak RM750.00 itu.
 
Itu semasa bujang. Menyewa bilik saja. Sebab itu saya mendirikan rumah tangga pada tahun 1975 selepas 3 tahun bekerja. Kumpul wang dulu. Rasanya tidaklah terlalu lambat berkahwin, mengikut ukuran pada ketika itu walaupun ramai kawan-kawan yang telah berkahwin lebih awal.
 
Apabila  memasuki alam rumah tangga cara berbelanja saya mula berubah, tidak semewah semasa bujang. Berbelanja dengan berhati-hati, banyak memikirkan jimatan kerana tanggungjawab mula bertambah.  
 
Tidak lagi menyewa bilik tapi menyewa sebuah rumah sekerat papan sekerat batu dengan bayaran sewa RM120.00 sebulan, dipinggiran bandar. Rumah mesti ada perabut seperti setti, meja dan kerusi makan dan almari baju. Semuanya itu saya tidak beli tapi sewa dengan JKR. Murah saja sewanya tak sampai RM15 sebulan. Pada tahun pertama perkahwinan, mula menyimpan wang untuk kelengkapan anak yang bakal lahir.    
 
Jadi dari setahun ke setahun keperluan bertambah. Perbelanjaan pun ikut bertambah. Nasib baik ada kenaikan gaji setiap tahun.
 
Berpindah menyewa rumah yang lebih selesa apabila mendapat cahaya mata pertama.Rumah sekerat batu sekerat papan juga. Setelah lima tahun bekerja, sewaktu mendapat cahaya mata kedua saya membeli sebuah rumah teres dua tingkat di Damansara Utama secara membuat pinjaman berkongsi dengan isteri. Harga rumah waktu itu ialah RM 57,000.00, tidak termasuk kerja ubahsuaian.

Beli lagi sebuah kereta Fiat 132 secara pinjaman kerajaan juga. Bertambahlah perbelanjaan tapi masih lagi mampu menghadapinya tanpa tekanan. Wang hantar ke kampong pun telah ditingkatkan kepada RM200.00 sebulan.
 
Hidup kami sekeluarga rasanya agak selesa. 
 
Begitulah dari setahun ke setahun kami tidaklah menghadapi situasi yang menekan dari segi kewangan. Dan tidak juga terlalu mewah. Kata orang ok lah.
 
Kami mampu juga memiliki rumah yang lebih besar lagi, rumah sesebiji di Shah Alam dengan mengghunakan hasil penjualan rumah di Damansara Utama dan pinjaman kedua dari kerajaan. Kemudian rumah itu dijual juga untuk membena sebuah rumah di Melaka. Dan sehingga bersara itulah rumah kami sekeluarga. Sekarang ini , buat sementara, rumah itu ditinggal kosong kerana menjaga cucu di Putra Jaya.
 
Apa yang hendak saya sampaikan ialah bahawa walaupun gaji tidak sebesar mana tapi kehidupan yang saya jalani tidaklah terlalu terbeban dengan kos perbelanjaan yang tinggi. Pendapatan bulanan ada juga lebihan untuk disimpan untuk dijadikan sumber bagi menampong jumlah pinjaman untuk  membeli sebuah rumah bukan saja rumah teres bahkan rumah bungalow.
 
Sekarang, mak datuk, kos menyara hidup terlalu tinggi berbanding dengan gaji yang diperolehi. Sewa kondo sebulan RM1600.00, di Putra Jaya. Kalau gaji RM1200.00 sebulan macam mana ye? Kasihan sungguh mereka yang bergaji rendah. Rumah harga mahal. Sewa mahal. Keperluan harian mahal. Semuanya mahal. Anak ramai pula.
 
Sepatutnya mereka yang bergaji rendah ini, diberikan harga subsidi membeli rumah. Atau kerajaan bena rumah dan sewa kepada mereka dengan sewaan yang murah misalnya RM100.00 dengan tujuan akhirnya rumah itu menjadi milik penyewa itu. Kalau golongan yang berpendapatan rendah ini tidak dibantu, saya khuatir ianya akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial termasuk perlakuan jenayah.
 
Petang tadi saya keluar makan bersama isteri dan seorang anak di Sogo. Makan fish and chip saja beserta dengan minuman. Kosnya RM90.00. Mahal nak gila. Masuk tandas seorang 30 sen. Tandas tidaklah bersih sangat. Bayar letak kereta RM5.50. Bayar duit tol lagi. 
 
Jadi bila masa orang yang berpendapatan rendah hendak merasa makanan yang saya rasa itu.  Sesungguhnya sistem agihan kekayaan ini tidak adil. Kita bukan cadangkan agihan sama rata tapi janganlah jurang pendapatan itu terlalu besar dan kos barang-barang dan perkhidmatan terlalu tinggi berbanding dengan pendapatan orang bergaji rendah ini.
 
Cuba kita menjadikan diri kita sebagai seorang pekerja agensi mengangkut sampah sarap. Kita telah berkeluarga dan mempunyai anak 3 orang. Gaji tidak lebih dari RM1,000.00 sebulan. 
 
Macam mana agaknya kita hadapi kehidupan harian jika kita tinggal di KL atau Putra Jaya. 
 
Mungkin kita akan mencari kedai atau tempat-tempat yang menjual barang yang kita fikirkan atau sangkakan sebagai murah. Misalnya kalau nak beli sayur/ikan/daging, kita pergi di pasar tani. Di Putra Jaya pergilah pada setiap hari Selasa dan Jumaat sebelah petang di Precint 2.
 
Kita bawa wang lima puluh ringgit.
 
Apa yang kita dapat? Berapa banyak yang kita dapat?
 
Tergolek anjinglah kita apabila tiba masanya untuk membayar. Terlalu mahal.
 
Bagi saya kos hidup di Putra Jaya adalah terlalu mahal, termasuk harga barang jualan di pasar tani tadi. Macam mana orang berpendapatan rendah hendak hidup.      
 
Ini adalah perkara yang serious. Kerajaan tidak sewajarnya berbangga dengan menaikkan gaji pekerjanya. Lihat pada harga barang-barang. Tidak ada faedah gaji naik, kalau harga barang naik terlalu tinggi. 
 
Dulu dengan gaji yang tidak seberapa saya mampu memiliki rumah teres dua tingkat selepas 5 tahun bekerja. Sekarang? Saya tidak fikir ianya boleh berlaku. Hantar duit ke kampong membantu ibubapa dan adik-adik? Nak makan sendiri pun susah. Keluar dari universiti dan belum sempat bekerja PTPTN dah tagih hutang. 

Oleh itu soal pendapatan dan kos barang serta perkhidmatan perlu diberi perhatian serious oleh kerajaan. Jangan terlalu besar jurang pendapatan. Ertinya ada yang tidak kena dalam dasar dan sistem pengurusan ekonomi negara. Perlu diubah segera.
 
Jika kerajaan sekarang masih mahu meneruskan seperti yang ada sekarang ini maka kerajaan yang baru wajar diberi mandat untuk menguruskan negara. Kalau tidak jangan mimpi untuk dapat merasa satu kehidupan yang berkualiti.
 
 
 
 
    
 
  
 
   
 
 
 

 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan