Theflowersellingboy

Rabu, 13 Februari 2013

Menanti Harapan

Darurat telah berakhir pada tahun itu, tahun 1960. Perkhidmatan anggota special constable (sc) tidak diperlukan lagi. Dia dan kawan-kawan yang berkhidmat di pos Kampong Lalang Grik Perak masing-masing balik kampong memulakan kehidupan yang baru. Tidak lagi berhadapan dengan kominis. 

Anggota sc, adalah anggota keselamatan yang tidak layak dibayar pencen. Oleh itu dia kena mencari sumber pendapatan bagi membiayai anak isteri dan diri sendiri. Ketika itu dia mempunyai enam orang anak. Empat bersekolah rendah. Yang tua dalam darjah enam.

Mencari kerja? Apa kepakaran yang dia ada? Dulu sebelum menjadi sc, dia membuat gula melaka dan bersawah. Tapi pokok kelapa telah makin berkurangan. Sawah pun semakin berkurangan, ditukar dengan tanaman sayuran. Dan bidang menanam sayur ini adalah monopoli orang China.

Dia lebih suka untuk menjadi penorih getah. Dia tidak pakar dalam bidang itu tapi dia tahu juga bagaimana untuk menorih pokok getah tanpa melukakan batang tempat torihan itu.  Ertinya jika diadakan ujian torihan, dia percaya dia boleh melakukannya.

Maka dia melamar kerja itu dengan sebuah ladang getah kepunyaan orang putih. Dia berjumpa dengan Manikam, mandur ladang getah itu, memohon supaya dia diambil bekerja.

Manikam bersetuju mengambilnya dengan syarat dia berjaya dalam ujian torihan. Jika batang getah itu luka iaitu torihannya sampai ke kulit ari, dia tidak akan diambil bekerja.

Dia terlalu gembira kerana berjaya melalui ujian itu. Pada hari itu juga Manikam si mandur itu meminta dia memulakan kerja. Satu kawasan untuknya telah ditandakan yang mengandungi sebanyak 100 batang pokok getah. Pokok getah yang sudah tua.

Dia tahu pokok getah yang sudah tua mengeluarkan susu getah tidak sebanyak pokok getah muda. Ertinya dia tidak dapat mengumpul susu getah yang banyak. Upahnya bergantung kepada timbangan berat susu getahnya.

Menorih pokok getah tua mesti menggunakan tangga kerana batang pokok di bahagian bawah telah ditoreh semasa pokok itu muda dulu. Jadi terpaksalah dibawa tangga itu dari sebatang pokok ke pokok yang lain untuk menorih batang di bahagian sebelah atas.   

"Aduhai, apalah nasib aku ni. Pokok tua, kena pakai tangga pulak", dia sedikit mengeluh. Tapi tawaran dari mandur itu dia tidak boleh menolaknya. Dia kena terima. Kalau tidak macam mana nak bagi makan anak isteri di rumah.

Bulan pertama dia dapat gaji RM70.00. Dia terlalu gembira keluar  dari pejabat membayar gaji itu menuju ke basikal tuanya yang disandarkan disebatang pokok asam jawa diluar kawasan pejabat. Tiba-tiba langkahnya terhenti, apabila melihat dua orang yang amat dikenalinya sedang berdiri di pintu pagar kawasan pejabat itu. Si Tambi dan si Yong Sak , dua tauke kedai tempat dia berhutang untuk mendapat keperluan harian, sedang menunggu. Kemudian dia terus melangkah menuju ke arah dua orang tauke itu.

Masing-masing tauke itu mempunyai buku kecil, yang lebih dikenali sebagai buku tiga lima,  yang merekodkan hutang pelanggan, termasuk , dia, si Atan. 

Si Tambi membuat sapaan mula sambil menunjukkan jumlah hutang si Atan pada bulan lepas.  Empat puluh lima ringgit, tidak termasuk baki hutang terkumpul yang lepas , semasa Atan belum mendapat kerja sebagai penorih getah. Si Yong Sak pula mencatatkan RM40.00. Juga tidak termasuk baki hutang yang lepas.

"Bagi aku RM10.00, untuk belanja sekolah anak. Duit bas", si Atan merayu kepada kedua-dua tauke itu. 

Si Tambi dan Si Yong Sak bersetuju untuk bahagi dua dari jumlah RM 60.00 sebagai bayaran dari Atan. Baki yang tidak dapat dibayar dikumpulkan dengan jumlah baki yang lepas.

"Terima kasih. Dapatlah anak aku pergi sekolah", Atan mengucapkan terima kasih diatas kesudian dua orang tauke itu menerima rayuannya.

Dia tahu walaupun wang itu hasil titik peluhnya dan masih lagi dalam genggamannya tapi dia mesti merayu kepada dua orang tauke itu kerana wang itu sebenarnya telah menjadi hak milik mereka. Merekalah yang telah menyambungkan nyawa dia sekeluarga untuk hidup.

Atan mengayuh basikalnya balik ke rumah dengan berbekalkan wang RM10.00. Duit untuk belanja sekolah anak-anaknya.

Otaknya berputar seperti roda basikal tuanya, tidak seligat roda basikal baru. Kadang-kadang, nafasnya naik semput memikirkan hutang yang sentiasa bertambah bulan ke bulan. Sampai bila, yek? Dia menanyakan diri sendiri yang jawapannya telah sedia ada. Sampai bila-bila selagi nyawa di kandung badan. Selagi si Tambi dan si Yong Sak sudi membenarkan dia mengambil barang secara berhutang. Dia pun tahu tidak ada pekedai lain yang sudi membenarkan dia berhutang.

'Terima kasih Tambi dan Yong Sak. Nanti anak aku dah kerja besok, aku akan bayar semua hutang kamu',  Si Atan berjanji pada diri sendiri. Dia yakin anak-anaknya akan mendapat kerja yang baik-baik, gaji besar dan akan membantunya untuk menjelaskan segala hutang yang dibuatnya. 

"Hutang ni pun untuk kebaikan dia orang", Si Atan meyakinkan dirinya atas kesediaan anak-anaknya membantu menyelesaikan hutangnya apabila mereka bekerja nanti.

Sampai di rumah, kelihatan dua orang anak lelakinya iaitu yang sulung dan yang nombor dua sedang mengandar satu tin air dari perigi disebelah baruh rumahnya, mendaki bukit. Nampak macam termengah-mengah anak yang number dua itu mengandar air penuh satu tin itu. Dia rasa belas kerana anaknya itu pengidap penyakit semput. Tidak boleh buat kerja berat. Tapi kalau anak-anaknya itu tidak membantu mengambil air, siapa pula yang akan melakukannya?

Walaupun dia rasa belas tapi Atan senyum bangga. Dia percaya anak-anaknya ini akan berjaya dan akan membantunya satu hari nanti. Sifat-sifat membantu telah ditunjukkan dari kecil lagi.

Basikal tuanya disandarkan pada satu dari tiang rumahnya.

"Tapi sampai bila si Tambi dan Yong Sak sanggup memberi aku berhutang?" Si Atan mengira umur anaknya.  Yang lelaki yang tua baru 12 tahun dan yang semput itu baru 10 tahun. Lama lagi aku kena tunggu. Aku tak ada masalah untuk menunggu. Yong Sak dan Tambi sanggup ke? Macam mana kalau.......ah tak mungkin. Dia orang tu orang baik. Si Atan naik ke rumah dan menghulur wang sepuluh ringgit kepada isterinya

"Duit belanja budak", kata si Atan dan isterinya faham ke mana duit itu untuk dibelanjakan. Dua orang anak-anaknya tadi saling pandang memandang, ada rasa belas dan kasih sayang kepada  kedua-dua orang tua mereka.

"Lama lagi', semacam nada mengeluh tetapi sebenarnya ianya satu harapan yang dinanti-nantikan oleh siAtan dengan penuh yakin. Dia berbaring terus tertidur untuk satu mimpi........
  
   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan