Theflowersellingboy

Rabu, 1 Oktober 2014

Sebab Melayu Malaslah Melayu Jadi Pandai!!!!!????? Melayu perlu klik saja.




Mahathir kata Melayu malas, dan secara implikasinya Melayu tidak menguasai ilmu dan bodoh, dan akhirnya miskin. Bersetuju atau sebaliknya terserah kepada pemikiran masing-masing. Saya telah menyatakan pandangan rengkas dalam paparan beberapa hari yang lepas.

Memang benar ada Melayu yang malas, Cina yang malas, India yang malas dan orang Jerman yang malas. Tidak kurang juga dikalangan bangsa-bangsa itu orang yang rajin.

Ketika Mahathir kata Melayu malas dan kesan dari kemalasan itu menjadikan orang Melayu tidak berilmu, bodoh dan miskin, ada juga Orang Melayu (OM) yang cuba dan sedang giat membukti dan mempromosikan bahawa dengan mengambil sifat malas itu Melayu boleh jadi pandai, yang membawa kepada menjadi jutawan kaya raya.

Mahathir adalah mantan PM yang berpengalaman lebih 22 tahun  menerajui negara. Beliau masih sedih kerana orang Mealayu masih malas, tiada ilmu, bodoh dan miskin.

OM yang mempromosi sifat malas untuk jadi kaya ini tidak pula diketahui tingkat pengalamannya. Cuma yang pasti tidak pernah jadi PM walaupun sehari. Tapi tetap yakin, dengan bermalasan, Melayu boleh jadi kaya, jutawan.

Bagi orang atau kelompok orang tersebut (OM), cara untuk jadi kaya mudah saja iaitu mesti jadi malas. Otak mesti malas, tidak perlu banyak fikir-fikir, terima saja arahan dan lakukan seperti yang diarah. Tidak perlu berpeluh kerja kuat yang menyakitkan anggota badan, hanya pakai satu jari klik saja. Jika itu dipatuhi dan dilakukan Melayu akan jadi jutawan, kaya raya. 

Manakan tidak, dengan melabur 10 ringgit, dapat untung hampir 2 ribu, dan jika tingkatkan lagi modal misalnya 40 ringgit akan dapat untung   menghampiri 8 ribu. Tempoh dapat untung pula terlalu cepat. Hebat!!!!!

Mudahkan. Otak tidak perlu banyak fikir. Tak perlu belajar hal-hal berkaitan dengan pelaburan. Masuk saja duit, keuntungan terjamin, banyak pula.  Tiada risiko langsung.

Jadi jangan pusing-pusing kepala mahu belajar risiko kewangan, atau mahu tahu tentang internal rate of return, payback, return on investment dan berbagai lagi ilmu berkaitan dengan kewangan. Hanya anda klik saja, anda boleh jadi kaya. 

Anda telah pilih jalan mudah untuk jadi kaya. Sudah tentu anda seorang pengamal sifat malas. Tapi berbaloi kerana anda boleh jadi kaya.  

Oleh itu Melayu mesti ambil jalan mudah. Itulah falsafah yang menyokong promosi mereka.

Jangan pandang remeh falsafah yang mereka promosi dan kembangkan ini. Ianya telah menjadi ikutan , dan dipercayai oleh sebahagian dari orang Melayu terutama dikalangan pengguna media sosial, facebook. Dengar cerita sudah ramai yang menjadi jutawan -jutawan klik.

Semasa saya bekerja dahulu, ada dikalangan ketua kerajaan yang mempunyai hasrat untuk menjadikan 5 orang jutawan melayu semasa ianya berkuasa. Hasrat yang murni dan baik itu dilakukan dengan memberi berbagai peluang dalam bentuk meningkatkan ilmu bagi sesuatu bidang berkenaan, diberi berbagai kemudahan dan insentif agar dapat bersaing dengan mereka yang telah mantap dan sebagainya. 

Tapi dukacita, hasrat itu tidak tercapai. Tidak ada jutawan yang dapat dilahirkan.

Kenapa gagal? Sebab ketua kerajaan itu mempunyai kesungguhan melakukannya, memecah otak memikirkannya, dan kesana kesini mencari jalan untuk bersama membantu orang yang hendak dijadikan jutawan itu.

Ketua kerajaan itu memilih cara yang susah dan berliku-liku. Dia tidak pilih jalan yang mudah. Sepatutnya dia suruh orang itu klik saja, orang itu telah lama jadi jutawan Bahkan, semua orang boleh jadi jutawan, termasuk ketua kerajaan itu, Beliau tidak perlu susah-susah bertanding dan menguruskan kerajaan.

Dan bagi sebahagian besar dari kita tidak perlu ada ilmu, tidak perlu belajar tinggi-tinggi kerana ianya buang masa dan membazirkan wang sama ada wang sendiri mahupun wang negara. Bukankah lebih baik wang itu kita laburkan dalam sistem klik yang menghasilkan keuntungan berlipat ganda.

Saya beritahu kawan saya akan cara mudah untuk jadi kaya iaitu mesti jadi malas dan cari jalan mudah. Kawan saya berkata, "Rugi betul aku belajar sarjana kewangan. Membazir wang saja, sedangkan cara jadi kaya mudah saja. Klik".

Saya  bersuara, "Kau ni nak promosi cara menipu ke. Mana boleh tanpa ilmu ,dan tanpa kerja keras kita boleh jadi kaya".

Kamipun ketawa terbahak-bahak diakhiri dengan kata, "KLIKKKKK".

 



 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan