Theflowersellingboy

Khamis, 23 Oktober 2014

Kalaulah Kita Tidak Kehilangan Pesawat MH 370




Tajuk diatas sama seperti seseorang pelajar yang mengeluh apabila menerima keputusan gagal dalam peperiksaan disebabkan cuai dan tidak memberi tumpuan sepatutnya kepada pelajaran. Lalu pelajar yang gagal itu berkata dengan nada penuh sesal , mengeluh, "Kalaulah aku belajar bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran, aku percaya keputusan peperiksaan aku tidak seburuk ini'.

Apa boleh buat, salah sendiri. Gagallah dalam peperiksaan. Sendiri kecewa, ibubapa kecewa dan guru serta pihak sekolah kecewa. Tercalar wibawa sendiri, wibawa keluarga dan wibawa cikgu serta sekolah.

Sama juga dengan kehilangan MH 370. Kita juga mengeluh menyatakan perasaan kesal dan simpati keatas keluarga penumpang dan anak kapal MH 370 yang hilang itu. Lalu kita yang gagal dalam menjalankan tanggungjawab bagi menentukan keselamatan penerbangan MH 370 itu berkata dengan nada penuh sesal, mengeluh, "Kalaulah setiap daripada kita menjalankan tugas dan peranan masing-masing, sudah tentu MH 370 selamat mendarat di Beijing, destinasi yang hendak dituju".

Apa  boleh buat, salah kita juga. Maka hilanglah MH 370 bersama-sama dengan isi kandungannya. Kita sedih dan kecewa. Seluruh industri penerbangan pun sedih dan bersimpati. Pembekal MH 370 juga kecewa dan merasa hairan mengapa pesawat yang begitu canggih boleh hilang begitu saja. Wibawa kita tercalar. Bahkan wibawa industri penerbangan berkaitan dengan keselamatan penerbangan juga sudah bertambah menjadi kebimbangan. Risiko penerbangan menjadi percakapan ramai orang.

Pelajar yang gagal dalam peperiksaan itu, mempunyai peluang kedua untuk memujuk kekecewaannya dengan mengambil sekali lagi peperiksaan. Syaratnya mesti memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Sudah tentu kena menanggong sekali lagi kos pembelajaran termasuk yuran peperiksaan.

Setakat keluhan itu, nampaknya sama diantara pelajar yang gagal peperiksaan dengan kehilangan pesawat MH 370. Kedua-dua peristiwa itu menimbulkan rasa kesal dan insaf diatas kesilapan atau kesalahan sendiri. 

Yang bagusnya, pelajar itu bersedia untuk mengambil sekali lagi peperiksaan dengan semangat yang tinggi, memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Pelajar itu mengambil tanggungjawab. 

Dan ibubapanya terpaksa mengeluarkan sekali lagi kos pembelajaran yang sepatutnya tidak perlu ditanggung, dan boleh digunakan untuk tujuan yang lain, kalaulah pelajar itu memberi tumpuan yang baik terhadap pelajarannya bagi menghadapi peperiksaan kali pertama dulu.

Bagaimana pula dengan kehilangan MH 370? Apa yang kita lakukan?

Rakyat secara keseluruhannya masih bersedih dan mengharapkan MH 370 itu terus dikesaan lokasi keberadaannya. Dan simpati kepada keluarga penumpang anak kapal tetap berterusan.

Pihak berkuasa masih meneruskan usaha untuk mencari, mengesan dan membawa balik apa yang dapat dibawa balik dari pesawat MH 370 itu.

Kos mengesan dan mencari, dari mula kehilangan sehingga sekarang dipercayai melibatkan ratusan juta ringgit. Sehingga sekarang pesawat itu masih belum diketemu.

Maka tidak salah dan sesuatu yang natural sekiranya ada diantara kita mengeluh dan berkata, "Kalaulah semua pihak yang diberi tugas untuk menentukan keselamatan penerbangan pesawat menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing, risiko kehilangan MH 370 dapat dielakkan".

Dan kita, negara kita tidak perlu mengeluarkan ratusan juta wang semata-mata diatas sebab kelemahan pengurusan dalam menentukan keselamatan penerbangan pesawat. Bukankah kita mempunyai banyak lagi keperluan yang memerlukan banyak wang? Masih ramai rakyat kita yang susah dan miskin.

"Kalaulah kita tidak kehilangan pesawat MH 370.......", kita terus mengeluh.

Semalam ada berita tentang tindakan pihak berkuasa dalam usaha mencari dan mengesan MH 370. Pihak berkuasa Malaysia, diberitakan akan menggunakan perkhidmatan sebuah kapal (vessel) diberi nama Go Phoenix dan peralatan pencaraian dasar laut yang canggih yang dikenal sebagai ProSAS bagi tujuan pencarian MH 370 itu. Kos yang terlibat adalah sebanyak US 21 juta bersamaan RM 67 juta.

Kos ini akan ditanggung oleh Petronas. Kos ini sudah tentu merunsingkan setiap dari kita rakyat Malaysia yang prihatin kerana ia merupakan tambahan kepada kos sebelumnya yang hasil pencariannya negatif.

Tapi kita merasa lega apabila Menteri Pertahanan, seperti yang dilaporkan, menyatakan keyakinan 99.9 % pesawat MH 370 akan diketemu dengan menggunakan vessel dan peralatan pencarian dasar laut yang canggih itu dengan kos 67 juta ringgit.

Kebarangkalian untuk ketemu MH 370 hampir kepada 100%. Maka marilah kita sama-sama mendoakan ianya menjadi kenyataan dengan menyebut "InsyaAllah",kerana Allahlah yang mengetahui dimana keberadaan MH 370 itu dan sebab musabab ianya hilang.

Namun keyakinan menteri itu berlapik. Ianya bergantung kepada keadaan lautan Hindi yang luas itu. 

Alasan lautan hindi yang luas dan keadaan yang amat merumitkan di lautan hindi itu (kawasan yang telah di'zeroin' jatuh dan tenggelamnya MH 370) adalah alasan yang sama yang telah diberikan terdahulu. Ternyata kapal (vessel) dan peralatan yang telah digunakan terdahulu telah gagal mengatasi keadaan lautan hindi itu. 

Oleh sebab itu vessel dan peralatan yang lebih terkini dan canggih (Go Phoenix dan Pro SAS) digunakan bagi mengatasi keadaan lautan hindi itu. Jika alasan itu menjadi halangan dan tidak dapat diatasi maka ianya amat merunsingkan hati kerana kemungkinan gagal masih ada. 

Adakah kerunsingan 0.1% itu (mentafsirkan keyakinan 99.9% menteri pertahanan) merupakan penyerahan kita kepada keizinan Allah? Kalau begitu sewajarnya kita melafazkan keyakinan 99.9% itu dengan penyerahan kita kepada Allah dengan ucapan "InsyaAllah", atau "God willing", jika itu bahasa basahan seseorang.

Kalaulah kita tidak kehilangan pesawat MH 370 , saya tidak menulis seperti diatas. Dan saya tidak akan bertanya bagaimanakah sepatutnya pihak yang diberikan tugas dan peranan dalam menentukan keselamatan penerbangan mengambil tanggungjawab diatas kehilangan MH 370.

Saya percaya mengeluarkan wang jutaan ringgit bagi mencari MH 370 itu bukan satu cara terbaik dan terhormat dalam cara seseorang/pihak mengambil tanggung jawab, walaupun ianya betul dan diperlukan. Maka ambillah tanggungjawab yang sepatutnya.
   
 



  


Tiada ulasan:

Catat Ulasan