Theflowersellingboy

Sabtu, 11 Oktober 2014

BAJET 2015- Dari sudut pandang seorang pesara awam





Saya mulakan dengan ucapan syukur ke hadarat Ilahi kerana telah memberi peluang kepada saya mengikuti siaran langsung pembentangan bajet 2015 oleh Menteri Keewangan yang juga Perdana Menteri.

Sebagai bekas penjawat awam, jika tiada aral melintang, saya tetap ikuti, walaupun saya telah meninggalkan sehingga kini menonton saluran tv berkenaan. Bajet punya fasal saya ketepikan pantang larang saya itu.

Alhamdulillah, saya bersyukur dapat wang tambahan RM250 pada tahun hadapan, penghargaan kerajaan kepada pesara awam.Bagi sahabat yang masih berkhidmat mereka dapat paling minima RM 500 atau setengah bulan gaji dalam bentuk bayaran bonus. Tidak ada gaji baru. Namun bersyukurlah.

Saya tidak mahu menyentuh tentang tema dan 7  strategi bajet yang dibentangkan. Pada saya semuanya itu adalah kosmetik saja bagi menampakkan betapa cantiknya  bajet yang dibentangkan itu, dan bagi mengkhayalkan sebahagian dari para pendengar yang mengikuti pembentangan bajet itu.  Tidak ada kesungguhan dalam menentukan tema dan strategi itu tercapai.

Setiap tahun itu yang dilakukan. Pernahkah kita dengar penilaian yang diberikan dalam mengukur pencapaian tema dan sejauh mana strategi bajet yang diwarwarkan pada tahun sebelumnya dicapai? Sudah tentu jawapannya TIADA. Jadi apa perlu kepada tema dan strategi, kalau ianya dilupakan sehabis saja bajet dibentangkan? Tahun hadapan satu lagi tema muncul dan strategi tertentu dikemukakan, mungkin ada yang diulang dengan menyusun semula ayat/perkataan yang digunakan.

Jadi lupakan fasal tema dan strategi.

Kita lihat bagaimana kerajaan menguruskan bajet.

Pertama, seperti tahun-tahun yang lepas, bajet tahun 2015 juga mencadangkan perbelanjaan melebihi hasil. Pada tahun 2015 kerajaan mengunjurkan hasil sebanyak RM 235.4 billion bagi membiayai belanja Mengurus sebanyak RM 223.4 billion dan belanja Pembangunan sebanyak RM 50.5 billion, kurang sebanyak 38.7 billion.

Dari mana kekurangan itu akan ditampong? Biasanya dari sumber pinjaman atau baki simpanan. Ini memberi kesan kepada kewangan kerajaan.

Kedua, pengalaman dalam banyak tahun yang lepas, menunjukkan bahawa anggaran cadangan perbelanjaan itu sentiasa tidak cukup. Peruntukan tambahan akan dipohon, ada ketikanya lebih dari satu kali.

Ini bermakna terdapat kelemahan dalam mengawal perbelanjaan. Mengawal perbelanjaan bukan saja bermaksud berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan tapi melibatkan antara lain pembaziran atau boros berbelanja; berbelanja bagi perkara atau program yang tidak diluluskan; melaksanakan kerja dan tindakan diluar dari peraturan yang telah ditetapkan; penyalahgunaan wang/pecah amanah termasuk perlakuan rasuah; dan memilih cara perolehan bagi barangan, perkhidmatan dan kerja/projek tanpa melibatkan persaingan terbuka.

Ini juga bermakna kerajaan berbelanja lebih dahulu, kemudian pohon tambahan.

Ketiga, seperti yang dinyatakan diatas, bajet hanya merupakan sebagai satu cara kerajaan untuk mendapat kelulusan menggunakan wang dan kekayaan negara tanpa kesungguhan untuk menilai dan mengukur pencapaian atau tahap pencapaian hasil dari penggunaan wang yang telah diluluskan sebelumnya. Maka dengan itu tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memperbaikki dan menambahbaik apa yang kurang dan memperkemaskan hal-hal yang masih longgar.

Setiap tahun kita akan dapat cadangan penggunaan wang dan kekayaan negara, tapi kita tidak tahu setakat mana keberkesanan/kemenfaatan yang telah dicapai hasil dari penggunaan wang dan kekayaan negara itu. Ianya berulang setiap tahun.

Kita hanya sedar apabila Ketua Audit melaporkan. Itupun setakat yang mampu dilaporkan, setelah berlakunya 'kerosakan' keatas penggunaan wang negara.

Memang ada yang terlalu gembira menerima berbagai pertolongan seperti BR1M dan sebagainya. Tapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita wajar terlibat sama untuk menentukan wang dan kekayaan negara digunakan sebaik mungkin.

Bagaimana caranya?

Jangan terpesona dengan apa yang dibentangkan tapi tentukan apa yang dibentang dan dijanjikan itu dilaksanakan sepenuh dan sebaiknya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan