Theflowersellingboy

Jumaat, 24 Oktober 2014

Kalaulah Saya Menjadi Menteri Kewangan



,
Kalaulah saya menjadi menteri kewangan.  Satu angan-angan.

Syarat saya menjadi kewangan ialah saya mesti menjadi perdana menteri. Syarat ini tiada kompromi.

Saya tahu syarat itu tiada masalah di Malaysia kerana telah ada duluan (precedent). Siapa saja menjadi menteri kewangan, perdana menteri menjadi hak mutlaknya.

Itu adalah sebab pertama mengapa menteri kewangan mesti juga menjadi perdana menteri.

Sebab kedua ialah untuk menjadi orang yang terkaya di Malaysia. Menteri kewangan adalah orang yang terkaya di Malaysia sebab memiliki segala sumber dan kekayaan negara. Tapi apa makna  memiliki kekayaan jika ianya tidak mampu menguasai sepenuhnya kerana masih ada bos yang boleh masuk campur iaitu perdana menteri. Sebab itu sebagai menteri kewangan saya juga mesti menjadi perdana menteri.

Tapi bukankah lebih baik saya berangan-angan menjadi perdana menteri berbanding berangan-angan menjadi menteri kewangan. Kerana bila jadi perdana menteri saya bebas untuk memilih apa saja porfolio - boleh jadi menteri kewangan, menteri dalam negeri, menteri pertahanan waemah apa saja porfolio yang saya suka. Perdana Menteri adalah bos.

Benar hujah seperti itu.

Tapi keperibadian dan jiwa saya yang prihatin yang ambil peduli, yang ada belas ikhsan, tidak mengizinkan saya melakukan cara begitu kerana ianya bersifat rakus walaupun dalam bentuk angan-angan.

Saya bukan jenis orang yang tamak, mahu menguasai semua perkara. Saya tidak bernafsu menurut nafsu seorang kapitalis -mahu bantai semua, monopoli segala-galanya. Saya juga bukan tauke perut buncit , pengamal paling taksub dalam hal memaksimakan keuntungan ( profit-maximising ). Dan jauh sekali  bersifat haloba, na'uzubillah.

Dengan sebab itu sudah memadai saya berangan-angan menjadi menteri kewangan dengan meletakkan   syarat saya juga menjadi perdana menteri, bukan sebaliknya.

Apabila angan-angan saya itu dimakbulkan, tidak kisahlah jika dimakbulkan dalam mimpi, saya akan melakukan cara saya.

Bagaimanapun, sama seperti cara menteri kewangan merangkap perdana menteri yang lain, saya juga akan mengadakan  polisi atau dasar sebagai panduan saya dalam mengurus dan mentadbir negara.

Tapi saya perlukan hanya satu polisi saja. Tidak perlu banyak polisi kerana ianya membazirkan masa, sudah tentu wang juga, dan mengelirukan.

Polisi yang saya mahu laksanakan ialah Dasar Terbuka. Maksudnya tiada apa yang perlu disekat, dihalang, disorok dan disembunyikan.

Contoh, sesiapa saja boleh berjumpa  saya, boleh berbincang, mengadu, memohon, menyatakan harapan dan kekecewaan. Saya tidak pilih bulu. Siapa yang datang dahulu, dialah yang dapat bertemu dengan saya. Tiada temu janji dan buku daftar masuk. Maknanya saya tidak perlu ruang , peralatan dan kelengkapan serta orang bagi menguruskan buku daftar masuk dan temu janji.

Saya percaya dengan cara ini saya berlaku adil kepada semua rakyat malaysia. Dan saya tidak menggunakan kekayaan negara bagi maksud yang tidak perlu. Kekayaan negara itu lebih baik dimenfaatkan bagi kesejahteraan rakyat.

Bukan cara saya untuk menunggu rakyat datang ke pejabat. Saya akan pergi ke mana saja yang diperlukan asalkan saya memang diperlukan ditempat itu. Ertinya jika orang di pedalaman mendahului meminta saya ke tempat mereka, saya akan memenuhi hajat mereka.

Lupakan halangan-halangan protokol. Lupakan juga halangan kepartian. Lupakan kawalan keselamatan, pengawal dan pengiring.

Dan mesti ingat kehadiran saya tidak perlu pukulan kompang dan bentangan permaidani merah. Tidak perlu sembelih lembu, kambing atau kerbau. Tidak perlu berbaris berpanas terik melambai-lambai tangan. Saya tidak perlu hadiah , cenderahati , buah tangan atau apa saja tanda penghargaan kerana saya sudah memiliki semuanya itu. Saya tidak ambil peduli hal-hal sedemikian.

Kalau hendak berbasikal, saya akan kayuh basikal. Bermotorsikal kapcai pun tiada hal. Naik bot, naik sampan berdayung mengharung arus deras adalah menjadi pilihan saya. Meredah hutan dan turun naik bukit-bukau, menuruni lembah dan paya serta membelah arus sungai saya pasti lakukan.  Saya tidak ambil kisah.

Yang saya ambil peduli ialah susah senang rakyat.

Saya akan berasa amat bersalah jika saya gagal memberi kesenangan kepada orang yang susah. Sebab apakah maknanya kekayaan negara yang saya miliki jika saya tidak tahu menfaatkan kekayaan itu bagi memberi kesenangan kepada rakyat. Kalau saya gagal menyenangkan rakyat yang susah, saya adalah menteri kewangan yang bodoh. Saya tidak mahu jadi menteri kewangan yang bodoh.

Lagipun siapakah yang boleh masuk campur dan menghalang saya sebagai menteri kewangan untuk menggunakan segala sumber dan kekayaan negara bagi menyenangkan rakyat? Perdana Menteri?

Bukankah saya menteri kewangan merangkap perdana menteri.

Saya juga ambil peduli tentang perlakuan rasuah.

Tidak ada siapa yang boleh merasuah saya kerana saya memiliki segala kekayaan negara. Malu jadinya orang yang cuba melakukan itu kerana saya akan bertanya berapa banyak harta dan kekayaan yang mereka ada berbanding yang saya miliki. Saya akan berterus terang kepada mereka, sesuai dengan dasar terbuka saya, bahawa menfaatkan wang kamu untuk diri kamu, dan jika ada lebih berikanlah kepada orang miskin yang amat memerlukan.

Saya tidak akan menyusahkan rakyat dengan segala cukai dan kenaan. Saya tidak perlu buat begitu kerana semua kekayaan ada pada saya. Yang perlu saya buat adalah menggunakan kekayaan itu bagi menjana pendapatan negara agar kekayaan akan bertimbuntambah.

Saya pasti saya tidak akan mengalami masalah kenaikan kos. Sebab dasar terbuka saya memberikan peluang kepada saya untuk mencari banyak pasaran. Saya tidak terikat kepada satu atau dua pasaran saja.

Saya mempunyai pilihan yang banyak. Dan sudah tentu saya dapat faedah dari pasaran yang bersaing itu dari segi kos yang ditawarkan. Mereka akan saling berlawanan dari segi kos untuk menarik minat saya memilih dikalangan mereka. Sudah tentu kos terendah bagi kualiti yang sama akan menjadi pilihan saya.

Banyak lagi yang boleh saya perkatakan tentang dasar terbuka saya itu. Maksud saya tentang menfaatnya. Dasar terbuka saya itu memberi keuntungan kepada negara dan rakyat. Dan sudah tentu kepada saya juga. Saya tidak perlu pening kepala atau risau tentang kehidupan rakyat kerana semua rakyat Malaysia hidup senang dan sejahtera.

Itupun kalau saya menjadi menteri kewangan merangkap perdana menteri.

Tidak salah kan saya berangan-angan seperti itu?





 


 




.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan