Theflowersellingboy

Selasa, 28 Oktober 2014

Sebuah Cerita Dengan Tema: Hanya Kau Saja Berada Dimata Hatiku, Kau Yang Aku Benci.




Berundur ke belakang, tahun 1998. Masuk usia 50 tahun. Sudah setengah abad.bernafas di dunia. Memegang gelaran Warga Emas.

Waktu itu dan hari ini , tahun ini 2014 sudah berselang 16 tahun. Tempoh masa yang cukup panjang. Anak kecil masa itu sudah berada di tingkatan empat tahun ini, dan tahun depan ambil SPM. 

Bagi anak itu, cerita hari ini adalah cerita baru, segar pada telinga, jelas di paparan mata. Ianya satu dari pengalaman baru yang bertimbun kumpul dengan yang lain, dibawa bersama. Ada sikap dan pendirian atas cerita baru itu yang akan ditentukan oleh anak kecil yang sudah remaja itu.

Bagi aku pula cerita hari ini adalah satu ulangan cerita  kerana ceritanya sama saja. Sama sewaktu 16 tahun yang lepas, ada kumpulan penggerak cerita menyediakan jalan cerita yang sama, menggunakan latarbelakang yang sama bagi dua pelakun utama. Tema nya tidak ada beza- 'hanya kau saja berada dimata hatiku, kau yang aku benci'.  

Hari ini, aku dan anak kecil yang sudah jadi remaja itu sama-sama mendengar, melihat dan dihebuhkan dengan cerita yang sama. 

Bezanya, telinga aku sudah lali, lantas masuk telinga kiri keluar telinga kanan, kata bijak bistari orang lama. 

Mata aku juga tidak lagi berminat untuk menghala pandangan ke paparan yang diulangtayang tanpa tempoh rihat, malah untuk melihat sendiri, secara peribadi, hadir di pentas cerita itu dilakunkan tidak sama sekali.  Sebab, aku akan muntah hijau kerana mataku terlalu cepat menanyakan otak aku untuk segera memberikan makna cerita yang aku tonton -meloyakan.

Jangan pula ada yang pantas membuat kesimpulan bahawa aku sudah jadi buta, atau mataku sudah kabur disebabkan meningkat usia. Alhamdulillah, penglihatan aku masih jelas, memandu kereta diwaktu malam masih lagi boleh sampai ke destinasi dengan selamat, dengan izin Allah. 

Dan jangan pula ada yang mengatakan aku tidak ada cukup wang untuk memandu kereta ku untuk sampai kepentas tayangan, maklum sajalah harga minyak sudah naik 20 sen. Ya, memang benar aku akan menerima isipadu minyak yang kurang jika aku membayar 20 ringgit sekarang ini berbanding dengan dulu, tapi hal itu hanya menyakitkan hatiku saja, tidak sampai membuatkan aku jadi terlalu loya sehingga keluar muntah hijau.
 
Telinga anak kecil yang sudah menjadi remaja itu, sebaliknya amat  segar sekali. Telinga kiri dan kanan mempunyai cuping dan gegendang yang amat sensitif dan tinggi upaya resapannya, menerap butir-butir cerita yang diperdengar dan lagak laku yang dilihat. Aku pasti anak remaja itu , seperti aku dulu, akan menilai dan mengambil kedudukan tertentu hasil dari apa yang didengar dan dilihat lakunan cerita baru itu.   

Dulu semasa kali pertama cerita ini dihebuh dan ditayangkan, aku mengikuti jalan ceritanya , sudah tentu watak utamanya menjadi asas pertimbanganku, begitu teliti dengan penuh minat. Aku tidak nafi bahawa terlalu banyak jalan cerita yang menyakitkan hatiku, lantas boleh menumpulkan minatku untuk mendengar dan menonton cerita itu, namun aku perkuatkan semangat untuk terus bersama dengan cerita itu. 

Hanya, sanya, kerana aku mahu tahu adakah cerita itu menepati tema yang dibawa - "Hanya Kau Saja Berada Dimata Hatiku, Kau Yang Aku Benci". 

Tepat sekali. Hatiku pedih, sakit dicucuk sembilu.

Kumpulan penggerak cerita itu, kelihatan bukan calang-calang kumpulan orang yang mempunyai, menghayati dan mengamalkan sifat yang terlalu seni kelicikannya sehingga sebuah cerita rekaan boleh menjadi pengkisahan cerita nabi Lot alaihissalam. Maka dengan penuh setia  dan taksub ada sebahagian yang mendengar dan melihat cerita yang dipentaskan itu, menganggok-anggokkan kepala keatas ke bawah, diikuti dengan jeritan 'nyahkan dia". 

Mereka terlalu puas kerana cerita itu menepati dan tidak lari dari tema "Hanya Kau Dimata Hatiku, Kau Yang Aku Benci".

Hari ini dan hari esok, cerita itu dipentaskan lagi. Dan bagi aku, aku tidak perlu hari esok atau lusa mahu pun tulat atau langkat, untuk tahu adakah cerita ulangan ini sekali lagi menepati tema nya. Seluruh anggota ku sudah lali untuk mengambil tahu.

Anak kecil yang sudah menjadi remaja, mungkin seperti aku 16 tahun dulu, terlalu teruja dan ghairah mahu ambil tahu, apakah kesudahan cerita ini.

Kepada anak kecil yang sudah jadi remaja, tumpukanlah perhatianmu kepada cerita ini kerana ianya satu pendidikan jiwa yang terlalu besar menfaatnya. Aku tidak bermaksud agar anak muda yang telah jadi remaja itu menggunakan kepala untuk membuat anggokan saja. Ya, mana yang perlu , wajar dan benar tidak salah menganggokkan kepala tanda setuju. Sebaliknya gunakan apa yang ada dalam kepalamu, otakmu, dengan cara bersungguh-sungguh , merujuk kepada pertimbangan bahawa kita ada tanggungjawab kepada Allah dan tanggungjawab kepada sesama manusia.

Jika itu anak kecil yang sudah jadi remaja lakukan, cerita yang dipentaskan ini dapat dengan mudah difahami. Jadi hari ini, hari esok dan seterusnya, menjadi perkiraan kepada anak kecil yang sudah jadi remaja, terlalu teruja akan sudah ceritanya. 

Bagi aku pula sama ada hari ini, esok, lusa, tulat atau langkat, seperti yang aku katakan diatas bahawa cerita ini adalah hanya sanya satu ulang tayang saja, tidak ada kepedulian dari aku. Sudah lali.

Semoga Allah membimbing aku, anak muda yang sudah jadi remaja, dan kesemua dari kita ke jalan yang diredhai dan tahu bahawa aku dan kalian mempunyai tanggungjawab kepada Allah, dan tanggungjawab kepada sesama manusia.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan