Theflowersellingboy

Khamis, 2 Oktober 2014

Ha ha ha Orang Minyak Naik Minyak




Pada suatu masa dulu, tahun 50 ke 60an orang Melayu takut dengan orang minyak. Apabila dengar saja cerita orang minyak, menggigil lutut dibuatnya.

Nenek-nenek, datuk-datuk dan ibubapa ketika itu, cukup hafal cerita orang minyak ini, dan digunakan sebagai satu cerita wajib untuk didengar sebelum tidur oleh anak cucu, terutama anak cucu yang suka merayap waktu malam. Bila dengar saja cerita orang minyak, berhimpit-himpitanlah anak cucu itu untuk dekat dengan datuk , nenek dan ibubapa yang membuka cerita itu. Mereka terlalu takut dengan orang minyak. Takut kena cekik.

Orang minyak ini kerjanya suka mencolek dan mencekik.

Maka pada tahun-tahun tersebut difilemkan cerita Orang Minyak.

Walaupun cerita filem itu tidak sama dengan apa yang diceritakan oleh datuk nenek, tapi motifnya sama iaitu  untuk menimbulkan perasaan takut. Maka 1Malaya ketika itu sangat takutkan orang minyak.

Itu cerita pada zaman dahulu. Cerita bagi menakut-nakutkan anak-anak muda dari suka merayap waktu malam.

Cerita pada zaman internet lain pula. Anak muda tidak perlu dengar dari datuk nenek. Mereka sendiri lebih dahulu tahu akan sesuatu cerita. Maklumlah zaman internet berita terbang terlalu laju. Misalnya kalau ada cerita orang minyak mereka lebih dahulu tahu dari datuk nenek. Dan mereka juga tidak akan berhenti merempit jika ada cerita tentang orang minyak tidak seperti anak anak muda dahulu yang berhenti merayap waktu malam kerana takut pada orang minyak.

Kaki rempit (anak anak muda kini) tidak takut dengan orang minyak itu. Orang minyak itu jahat ke , baik ke, mereka berani bersemuka, mahu tahu yang benar - pasal apa orang minyak itu jadi jahat. Pasal apa mahu naik minyak. Atau betul ke orang minyak itu baik.

Malam tadi, anak-anak muda yang suka merempit itu mendapat cerita tentang orang minyak sedang mahu naik minyak, dan akan mengamuk sakan pada jam 12.01 malam (pagi) apabila naik minyak.

Mereka ini jadi tergamam tapi bukan takut. Lalu masing-masing menghenjutkan kapcai buruk berderum-derum, berderetan , dahulu mendahului, potong memotong mahu jumpa orang minyak itu. Mereka mahu tahu mengapa begitu cepat sekali mahu naik minyak. Kenapa tidak boleh sabar barang seminit dan beritahu kepada mereka mengapa mahu naik minyak.

Sesampai saja ditempat orang minyak itu maka orang minyak itu dikepong dengan menggunakan kapcai buruk yang masih bising suaranya. Orang minyak naik panik, nak lari tak boleh kerana sudah kena kepong. Orang minyak bertahan dan tersingai mulutnya, menunjukkan gigi karatnya seolah-olah tiada apa-apa akan berlaku.

Seorang mat rempit, ketua kumpulan rempitan itu bertanya, " Mengapa begitu cepat nak naik minyak? Kan dulu kata orang minyak tidak langsung berniat untuk naik minyak. Ini mungkir janji namanya. Berdosa".

Dia menambah, "Bila tuan naik minyak, kami akan jadi susah. Sebab tuan akan hilang akal dan segala pertimbangan yang waras. Tuan akan mencekik kami. Matilah kami".

Orang minyak serba salah untuk menjawab soalan ketua perempit itu. Kalau dikatakan dia tidak naik minyak , dia buat bohong lagi. Entah kali ke berapa dia telah buat bohong. Dia pun takut buat dosa.

Jadi dia mesti berani menyatakan yang benar sesuai dengan falsafah berani kerana benar.

"Sekarang belum tiba masanya saya naik minyak. Awak semua jangan takut dan jangan bimbang. Saya masih waras dan tidak akan mencekik awak".

Mendengar kata-kata itu, seorang mat rempit dengan segera memberi respons , "Bersyukurlah kita, kerana orang minyak tak jadi naik minyak".

"Eh bahalol", kata ketua perempit itu, " Dia tak kata dia tak naik minyak. Tapi sekarang ni, pukul 10 ni, dia belum naik minyak. Tapi dia memang telah memprogramkan otaknya untuk naik minyak. Ada faham, bahalol" .

"Betul ke", jerit semua mat rempit itu.

"Ya memang betul . Lepas pukul 12 nanti, saya akan naik minyak. Tapi saya naik minyak sikit-sikit saja. Awak semua kena bersyukur. Sebab kalau saya naik minyak sepenuhnya, habis awak semua saya cekik".

"Sekarang tahulah kita , jahat sungguh orang minyak ini", mengeluh semua mat rempit itu, lalu beredar dengan kapcainya berlumbaan-lumbaan potong memotong dengan laju tanpa menghiraukan bahaya  kerana ini adalah peluang terakhir untuk mereka merempit.

Mereka semua tidak mendengar akan kata-kata orang minyak itu , "Bersyukurlah kamu semua. Aku naik minyak sikit saja".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan