Theflowersellingboy

Rabu, 22 Oktober 2014

Masing-masing ada rezeki yang diberikan Allah.




Kami musafir. Waktu Maghrib baru saja masuk. Hujan agak lebat juga semasa kami sampai di sebuah restoran mamak Daru Salam di precint 9, Putra jaya. Kami di tempat letak kereta berdekatan dengan restoran, tapi masih lagi berada dalam kereta, menunggu hujan reda sedikit.

Sudah lebih sepuluh minit kami menunggu dalam kereta, hujan masih lagi tidak reda. Kami buat keputusan untuk keluar. Isteri mengambil payung dibahagian belakang tempat duduk. Dia keluar dan saya pun keluar sama, dan berjalan dengan begitu cepat menuju restoran dibawah satu payung. Kami sedikit basah.

Kami membuat pesanan mengikut selera masing-masing. Isteri mahu makan mee goreng. Saya mahukan nan berkeju.

Sambil menunggu makanan sampai , datang dua oran hamba Allah menghampiri meja kami. Seorang lelaki tua, mungkin berusia dalam lingkungan 50an, dipimpin oleh seorang wanita, mungkin anaknya, berusia dalam lingkungan awal 30an. Lelaki tua itu buta.

Kami sedia faham akan maksud kedatangan dua orang hamba Allah ini. Saya melihat wajah mereka. Tiada keceriaan di air muka. Sedih dan mengharapkan simpati.

Saya memberi isyarat mata kepada isteri untuk menghulurkan sedikit wang. Isteri patuh lalu mengambil  wang dari beg tangannya dan menghulurkan kepada si wanita itu. Sambil menerima wang itu wanita itu mengukirkan senyuman. Tapi tiada kata-kata melainkan menganggokkan kepalanya sedikit dan berjalan ke meja yang lain pula.

Saya tidak tahu berapa wang yang diberikan oleh isteri. Dan saya juga tidak bertanya.  

Mata saya mengikuti ke mana arah yang mereka tuju. Setiap satu meja, saya perhatikan. Ada yang menghulur dan ada yang tidak. Kadang-kadang mereka agak lama menunggu di meja, mengharapkan mereka dihulurkan wang. Jika dihulurkan wang, sianak perempuan itu mengukir senyuman, anggok kepala dan berlalu pergi. Sama seperti yang dilakukan kepada kami. Tiada kata-kata terkeluar dari mulut.

Jika mereka tidak dihulurkan wang, mereka berlalu saja.

Saya anggarkan lebih kurang 20 minit mereka beredar dari meja ke meja. Kemudian keluar dari restoran dalam keadaan hujan sudah mula reda. Saya tidak tahu ke mana destinasi mereka seterusnya.

Berapakah jumlah wang yang dapat mereka kumpulkan? Saya cuba membuat anggaran kasar. Jumlah meja yang dilawati tidak lebih dari 20. Katakanlah 20 meja. Dan yang memberikan wang 10 orang. Purata wang yang diberikan tidak lebih dari lima ringgit. Maka jumlah kutipan di restoran itu adalah sebanyak lima ringgit saja.

Kalau betullah anggaran saya itu ianya amat membantu sekali. Malah lebih baik dari pekerja rendah kerajaan yang bergaji seribu sebulan.

Mereka tidak perlu ke restoran lain untuk menambahkan lagi kutipan. Atau mungkinkah mereka telah mendapat kutipan dari lain-lain tempat sebelum datang ke restoran tempat kami makan itu?

Namun ada kemungkinan juga wang yang diberi hanya satu ringgit seorang. Jika begitu wang yang mampu dikumpul hanya sepuluh ringgit saja. Rasanya tidak mencukupi bagikeperluan dua orang. Perlu cari ditempat yang lain pula.

Apa pun dan sebanyak manapun wang yang mereka dapat, itu adalah rezeki mereka.  Kita yang mendapat rezeki dengan cara lain dan halal, sudah tentu bersyukur kerana dapat juga memanjangkan rezeki itu kepada mereka yang memerlukan, walaupun tidak sebesar mana yang kita hulurkan.

Saya makan begitu berselera sekali. Nan berkeju itu habis tanpa sisa. Isteri tidak dapat menghabiskan mee goringnya . Lidahnya merasa sakit disebabkan ulser.

Kami menuju ke precint 11 menuju ke rumah anak. Tugasnya untuk menjaga cucu yang kurang sihat.
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan