Theflowersellingboy

Ahad, 12 Oktober 2014

Fateh yang demam berpanjangan -membimbangkan.




Hari ini masuk hari ke empat di rumah anak di Putra Jaya. Asalnya menghantar anak ke KLIA untuk balik belajar di University Mansoura, Mesir, dan selepas itu tidur semalam dua di rumah anak di Putra Jaya. Tapi seorang dari cucu yang berusia 8 bulan , Ahmad Fateh, demam. Rancangan balik  ke rumah dibatalkan.

Suhu badan Fateh berubah-ubah. Waktu pagi panas dan memasuki tengah hari dan petang panasnya berkuragan. Mungkin setelah makan ubat panadol (cecair). Malam panas semula. Berikan ubat, panas menjadi reda. Begitulah perubahan suhu badannya semenjak dia demam, bermula pada Rabu lepas.

Apa yang kami risau ialah demam denggi. Kemungkinan ini tidak wajar kami ringankan kerana di Putra Jaya serangan demam bawaan nyamuk aedes ini masih lagi ditahap yang merisaukan. Lalu darah Fateh diambil untuk ujian makmal. 

"Clear', istihar mama Fateh dengan wajah seperti orang terlepas dari satu tekanan. Kami pun amat gembira dengan berita itu. Bukan demam denggi.

Tapi kenapa demam Fateh berterusan. Sekejap panas, sekejap sejuk. Kami belum berjumpa dengan jawapan.

Sebaik saja sampai di rumah balik dari kerja, kurang lebih pukul 6.30 petang , mama Fateh mengajak kami (saya dan isteri) untuk ke klinik  di precint 9. Tujuannya untuk mengambil darah Fateh untuk dibuat ujian makmal sekali lagi, untuk mendapat kedudukan yang terkini. Disamping ujian darah, mama Fateh juga hendak membuat ujian air kencing. Tapi, ketika itu Fateh tidak kencing. 

Waktu sudah masuk Maghrib. Keputusan belum lagi diketahui. Maka kamipun balik ke rumah. Masing-masing diam saja, mungkin dalam kepala memikirkan sesuatu yang ada kaitan dengan demam si Fateh.

Yang pasti dalam otak kepala saya  membawa  soalan, kenapa demam Fateh masih berterusan? Mungkin......saya takut memikirkannya, seperti yang telah berlaku keatas abangnya Ahmad Naqib semasa berusia hampir dua tahun (Sekarang Naqib sudah 3 tahun lebih).

Beliau diserang 'intussusception (medical disoder). Saya faham dimana sebahagian dari usus memasuki sebahagian usus yang lain. Alhamdulillah, dengan izin Allah doktor berjaya menarik balik usus tersebut untuk berkeadaan normal.

Namun kebimbangan saya keatas Fateh, masih tersimpan dalam kepala.

Keesokannya air kencing Fateh diuji dimakmal. "Clear", kata mama Fateh yang membuatkan kami semua lega, tarik nafas panjang dan kemudian melepaskannya menghilangkan  kebimbangan.

Persoalan timbul, jika ujian darah dan air kencing tidak menunjukkan kesan yang negatif mengapa Fateh berterusan demam?

Masih lagi tersimpan dalam otak kepala saya tentang serangan intussusception. Kebimbangan ini disampaikan kepada mama Naqib.

Intussusception menyerang pada kanak-kanak yang sudah makan makanan yang solid. Muntah-muntah dan tidak berak. Itu yang diberitahu oleh mama Naqib bagi menghilangkan kebimbangan saya dan isteri.

Esoknya, dimeja makan, isteri memberitahu bahawa Fateh diserang sakit cacar air (measles). Bintik-bintik kecil telah timbul dimuka dan badan. Sebab itulah, kata isteri, Fateh terus demam. Panas nak keluar, tambah isteri.

Walaupun isteri bukan seorang doktor, saya menganggukkan kepala tanda bersetuju apa yang dikatakannya. Pengalaman melahir dan menjaga enam orang anak, meyakinkan dia bahawa cucunya yang berpanjangan demam itu adalah disebabkan panas mahu keluar dari dalam badan melalui sakit cacar air.

Isteri mahu mencadangkan agar dirawat secara meminum air kelapa muda. Itulah yang kami telah lakukan kepada anak-anak kami yang diserang cacar air, termasuk mama Naqib semasa berusia setahun. Alhamdulillah, dengan izin Allah sembuh.

Tapi saya memintas cadangan isteri itu kerana yakin mama Fateh tidak akan bersetuju. Ini bukan kali pertama cara rawatan berdasarkan pengalaman dicadangkan. Semuanya tidak mendapat perhatian berbanding dengan rawatan yang berasaskan saintifik.

Maka isteri bersetuju melupakan saja cadangan itu dengan rasa sedikit kecewa gamaknya, melihat dari wajahnya.

Hari ini Fateh kelihatan mula ceria. Sudah mula meniarap untuk mengambil apa saja objek dihadapannya. Dia sudah galak bersuara, senyum dan ketawa. Kami semua gembira, demamnya sudah tiada.
 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan