Theflowersellingboy

Selasa, 21 Oktober 2014

Mengapa Perlu Sentuh Anjing?




Lepas mabuk arak, sekarang ini cerita fasal 'mari sentuh anjing'. Dua-dua cerita ini cukup hebuh, hangat, dan ada yang lenting melenting.

Maka terlupalah akan cerita minyak naik, GST dan kos sara hidup yang tinggi. Tumpuan berpusat kepada cerita mari sentuh anjing. 

Orang-orang Melayu, tua muda dalam berbagai kedudukan, yang berilmu, kurang ilmu dan tiada ilmu,  paling banyak mengambil bahagian dalam hal memperkatakan tentang kempen mari sentuh anjing ini. Maklumlah, khabarnya penganjurnya juga orang Melayu.

Saya tidak pasti apa tujuan sebenar kempen mari sentuh anjing ini.  Tapi saya cuba memikirkannya.

Untuk menyentuh anjing, sudah pasti kita perlu mendekati anjing itu. Dan untuk mendekati anjing itu, seseorang itu mesti mempunyai keyakinan anjing yang mahu didekatiitu tidak akan melakukan serangan. Apabila terbukti sedemikian maka sentuhan berani dilakukan. Bukan itu saja, malah meneruskannya dengan belaian. Maka terjalinlah hubungan kasih sayang diantara orang yang menyentuh dan anjing yang kena sentuh itu ataupun sekurang-kurangnya terhapuslah dalam pemikiran orang yang menyentuh itu bahawa anjing boleh didekati dan disentuh tanpa takut diserang.

Gamaknya itulah tujuan yang hendak dicapai oleh penganjur kempen 'mari sentuh anjing'.

Orang Melayu secara amnya tidak gemar pada anjing atas sebab budaya dan agama. 

Melihat saja anjing, apatah lagi jika anjing itu mahu memasuki kawasan rumah, orang Melayu akan menghalau anjing itu keluar, kadang-kadang dengan cara yang tidak sepatutnya. Nampak saja anjing, orang Melayu secara otomatik akan cuba menjauhi dari anjing itu, apatah lagi jika anjing itu menyalak seoalah-olah mahu menyerang.

Saya sendiri merasakan tidak selesa dan risau apabila mengunjungi rumah kawan-kawan bukan Melayu yang memelihara anjing kerana saya akan disambut dengan salakan anjing itu sambil lidahnya terjelir keluar dengan air liur menjejer. Walaupun anjing itu dapat ditenangkan oleh tuan rumah, saya masih lagi berhati-hati dan menjauhkan diri takut diserang oleh anjing itu. Saya juga tidak gemar melihat air liur anjing yang menjejer itu.

Saya tidak suka pada anjing. Tapi saya juga tidak akan melakukan perbuatan yang boleh diistilahkan sebagai menganiayai anjing seperti memukul atau membunuh anjing walaupun anjing itu memasuki kawasan rumah saya (bukan dalam rumah). Saya hanya menghalaunya. Dan jika saya nampak anjing itu sangat lapar dan perlu makanan, dan jika ada lebihan makanan, tidak menjadi keberatan bagi saya untuk memberi makanan itu kepada anjing tersebut. Tapi diluar kawasan rumah saya.

Bagi saya anjing ada kegunaannya. Menjaga keselamatan, membantu mengawal ternakan, memburu dan kerja-kerja mengesan dadah dan penjenayah. Jadi anjing boleh dimenfaatkan untuk kepentingan kita bersama.

Namun begitu sebagai seorang Islam, ada batasan-batasan tertentu yang telah ditetapkan berkaitan dengan anjing ini. Maka sikap dan tindakan kita mestilah dalam kerangka yang ditentukan oleh agama kita. Dan bagi saya pula, sikap saya ialah tidak suka pada anjing. Tidak bermakna saya benci kepada anjing sehingga hilang kewarasan memukul dan menzalimi anjing.

Oleh itu pada pendapat saya kempen mari sentuh anjing ini tidak perlu diadakan. Sama juga dengan octoberfest, mabuk arak.  Memangnya kedua-duanya tidak salah, tapi tidak kena dan tidak sesuai.

Banyak kempen dan kerja-kerja masyarakat yang lain lebih utama. Mengapa kita lupa mengadakan 'kempen menyayangi orang tua; membantu orang gelandangan; membersih dan menghijaukan persekitaran dan macam-macam lagi. Ramai orang boleh melibatkan diri tanpa menimbulkan kontroversi dan sensiviti budaya dan agama tertentu. Jangan membazirkan masa dan akal bagi perkara yang tidak perlu.

Kepada orang Melayu termasuklah alim ulama', jangan  fokuskan sangat pemikiran kita kepada kempen ini. Buang masa saja, selain dari boleh mengelirukan. Banyak perkara besar yang wajar diberi tumpuan demi kepentingan orang Melayu dan orang Islam.

 




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan