Theflowersellingboy

Selasa, 7 Oktober 2014

Cerita Minyak Lagi




Cerita minyak masih berterusan. 

Di Parlimen hari ini, minyak yang ditanya. Pasal apa harga naik sedangkan harga minyak dunia turun. Ini sudah tentu kerajaan tak ada wang kata salah seorang ahli parlimen pembangkang. Tak ada wang sebab boros belanja, banyak buat hutang. Hutang sudah capai  RM 800 billion.

Seperti biasa kerajaan kata bukan harga minyak naik . Kerajaan kurangkan subsidi minyak.  Kerajaan boleh jimat  sumber negara (wang lah ) RM1.1 juta. Jimatan ini akan digunakan untuk memperkukuhkan ekonomi negara. BR1M pun akan bertambah. Faedah potongan subsidi itu rakyat juga yang dapat, kata menteri. 

Itu cerita pada hari pertama persidangan parlimen. Minyak , satu subjek yang amat diminati baik pembangkang mahupun kerajaan.

Diluar parlimen, sama juga ceritanya. Menteri dan BN bersilat dengan kata-kata bahawa bukan kerajaan naik harga minyak, sebaliknya kerajaan memotong subsidi minyak. Mereka yang menyokong kenyataan kerajaan itu , memberikan pendapat dalam bentuk penulisan dan perbincangan bahawa kenaikan harga minyak ini terlalu kecil tidak membebankan rakyat. Dan mereka kata subsidi tidak baik dari segi jangka panjang, perlu dikurang dan dihapuskan.

Pembangkang tidak bersetuju subsidi dipotong yang menyebabkan harga minyak naik. Ada sambutan dari sebahagian orang ramai melalui berbagai tindakan. Antaranya dalam bentuk penulisan dan perbincangan. Ada juga dalam bentuk protes berdemonstrasi.

Pihak yang menyokong dan menentang beri berbagai komentar dalam media sosial. Mempertahankan pendirian masing-masing. Tapi sebahagian besar komentar sama ada yang menyokong dan yang menentang tidak menggunakan bahasa dan kata-kata yang baik. Tak senonoh komentar mereka. Tidak perlu dilayan.

Saya tertarik dengan satu penulisan dalam FMT yang menyatakan bahawa harga minyak naik itu adalah satu berita yang baik. Baik untuk orang yang bijak. Maknanya yang kata harga minyak naik sebagai berita yang tidak menyenangkan adalah orang yang bodoh. Kena ikut contoh penulis ini.

Jadi terimalah kenaikan harga minyak , kita adalah orang bijak. Kalau tidak terima, kita tergolong orang yang bodoh. Atau dalam bahasa yang agak kasar sedikit: Jangan jadi bodoh.

Penulis itu antara lain mengatakan bahawa inilah masanya rakyat melakukan inisiatif kearah berjimat cermat. Dan beliau mencadangkan antara lain:
i) Melabur dalam mesin rumput. Maksudnya beli mesin rumput untiuk mengambil upah memotong rumput , menambahkan pendapatan.
ii) Buat kerja separuh masa misalnya jadi ejen insuran
iii) Beli kereta berkuasa kecil seperti kancil atau viva. Kereta axia  yang dikatakan harga kurang 200k pun wajar dibeli kerana jimat petrol. 
iv) Jangan lupa beli motorsikal
v) Berhenti merokok, drinking (jangan minum minuman alkohol dan memabukkan? Saya tidak pasti), kurangkan penggunaan internet, tak beli/ kurang beli alat solekan (tak pasti yang mahal atau yang murah), jangan merempit, kurang tengok wayang, chatting dengan gunakan sms jangan cakap guna talipon. Tapi jangan lupa beli loteri.
vi) Tanggalkan penghawa dingin kereta kerana menyemakkan. Gantikan dengan kipas maniature agar nampak lebih cantik. Kalau pakai hawa dingin penggunaan minyak makin bertambah terutamanya jika dalam kesesakan lalulintas.
vii) Ibu susukan anak dari susuan sendiri bukan dari susu tepong misalnya.
viii) Makan sarapan banyak-banyak (heavy breakfast) dan tidak makan tengah hari.
ix) Tamatkan perkhidmatan Astro.

Rakyat akan jadi kurus dan lebih sihat tanpa kencing manis kerana kurang ambil gula, sebab harga gula naik, tambahnya lagi.

Macam mana? Boleh pakai tak cadangan penulis yang bijak ini? Sudah tentu boleh pakai. Sebab dah lama orang-orang susah yang selalu terbeban dengan kenaikan kos sara hidup ini lakukan. Lagi naik harga minyak dan lain-lain barang , lagi banyak kita lakukan penjimatan. 

Kalau nak tahu datanglah ke rumah orang miskin. Nak tengok basikalpun tak ada. Jangan cakap fasal motor sikal. Mereka tak mampu untuk berangan-angan untuk bermimpi beli axia yang tak sampai 200k seperti yang dicadnag oleh penulis yang bijak itu.

Makanlah bersama dengan orang berpendapatan 900 sebulan. Baru tahu bahawa tiada heavy breakfast. Makan tengah hari , minum petang dan makan malam - tengoklah sendiri, kata orang putih seeing is believing. Tak percaya?
.
Solek menyolek. Orang miskin bersolek pakai beras yang direndam. Nak tahu macm mana, duduk dengan mereka.

Loteri? Ini belian mewah. Orang susah tak diajar beli loteri, haram.

Internet? Ini orang mewah punya.

Astro pun orang mewah yang punya. Tapi kalau ada yang mahu berjimat dengan berhenti melanggan astro seperti yang dicadangkan,  yang ini saya amat setuju. Satu cadangan yang bijak.

Tapi adakah yang tersurat itu sama dengan yang tersirat, tanya hati kecil saya tentang penulisan yang dinyatakan itu. Rasanya macam tak sama yang zahir dan yang batin. Wallah hu alam, Allah saja yang maha mengetahui.

Apa pun, itulah cerita tentang minyak. 

Kerajaan tetap mempertahankan subsidi dipotong. Harga minyak naik tapi kerajaan kata tidak naik. Tidak nenghairankan kerana yang hitampun kerajaan boleh kata putih. Bijak, bijak.

Jadi pembangkang jangan banyak cakap. Jangan ada yang tidak bersetuju dengan kenaikan harga, maaf, pemotongan subsidi minyak. Jangan jadi orang bodoh.

Pembangkang hanya ada 52% saja. Kerajaan menjerit kuat-kuat dengan mengatakan itulah yang dikehendaki oleh  48% pengundi Malaysia. Sebab itu harga wajar naik.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan