Theflowersellingboy

Sabtu, 4 Oktober 2014

Jangan Salahkan Kami.




Sekarang sudah ada satu kecenderungan anak-anak Melayu mempelbagaikan pilihan menganggotai parti politik atau menyokong parti politik. Tidak lagi streotype seperti masa-masa yang lepas, yang hanya memilih/menyokong UMNO atau PAS.

Bukan bermakna dulunya tidak ada parti selain dari UMNO dan PAS. Dulu ada juga parti politik seperti parti Rakyat dan DAP, tapi tidak menarik untuk orang Melayu, khususnya DAP.

Tapi sekarang, DAP telah mula memikat (memukau?) anak melayu, walaupun jumlahnya masih kecil lagi. Keadaan ini boleh menjejaskan kekuatan UMNO yang 100% bergantung kepada orang melayu., Dan mungkin PAS juga akan terjejas. PKR juga sebanyak sedikit akan terjejas.

Yang pasti UMNO lah yang paling risau dan takut sekali.

Ketakutan UMNO ini boleh difahami kerana hidup mati UMNO bergantung kepada sokongan orang melayu. Jika melayu mula memilih selain dari UMNO sebagai wadah perjuangan politik sudah tentu politik UMNO akan terkesan dan terjejas.

Kalau dulu, nampak saja muka melayu, secara otomatik pemikir-pemikir? UMNO (sudah tentu UMNO banyak ahli fikir)  mengesahkan dalam otak kepalanya bahawa orang itu adalah orang UMNO atau menyokong UMNO, melainkan orang itu berkopiah putih, berserban, ada janggut, dan perempuan yang berhijab, dan mereka yang selalunya diberi title ustaz/ustazah maka ada sedikit keraguan tentang orang melayu itu, mungkin dia ini orang PAS.

Sekarang pemikir-pemikir UMNO tidak boleh lagi sewenang-wenangnya merasa teruja apabila saja bertemu dengan orang melayu dengan cepat-cepat mencerapkan orang itu sebagai ahli keluarga UMNO.

Pemikir-pemikir UMNO tidak lagi boleh menjaja  dengan slogan Melayu itu UMNO dan UMNO itu melayu. Dulu cukup laku. Tapi sekarang walaupun pemikir-pemikir UMNO terus menjaja, dan ada segelintir melayu yang kurang maklumat, yang masih hidup melarat bergantungan kepada BR1M masih teguh kepercayaan akan solgan itu, sebahagian besar melayu yang lain, sudah mengucapkan selamat tinggal slogan tersebut.

Sekarang Hidup UMNO itu tidak lagi difahamkan sebagai Hidup Melayu walaupun berjeritan UMNO menggunakan kata-kata itu. Tidak laku dan tidak ada daya tarik melainkan dapat cemuhan dan ejekan dengan pertanyaan: Melayu mana yang hidup?.

Begitu juga PAS, orang melayu berkopiah putih dan perempuan yang berhijab belum tentu mahu masuk jemaah PAS.

UMNO sangat risau, dan marah. Kita faham dan amat faham.

PAS nampaknya masih belum menunjukkan kerisauannya atau rasa marah, sekurang-kurangnya tidak seperti yang ditunjukkan UMNO. Mengapa agaknya, sedangkan rata-rata yang jadi ahli/penyokong  PAS adalah orang melayu. Adalah seorang dua kaum lain yang beragama Islam. Mungkin, PAS bergerak atas dasar  Islam dan bukan kebangsaan Melayu.

Tapi PAS mesti bertindak secara melihat realiti bahawa di Malaysia ini yang beragama Islam adalah orang melayu. Jika orang melayu sudah memandang parti selain dari PAS sebagai wadah perjuangan, PAS perlu celik mata segera.

Apakah sebabnya anak-anak melayu mula tertarik dengan DAP? 

Sedangkan UMNO kata  parti DAP itu anti melayu?

PAS kata DAP tidak memperjuangkan Islam sedangkan yang mahu menjadi ahli/penyokong DAP itu adalah orang melayu beragama Islam, yang mengistiharkan bahawa mereka masih Islam walaupun masuk DAP. Perempuan yang berhijab pula.

Sungguh pelik pemikiran anak melayu tersebut, menurut pemikir UMNO. Lantas UMNO kata anak melayu itu sebagai tidak mengenang jasa, pengkhianat bangsa. Dan seperti biasa akan memanjangkan sebagai pengkhianat agama Islam. Ada juga pemikir yang tidak pandai jaga mulut mengatakan anak melayu itu sebagai pelacur (mungkin maksudnya pelacur politik kerana masuk DAP). Macam-macam panggilan dan kata-kata yang kurang wajar dipekenakan kepada melayu yang masuk DAP.

Tidak pasti sama ada ada soalan dari UMNO bertanya mengapa melayu berminat pada DAP? Rasa-rasanya ada. Tapi soalan UMNO itu besar kemungkinan berpaksikan kepada kepercayaan UMNO seperti berikut:

i) UMNO dan melayu itu sama
ii) UMNO = Melayu = Islam
iii) Hidup UMNO = Hidup Melayu
iv) UMNO berhak dibalas jasa dan budi oleh orang melayu.
v) UMNO lah yang mempertahankan institusi raja-raja melayu.

Berdasarkan kepercayaan 5 Rukun diataslah yang membentuk pemikiran orang UMNO. Segala bentuk kerja , tingkah laku, perbuatan , tabiat, perangai dan cara berfikir adalah dalam kongkongan rangka 5 Rukun itu.

Sebab itu mana-mana parti selain dari UMNO yang bercakap fasal melayu, Islam dan institusi raja melayu, UMNO rasa irihati, tercabar , marah, melenting yang kadang-kadang bertindak diluar kawalan fikiran yang waras disertakan dengan kata-kata yang tidak wajar seperti pelacur dan pengkhianat.

Apatah lagi kalau yang bercakap itu berjaya memberi pencerahan dalam kotak pemikiran orang melayu bahawa orang melayu dari segi politik mempunyai pilihan selain dari UMNO, bagi kepentingan dan membela nasib orang melayu tanpa perlu meninggalkan agama Islam, dan dalam masa yang sama mengekal dan mempertahankan institusi raja-raja melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dan orang melayu juga diyakinkan bahawa tidak perlu berasa terhutang budi kepada mana-mana parti yang menjadi kerajaan kerana apa parti pun yang menjadi kerajaan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan itu bagi membela semua rakyat, melayu dan bukan melayu.

Pencerahan seperti diataslah yang membuatkan anak-anak melayu sekarang ini menunjukkan kecenderungan untuk memilih parti selain dari UMNO, kalau tidak sebagai ahli, mereka sebagai penyokong. Paling kurang mereka sentiasa bersimpati dengan perjuangan parti selain dari UMNO seperti DAP dan PKR.

PAS bagaimana?  

Cara berfikir PAS juga tidak ada bezanya dengan UMNO. Monopoli.

UMNO memonopoli Melayu, dan menumpang Islam semata-mata untung bersaing dengan PAS yang memonopoli Islam seperti PAS menumpang istana untuk bersaing dengan UMNO yang katanya mempertahankan institusi tersebut.

PAS tidak boleh dipisahkan dengan ulama, menurut sebahagian dari ahli-ahlinya. Ada yang tidak boleh bersetuju presiden PAS itu datang dari selain dari golongan yang dipanggil ulama (latarbelakang pengajian Islam atau dari institusi Islam) walaupun perlembagaan parti tidak mengatakan begitu, walaupun selain dari ulama itu ada kemampuan dan pengetahuan yang baik tentang Islam.

Jadi PAS mesti bergerak dan sebahagian besar bergerak berpandukan tafsiran dari pihak yang dianggap sebagai ulama, disemua peringkat. PAS mesti wala'. Dan tafsiran dan penentuan wala ini adalah monopoli 'ulama'.

UMNO dan PAS tidak banyak beza. Kedua-duanya bergantung pada undi melayu.

Untuk menarik orang melayu menyokong UMNO, UMNO gunakan taktik pernaungan dan perlindungan untuk melayu hidup senang dan selamat. Bahawa orang melayu mesti dilindungi akan hak-haknya termasuk agamanya dengan apa cara sekalipun. Maka sentiasalah orang melayu disuap dengan kedudukan yang terancam , tidak selamat dan merempat dinegra sendiri.

Dulu ramai yang percaya dan menerimanya tanpa soal. Sekarang ada juga orang melayu yang menerimanya, tapi melihat kiri kanan, depan belakang mereka sudah mula mahu buat soalan. Dalam masa yang sama ketika ini  telah lahir anak melayuyang  tidak percaya lagi rukun UMNO itu, lantas memilih parti selain dari UMNO seperti DAP dan PKR. 

PAS pula walaupun telah menunjukkan perubahan dari segi mendapatkan sokongan atas dasar PAS untuk semua, tetapi perkembangan baru-baru ini nampaknya mahu mengembalikan PAS itu kepada kaedah monopoli. PAS atau produk PAS mahu dikecilkan pasarannya. Malah pengguna yang sedia adapun mahu disisihkannya hanya kerana pengguna itu memberi beberapa cadangan atau bertindak bertujuan untuk memperkemas dan memperbaikki lagi mutu produk PAS itu.

PAS (ulama) tidak boleh terima cadangan atau cara bertindak pengguna itu, lalu dibarua, diberi gelaran broker dan dikatakan pengkhianat . Begitu cara PAS bertindak. Atas dasar istiqomah?


Kedua-dua parti ulung UMNO dan PAS, terutama UMNO berhujahlah kamu dengan baik, baik bahasa dan perkataannya, tidak perlu menyertakan sama buruk sangka, bentangkan fakta dan maklumat yang jelas dan telah diuji kebenarannya agar hujah lawan kamu dapat dengan mudah diketepikan oleh anak-anak muda melayu yang bukan lagi berada dalam rangka kepercayaan rukun UMNO kamu itu.

Selagi kamu UMNO dan PAS percaya dengan dasar monopoli, bilangan anak melayu terutama yang terpelajar, lelaki perempuan akan mengucapkan bye bye, jumpa kamu dipentas politik atas wadah perjuangan yang berbeza. 
   
Jangan salahkan kami, mungkin itu kata-kata anak-anak muda melayu yang memasuki DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan