Theflowersellingboy

Jumaat, 3 Oktober 2014

Disekitar potongan subsidi dan kenaikan harga minyak




1. Bising sungguh rakyat Malaysia sekarang ini akibat kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen seliter. Saya diantara orang yang buat bising dan tidak bersetuju harga minyak itu naik.

2. Kerajaan pula berterusan bersilat dengan kata-kata bahawa bukan harga minyak yang naik tapi kerajaan hanya mengurangkan subsidi minyak sebanyak 20 sen saja. Itupun, kata kerajaan, bagi tujuan mengelakkan ketirisan dan penyelewengan (salahguna subsidi). Ertinya kerajaan bukan suka-suka potong subsidi yang menyebabkan harga minyak naik. Kerajaan mahu membanteras salah guna subsidi, satu niat yang murni. Konon, ehh ada orang kata kunun.

3. Kali ini kerajaan tidak pula gunakan alasan harga minyak pasaran dunia, sebab harga minyak pasaran dunia diberitakan telah turun.

4. Ada menteri yang meminta rakyat bersyukur dengan tindakan kerajaan ini, seolah-olah mengatakan bahawa kenaikan harga minyak ini (yang merupakan musibah kepada rakyat yang boleh memporakperandakan kehidupan keluarga) adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu, menguntungkan dan dihajati oleh rakyat.  Seolah-olah itulah yang didoakan oleh rakyat siang malam. Apakah agaknya perkataan yang digunakan oleh menteri itu jika beliau ditimpa musibah (misalnya elaunnya dipotong atau dihapuskan). Adakah dia (menteri ini) dengan cepat mengucapkan syukur kerana elaun kena potong ? Kalau begitu baguslah.!

5. Dari segi jangka panjang, apa saja bentuk subsidi atau barang/perkhidmatan yang diberi subsidi tidak memberi kesan yang baik, kepada negara dan kepada penerima subsidi. Ianya bersifat pergantungan dan perlindungan yang menjadi penghalang kepada potensi daya saing, kreatif dan inovatif. Ianya satu cara agihan peruntukan atau sumber yang tidak cekap dan produktif.

6. Subsidi mestilah bersifat jangka pendek. Membantu bagi menaikkan potensi dan kemampuan untuk berdaya saing atau mendapatkan satu kedudukan kehidupan yang mampu mengecilkan jurang perbezaan.

7. Pemberian subsidi adalah satu daripada pilihan dalam pengurusan sumber ekonomi negara  yang matlamat akhirnya adalah bagi meningkatkan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Sebab itu kita ada berbagai skim bantuan, quota, diskaun, insentif , taraf terokaan, (pioneer status), pengecualian cukai keuntungan bagi fasa awal/beberapa tahun tertentu bagi syarikat dalam bidang-bidang strategik negara dan sebagainya. Tujuannya bagi membolehkan penerima subsidi itu membina kekuatan menjadi kukuh berdikari, dan ketahanan untuk bersaing. Subsidi tidak akan diberi selama-lamanya.

 8. Oleh kerana subsidi itu adalah satu daripada pilihan dalam pengurusan agihan sumber ekonomi negara maka kerajaan sewajarnya bijak melakukan pilihan yang fokus utamanya ialah demi kesejahteraan rakyat.  Dalam kehidupan rakyat yang terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup, pemotongan subsidi minyak yang mengakibatkan kenaikan harga 20 sen, ianya sudah tentu amat menyeksakan sebahagian besar rakyat.

9. Semua maklum, kerajaan perlukan sumber untuk memperkembangkan ekonomi negara dan seterusnya memberi menfaat kepada rakyat.  Dan subsidi bukanlah pilihan jangka panjang yang baik dari sudut agihan sumber yang effisyen.  Kurang atau tiada sumber digunakan untuk subsidi,  memberi kemampuan kerajaan mengagihkan sumber ke sektor, bidang dan hal-hal yang lebih produktif dan amat diperlukan  seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan.

10. Tapi bukan subsidi saja yang perlu dilihat, dikaji, dikurang dan seterunya mahu diberhentikan. Ada banyak pilihan lagi yang boleh dan wajar diambil bagi menentukan sumber negara itu digunakan secara effisyen.

11. Apa kata tentang jimat berbelanja, dan elak pembaziran. Apa kata tingkatkan ketelusan dalam urus tadbir sumber dalam bentuk sistem, peraturan, prosedur dan proses dalam perolehan dan penawaran/pemberian kontrak dan projek. Apa kata dilihat/dikaji kos-kos yang terlibat dalam perolehan, perkhidmatan dan projek- adakah munasabah atau bergandaan jauh tinggi dari kos pasaran; bagaimana pula tentang mutu barang/peralatan dan kerja projek yang disiapkan -adakah memerlukan kos penyenggaran yang terlalu tinggi, atau selalu runtuh, atau jangka hayatnya kurang dari yang ditetapkan. Dan banyak lagi persoalan yang perlu ditanya. Akhir sekali, tapi bukan setakat yang ini saja, berlakukah rasuah, salah guna kuasa,  penyelewengan dan ketidakcekapan dalam pengurusan/perlaksanaan sehingga mengakibatkan sumber yang amat diperlukan untuk kesejahteraan rakyat itu menjadi tersasar?

12.  Perkara 11 diatas perlu diberi keutamaan dan dijadikan pilihan mendahului tindakan mengurang atau memotong subsidi, jika sebenarnya kerajaan mahu menggunakan sumber secara effisen, selaras dengan alasan kerajaan bagi mengurangkan subsidi yang bertujuan untuk mengelakkan ketirisan dan penyelewengan. Dahulukan rakyat, kata PM.

13. Ini tidak bermakna subsidi minyak itu wajar berterusan. Tapi dahulukan perkara 11 sebelum subsidi dikurangkan terutama ketika rakyat dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14.  Jangan pula kerajaan sentiasa dilamun dengan mood penafian tentang kos sara hidup yang tinggi ketika ini berbanding dengan upah sebahagian besar rakyat. Jangan pula kerajaan termakan akan kata-kata Dr. Mahathir bahawa sekarang ini pekerja sudah menikmati gaji minima RM 900.00 sebulan dan kenaikan hanya 20 sen harga minyak itu tidak membebankan.

15.Dan mahu juga disampaikan pesan bahawa kenaikan harga minyak ini akan melibatkan harga barang dan perkhidmatan yang lain. Kalau tidak percaya, cubalah seorang menteri atau sesiapa saja yang tidak percaya dengan kenyataan ini, ambil saja gaji 900 ringgit sebulan. Makan di gerai saja. Karipap sekarang ni harganya 80 sen ke seringgit, sekeping. Dengan harga minyak yang naik tuan gerai akan kenakan paling kurang 1.20 sekeping sebab harga naik 20 sen. Itu logik dan kira-kira mudah penggerai. Buat apa pening kepala nak buat average cost. Rasa tak kenaikan, kenaikan  keliling. Berapa wang yang berbaki dari 900 ringgit itu. Masih banyak kan?

16. Baki masih banyak kata menteri. Ok, buatlah bajet bulanan menurut keperluan orang susah. Antaranya: Bayar sewa rumah, bayar pinjaman motorsikal/kereta, bayar letrik dan air, bayar tol/minyak kereta ke tempat kerja, bayar tambang bas sekolah anak, dan bayar penjaga anak. Cukup tak? Ada baki? Anak ke sekolah tak makan ke? Keluarga tak beli makanan ke? Baju dan seluar/kain tidak busuk dan lusuh ke?

17. Akhir sekali perlu dibangkitkan juga bahawa yang banyak bergantungan dengan subsidi ini adalah menteri dan mereka yang berpendapatan tinggi. Mereka dapat secara berterusan selama jadi menteri. Contoh: Minyak kereta percuma, air api percuma, penyelenggaraan kereta percuma, amakan dan minum banyak kali percuma, buat lawatan dan perasmian diberikan hadiah atau cenderamata. Banyak lagi yang percuma. Percuma tidak bermaksud tidak ada kos yang terlibat. Cuma kos itu tidak ditanggung oleh menteri, sumber negara yang tanggung. Subsidi macam ini perlu dikaji dan dikurangkan terlebih dahulu berbanding dengan subsidi minyak. Jadi fahamlah sudah akan kepercayaan mereka bahawa harga minyak naik 20 sen tidak membebankan, dan perlu bersyukur.

18. Tahun depan GST! Ya Allah Kau permudahkan kehidupan rakyat Malaysia terutama orang-orang miskin. Hindarkan kami dari bahan GST.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan