Theflowersellingboy

Selasa, 14 Oktober 2014

Pesta Arak Oktober



Pesta Arak Oktober. Terjemahan yang mungkin tidak tepat bagi octoberfest yang mendapat reaksi dari berbagai pihak. Ada yang menyokong dan ada juga yang menentang.

Berpesta minum arak? Saya tidak pasti tahap pestanya itu- kecil, sederhana ataupun besar. Atau liputannya - bersifat tempatan, daerah , negeri atau negara mahupun antarabangsa. Yang saya pasti ialah perjumpaan yang semacam satu perayaan untuk minum arak. Berseronokan minum arak.

Mereka yang mahu berseronokan minum arak, melihat dan berpendirian bahawa tiada salahnya pesta seperti ini. Antara hujah yang diberikan, i) Satu hak individu yang tidak menyalahi mana-mana undang-undang negara. ii) Mereka mahu berseronok, dan berhibur dengan meminum arak, dan bukan melakukan jenayah, iii) Budaya dan agama mereka tidak melarang minum arak, iv) Tidak mengajak dan menyeru orang Islam minum arak.

Mereka yang menentang octoberfest ini pula sebahagian besarnya terdiri dari orang-orang Islam. Tapi ada juga sebahagian orang Islam mempunyai pendirian yang berbeza iaitu octoberfest tiada masalah. Tapi mereka tetap mengatakan bahawa arak itu adalah minuman terlarang bagi umat Islam maka orang Islam tidak wajar bersama dalam octoberfest.

Bagi orang Islam, arak adalah jelas haram dan dilarang untuk diminum. Ertinya sama ada minum bersendirian, secara curi-curian atau secara terbuka , arak adalah haram. Sama ada secara berpesta besar-besaran, sederhana atau perjumpaan kecil-kecilan bagi meraya, merai dan meminum arak, ianya tetap dilarang, hukumnya berdosa.

Itu hukum Islam.

Hukum Islam itu hanya terhadap orang Islam saja. Orang bukan Islam tidak tertakluk kepada hukum Islam. Ertinya mereka yang bukan Islam yang hendak ber octoberfest, adalah hak mereka, selagi mereka tidak mengajak dan menyeru orang Islam melakukannya.

Bukan saja  minum arak, makan babi pun yang hukumnya haram dalam Islam, tidak boleh disekat orang bukan Islam memakannya. Begitu juga perkara-perkara yang lain misalnya berjudi. Yang penting orang Islam tidak melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama Islam. Kuatkan kepatuhan kita kepada ajaran Islam.

Maka yang bukan Islam hendak ber octoberfest itu, kita tidak perlu larang. 

Kalau kita berpendirian bahawa orang yang bukan Islam meminum arak secara berpesta itu wajar dan mesti disekat dan dilarang, dan ianya satu pendirian yang betul dari segi hukum Islam, kerana minum arak itu haram dalam Islam, maka kita juga perlu, wajar dan mesti sekat perayaan yang menghidangkan daging babi, disertakan dengan berjudi dan dihiburkan dengan penari-penari yang mengiorkan.

Saya amat bersetuju dengan pendirian itu jika orang Islam terlibat sama. Saya setuju jika negara kita hanya terdiri dari orang-orang Islam saja. Sebaliknya jika yang melakukannya adalah orang bukan Islam dikalangan rakyat Malaysia, ianya telah melampaui batas yang ditentukan oleh Islam -saya tidak bersetuju.
 
Kecuali, mereka mengajak dan menyeru kita orang Islam turut sama.

Namun begitu hujah kaki minum arak ini bahawa budaya dan agama mereka tidak melarang mengambil arak/alkohol , tidak meyakinkan saya. 

Saya kuat untuk mempercayai bahawa tidak ada alasan yang kukuh dari segi budaya dan agama bagi menyokong octoberfest ini. Ia hanya nafsu suka minum arak individu itu sendiri yang kepatuhan kepada pegangan agama dan santun budaya mereka boleh dipersoalkan.

Mereka yang beria-ia sangat mahukan pesta minum arak ini adalah terdiri dari orang bukan Melayu (Islam) -orang Cina , India dan yang lain-lainnya , yang beragama Kristian, Buddha , Hindu, Sikh dan lain-lain. Saya percaya agama dan budaya mereka, melihat arak adalah sesuatu yang tidak baik, kalaupun tidak ditegah sama sekali untuk meminumnya.  

Jadi mengapa mereka mahu sangat berpesta arak, sedangkan sebahagian besar jiran mereka adalah orang Islam. 

Mereka degil? Sombong? Besar kepala?

Apa pun sifat mereka, kita tidak ada hak melarang mereka untuk minum arak atau ber octoberfest.

Ada juga mereka yang berhujah, pesta minum arak ini adalah satu dari produk pelancungan. Melaka adalah negeri pelancungan. Dan di Melaka, di Jonker Street,  satu destinasi pelancung, octoberfest ini akan mengambil tempat.

Hujah diatas, sebagai produk pelancungan adalah hujah yang datangnya dari orang yang bengkerap idea dalam cara terbaik untuk menarik pelancung. Pelancung tidak perlu datang ke Malaysia (Melaka)  untuk minum arak.

Kalau ditanya orang yang bukan Islam tentang minum arak ini sama ada merosakkan atau memberi kebaikan. Sebahagian besar akan mengatakan ianya merosakkan. 

Pakar-pakar (orang bukan Islam) dalam bidang kesihatan juga mengesahkan arak tidak baik dari segi kesihatan -boleh merosakkan paru-paru misalnya.

Terbukti, dari segi agama, budaya dan bukti saintifik, arak adalah merosakkan. Apabila arak diambil  dalam satu pesta, sudah tentu isi padu ambilannya itu banyak sekali, tidak terkawal. Boleh memudarat diri sendiri dan orang lain.

Kalau begitu kenapa mahu ber octoberfest?

Kita perlu bersedia sebelum bertanya soalan seperti itu. Kerana soalan seperti itu boleh makan diri.

Mereka boleh bertanya balik kepada kita. Mereka bertanya: Islam mengatakan berjudi itu merosakkan dan haram, tapi mengapa diluluskan tempat perjudian, dan orang Islam terlibat dalam perniagaan berjudi selain main judi? Orang Islam juga ada yang mabuk arak, tambah mereka.

Tidak bijak jika kita menjawab: Itu dilakukan oleh orang yang tidak patuh kepada perintah Allah walaupun mereka itu Islam.

Sebab itulah saya katakan yang penting kita orang Islam perteguhkan kepatuhan kita kepada perintah Allah berbanding dengan kita melarang mereka berpesta arak.

Sebesar mana pun pesta arak itu, sebanyak manapun arak yang mereka minum, sesungguh mana pun ajakan mereka minum arak, jika kita patuh kepada ajaran agama kita, octoberfest ini tidak akan sekali-kali memberi kesan kepada kita umat Islam

Tapi jika akibat dari mabuk kerana minum arak  memberi mudaratkan kepada kita, tindakan yang sewajarnya/undang-undang mesti diambil.  Kita ambil tindakan bukan kerana dosa minum arak. Sebab bagi mereka yang bukan Islam, tidak ada dosa minum arak, itu kata mereka.

Dan sebaik-baiknya mereka jangan minum arak. Orang Islam, patuhilah apa yang diperintah oleh Allah.




 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan