Theflowersellingboy

Isnin, 20 Oktober 2014

GST dan Kira-kira Kerajaan BN




Cukai baru GST, menurut kerajaan BN adalah cukai yang terbaik berbanding dengan cukai CGT yang dicadangkan oleh PR. Kata kerajaan GST adalah adil kerana semua orang kena bayar cukai. Kata kerajaan BN lagi CGT tidak adil kerana hanya yang kaya yang mempunyai aset kewangan yang kena bayar cukai hasil dari keuntungan berniaga aset kewangan itu. Ini menyebabkan orang yang kaya yang punya modal akan membawa modal keluar dari Malaysia. Kesannya ialah kepada pertumbuhan ekonomi, hujah kerajaan BN lagi.

Kerajaaan BN juga berhujah, GST tidak membebankan rakyat kerana kerajaan BN akan menghapuskan cukai jualan SST yang dikenakan pada kadar 10%  apabila GST yang dikenakan hanya sebanyak 6% dilaksanakan.

Seterusnya kerajaan BN mengatakan terdapat banyak barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai bagi tidak membebankan rakyat.

Sebaliknya PR mengatakan cukai GST itu tidak adil kerana semua orang kena bayar cukai tanpa kecuali . Simiskin, orang berpendapatan rendah atau pun sederhana kena bayar cukai. Ini amat membebankan dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, ditambah buruk dengan kenaikan harga minyak. GST juga menyebabkan harga lain-lain barang dan perkhidmatan meningkat kerana kesan kenaikan cukainya berangkai, kata PR. 

Dengan GST juga kerajaan mengurangkan cukai pendapatan diri (personal income tax). Tapi PR mengatakan cara ini lebih menguntungkan mereka yang berpendapatan tinggi berbanding yang berpendapatan sederhana yang termasuk dalam breket kena bayar  cukai pendapatan. 

PR juga berhujah CGT adalah adil kerana ia dikenakan kepada mereka yang mampu yang memiliki aset kewangan yang besar/banyak. Mereka dikenakan cukai hasil dari keuntungan traksaksi aset kewangan itu. Jika tiada transaksi dan tiada untung dalam transaksi tiada cukai. Hujah PR lagi, tiada sebab pemilik aset kewangan ini mahu membawa modal keluar dari malaysia kerana mereka hanya dicukai atas keuntungan yang dibuat.

Masing-masing pihak iaitu kerajaan BN dan PR ada hujah bagi menyokong dan menolak sesuatu cukai yang dicadang untuk dikenakan sebagai cara untuk mendapat wang/hasil. Dan hujah-hujah ini tidak semua orang dapat memahaminya atau melihat kebaikan/kekuatan atau kekurangannya diukur dari segi kepentingan negara dan rakyat.

Maka dengan sebab itu ada yang menerima saja bulat-bulat apa yang dicadangkan oleh kerajaan BN tanpa memikirkan kesan keatas kehidupan harian mereka dan masa depan negara, dan ada pula yang tidak bersetuju tanpa mengetahui apakah asasnya yang membuatkan mereka menolak cadangan itu.
Ertinya apa yang kerajaan BN cadangkan akan tetap diteruskan kerana tidak mendapat penentangan yang menyeluruh dari rakyat. Banyak yang tidak faham.Begitu juga jika PR yang berkuasa, cukai CGT dijangka akan dapat dilaksanakan atas alasan yang sama, banyak yang tidak faham.

Kerajaan BN memerlukan hasil/pendapatan yang bertambah bagi mengembang dan memperkukuhkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. Oleh itu GST perlu dikenakan, hujah kerajaan BN.

Menurut kiraan kerajaan BN hasil kutipan GST dianggarkan sebanyak 23.2 billion . Tapi hasil bersih GST hanya sebanyak 690 juta sahaja yang boleh dimenfaatkan bagi perbelanjaan selain dari BR1M.

Menurut kiraan kerajaan BN, sebanyak 13.8 billion yang dikutip melalui cukai jualan SST akan tiada lagi kerana SST akan dihapuskan, maka perlu dikurangkan  (23.2-13.8 = 9.4 billion). Kemudian sebanyak 3.8 billion jumlah cukai bagi barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai perlu juga  dikurangkan (9.4 - 3.8 =5.6 billion). Lebihan sebanyak 5.6 billion itu akan digunakan bagi bayaran BR1M sebanyak hampir 5 billion (5.6 - 5.0 = 0.6 billion).

Maknanya GST itu hanya boleh dimenfaatkan selain dari BRIM sebanyak 690 juta saja. Terlalu kecil. Rasanya tidak berbaloi dilaksanakan.

Jadi bagaimana BN boleh berhujah mengatakan bahawa GST akan dapat memberi kerajaan kekuatan bagi memperkembang dan memperkukuhkan ekonomi. Yang nampak jelas adalah sebahagian besar GST digunakan bagi pemberian oneoff BR1M saja . Dimana peranan GST bagi menjana pendapatan ekonomi negara pada masa jangka panjang?

Bila GST dilaksanakan, SST terhapus. Oleh itu perkiraan cukai jualan tidak relevan. Maknanya tiada hasil dari SST yang dianggarkan sebanyak 13.8 billion itu.Dan dengan jumlah hasil kutipan GST yang dianggarkan sebanyak 23.2 billion itu tidak perlu dikurangkan sebanyak 13.8 billion.

Cukai jualan terhapus. Tapi barangan dan perkhidmatan yang dulunya dikenakan cukai jualan akan dikenakan cukai GST.  Jadi dalam perkiraan hasil cukai GST ini, cukai jualan tidak wajar diambil kira.Ianya tidak relevan.

Ianya relevan  jika kerajaan mahu membuat perbandingan diantara dua cukai ini, yang mana satu lebih banyak memberi hasil kepada kerajaan. Sudah tentu GST akan memberi wang yang lebih. Kalau tidak, kerajaan BN tidak akan bermati-matian untuk melaksanakan cukai GST.

Keliru atau tidak, kira-kira yang dibuat oleh kerajaan BN itu?

Oleh itu rakyat mesti faham apa yang dibentang dan dicadangkan oleh kerajaan sama ada BN atau PR. Termasuk meneliti dan memahami hujah dan  kira-kira yang dibuat oleh kerajaan. Jangan sokong buta saja dan jangan pula tolak mentah-mentah.



 .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan