Theflowersellingboy

Isnin, 6 Oktober 2014

Saya dan blogging




Sempena menyambut bulan saya mula berblogging, saya ingin memaparkan tentang blogging dan saya. Walaupun saya mula berblogging pada bulan November, saya merasakan wajar untuk mendahului paparan saya ini (bulan Oktober) untuk diketahui oleh sesiapa saja yang membaca paparan dalam blog saya: theflowersellingboy.blogspot.com.

Bermula pada hujung 2011, saya berblogging. Sekarang masih terus berblogging. Bezanya tidak serancak seperti dulu. Bukan tidak ada kemahuan , bukan tidak ada cerita, berita atau pun isu dan perkara yang boleh dipaparkan. Terlalu banyak.

Ada kemahuan tanpa daya dan usaha, tidak akan menghasilkan apa yang saya mahu. Kalau ada pun usaha dan daya tapi jika tidak ada kesungguhan, biasanya kurang berjaya untuk mendapatkan apa yang saya hajati, biasanya berakhir dengan terbengkalai, patah ditengah jalan.

Begitu juga dengan memiliki dan menguasai berbagai cerita. Memiliki cerita melalui pengalaman sebenar dan  menguasai berbagai cerita melalui pembacaan dan penceritaan dari orang lain tidak akan dapat disebar dan dikongsi sama jika saya tidak berblogging. Itupun jika ada yang berminat dengan pengalaman dan cerita saya itu atau secara kebetulan ada yang singgah membaca blog saya itu.

Setiap hari terlalu banyak perkara dan isu yang boleh diketengahkan sebagai bahan paparan. Saya mempunyai banyak pilihan bukan saja dari segi perkara dan isu bahkan cara bagaimana yang mahu saya paparkan. 

Boleh saja saya lakukan secara salin dan tampal. Boleh saja salin dan tampal dengan memberi sedikit komentar/ulasan. 

Saya juga boleh memberi reaksi atau respons mengikut sudut pandang saya sendiri. Dan saya boleh menggunakan pengetahuan yang telah didapati dan diperolehi melalui tingkat-tingkat pembelajaran yang telah dilalui. Apatah lagi menggunakan pengalaman, memaparkan realiti yang sebenarnya. 

Dan paling kurang saya boleh berimijinasi, berkhayal dan mengelamun dalam fantasi , menjana berbagai rekaan dan menjelmakan khayalan sebagai satu realiti.

Pada awal berblogging saya telah menggunakan semaksima dan seoptima yang mungkin cara-cara yang dinyatakan diatas dalam kaedah paparan di blog saya, melainkan kaedah salin dan tampal, dan komen keatas perkara yang disalin dan ditampal.

Saya menjauhkan diri dari kaedah salin dan tampal sehinggalah sekarang ini. Saya harap begitulah seterusnya.

Tapi kaedah-kaedah pilihan saya itu, nampaknya semakin hari berlalu tidak lagi mampu menyemarakkan  kesungguhan untuk saya menzahirkan sebuah paparan di blog yang kecil ini. Kemahuan untuk menzahirkan paparan tetap ada, setiap hari sntiasa mendesak, tapi saya tiada kesungguhan.

Mengapa saya tiada kesungguhan?

Saya belum dapat mencari jawapan yang tepat, walaupun saya telah mengenalpasti beberapa sebab yang memperlembabkan kesungguhan saya itu. Oleh itu kepada sesiapa yang sudi singgah, atau secara kebetulan tersinggah dan menatap paparan di blog ini, mungkin akan mendapati bahawa kemunculan paparan saya dalam blog ini seperti iklan di tv tentang satu jenama biskut satu ketika dulu: Sekejap ada sekejap tiada.
 
Ertinya anda terus juga meninjau-ninjau blog saya kerana ada ketikanya paparan itu boleh diketemui walaupun ada masanya senyap sunyi tidak memunculkan diri.

Selamat membaca.


 
  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan