Theflowersellingboy

Selasa, 1 Oktober 2013

CGPA 3.85...ada MBA.....So what?





Saya hanya membaca dari satu sumber berita mengatakan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan sangat marah kerana rakyat tidak berterima kasih kepada Kerajaan BN diatas pemberian subsidi seperti subsidi minyak. Dia bertambah naik angin apabila mendapat kritikan dari berbagai pihak yang tidak bersetuju dengannya terutama kritikan yang memperkecilkan dirinya dengan panggilan 'bodoh' atau yang membawa pengertian seperti itu.

Saya sendiri tidak mendengar akan kata-kata timbalan menteri itu. Oleh itu saya harap berita yang saya baca adalah betul. Kalau silap saya mohon maaf.

Rengkasnya, rakyat tidak berterima kasih atas subsidi kerajaan , Ahmad Maslan marah. Rakyat kritik beliau atas sikap dan sifat pemarahnya itu  , dia pun lagi marah, penuh angin satu badan.

Bila angin sudah penuh satu badan, dia menjadi terlalu pening dan sesak nafas lalu tidak dapat berfikir secara tenang untuk berhujah dengan baik sesuai kedudukan dia sebagai timbalan menteri. Beliau telah hilang punca iaitu punca sebenar yang menyebabkan berlakunya hujah menghujah dan kritik mengkritik diantara beliau dan rakyat.

Puncanya ialah kata-kata beliau tentang rakyat tidak tahu berterima kasih atas subsidi yang diberikan kerajaan, lalu rakyat yang mendengar sudah tentu akan memberi respons. Ada respons yang sejalan dengan pemikiran beliau. Maka tersenyum lebarlah bibirnya terlaku suka, tanda setuju. Ada juga respons yang tidak sejalan dengan pemikirannya. Maka dia pun marah, tanda tidak bersetuju.  

Beliau mesti dapat menjangkakan seperti itu. Jangan harapkan semua orang bersetuju dengannya. 

Bukankah dari kenyataannya itu sendiri telah memberi gambaran bahawa ada orang yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak? Maka beliau boleh menjangkakan dan kena bersedia untuk menerima reaksi dari orang atau pihak yang tidak bersetuju dengan kenyataannya itu. 

Mungkin beliau tidak ada masalah menerima kritikan dan pandangan yang berbeza jika disampaikan dengan cara yang berkhemah, yang membina dan tidak emosional, mengikut tafsiran beliau. 

Tetapi beliau juga mesti menerima hakikat bahawa tafsiran emosional, berkhemah dan membina itu adalah subjektif sifatnya. Lagipun macam mana hendak dileraikan tekanan hidup, kesan dari kenaikan harga minyak disebabkan  pengurangan subsidi minyak dengan emosi keluh kesah seseorang terutama yang berpendapatan kecil.

Rakyat jadi emosional, sama seperti Ahmad Maslan yang emosional memarahi rakyat yang tidak berterima kasih itu. Bukankah marah itu satu emosi?

Hujah Ahmad Maslan mengatakan kerajaan tidak menaikkan harga minyak. Harga minyak itu adalah ketetapan pasaran dunia. Kerajaan hanya mengurangkan subsidi.

Inilah sebenarnya yang membuatkan emosi marah rakyat membuak-buak. Rakyat mahu di perbodohkan.

Takkan Ahmad Maslan yang CGPA 3.85 yang ada MBA tidak dapat kaitkan antara harga dan subsidi. Bila tarik atau kurang subsidi harga minyak naik. Tidak ada saling hubungan ke? Sudah tentu ianya saling hubungan. Kedudukan tahap subsidi minyak mempunyai kaitan langsung dengan  harga minyak di Malaysia.

Sebahagian besar rakyat memang faham, subsidi tidak memberi gambaran sebenar harga sesuatu barang dan perkhidmatan. Subsidi adalah satu dasar memberi perlindungan, menolong buat sementara akan sesuatu keadaan sebelum keadaan itu menjadi kukuh dan stabil dalam persaingan terbuka.

Cuma panggilan untuk membantu rakyat dipanggil subsidi seperti subsidi minyak ini. Bagi sektor industri dipanggil insentif dengan berbagai kaedah dan nama. Ada yang dipanggil pioneer status, capital allowance, tax holiday dan macam-macam lagi. Semuanya itu ialah bagi membantu industri berkenaan dalam memulakan dan menjalankan perusahaan mereka dengan memberikan beberapa pengecualian. Ertinya untuk membantulah. Sama dengan subsidi itu minyak kepada rakyat.

Dalam keadaan sara hidup yang meningkat ini sudah tentu rakyat, terutama yang berpendapatan rendah merasa tertekan jika harga minyak naik atau harganya lebih tinggi dari sebelum subsidi dikurangkan. Jangan cakap fasal harga pasaran dunia. Jangan bandingkan dengan harga minyak negara luar. Itu satu tindakan yang tidak adil dan tidak betul. 

Baik. Jika mahu juga bandingkan dengan negara luar misalnya Singapura bandingkan secara keseluruhan kehidupan seseorang menurut taraf kedudukan dan taraf sosial orang itu. Mudah kata, kehidupan pemandu di Malaysia dengan pemandu di Singapura (apple to apple). Agak-agak pemandu negara mana yang mempunyai kehidupan yang lebih baik

Saya pasti tanpa teragak-agak mengatakan pemandu Singapura mempunyai kehidupan yang lebih baik walaupun harga minyak di negara itu lebih tinggi berbanding dengan harga minyak di Malaysia.

Jadi Ahmad Maslan dan kerajaan jangan main silap mata.

Tentulah rakyat marah. Bila marah, bolehkah kita harap rakyat nak ucapkan terima kasih kepada kerajaan? Terima kasih secara perli, mungkin ada. Saya percaya Ahmad Maslan faham jenis terima kasih seperti ini. Lagi menyakitkan hati berbanding dengan hamburan marah secara langsung dan terang.

Makanya dari rasa amat marah yang bersebab itulah terhamburnya kata-kata yang kurang enak seperti memperkecilkan kemampuan dan kelayakan Ahmad Maslan sebagai timbalan menteri kewangan. Misalnya penggunaan perkataan 'bodoh'.  Saya pun tidak bersetuju.

Namun hal seperti itu patut boleh dijangka. Sebab cara Ahmad Maslan menggunakan hujah subsidi untuk meraih terima kasih adalah sudah jauh ketinggalan. Itu cara dulu-dulu dimana ramai rakyat Malaysia tidak tahu apa sebenarnya tanggungjawab sebuah kerajaan. Kerajaan diamanahkan untuk menguruskan WANG RAKYAT  sebaik mungkin. Bukan wang peribadi atau wang sesuatu parti. Maka rakyat ada hak untuk mendapat menfaat dari wang itu.

Ahmad Maslan pun kena ingat bahawa rakyatlah yang meletakkan beliau pada kedudukannya hari ini. Tanpa beliau dimenangkan dalam pilihanraya, beliau tidak mungkin boleh dilantik jadi seorang timbalan menteri. 

Jadi siapa sebenarnya yang sepatutnya mengucapkan terima kasih.

Maka setengah rakyat yang marah menjadi bertambah marah apabila Ahmad Maslan menggunakan hujah pemberian subsidi bagi meraih terima kasih, bukan kerajaan yang naik harga minyak, dan harga minyak negara luar adalah lebih tinggi. Saya tidak hairan ada orang yang mampu untuk mengatakan Ahmad Maslan 'bodoh', walaupun saya tidak bersetuju.

Sekarang ini Ahmad Maslan menggunakan tahap kejayaan pendidikannya dengan memperolehi CGPA 3.85 dan MBAnya bagi makluman orang yang kata dia bodoh bahawa dia tidah bodoh. Lihat saja CGPA dan MBA saya.

Pendirian saya sekarang ini telah mula bertukar dari tidak bersetuju dengan perkataan yang digunakan oleh pengkritik Ahmad Maslan itu kepada bersetuju. Seorang timbalan menteri berhujah cara begitu. "Siapa pandai. Aku dapat CGPA 3.85 dan ada MBA".

Eh apa ada kena mengena dengan punca perbalahan antara rakyat dengan Ahmad Maslan. Tidak relevant langsung.

Sesungguhnya Ahmad Maslan sudah mati hujah.  Maka dimashurkan CGPAnya, MBAnya.

Sebenarnya, pemashuran seperti itu, bukan perkara baru yang diamalkan oleh orang-orang yang sejenis dengan Ahmad Maslan apabila tidak mampu berhujah secara yang lebih sihat.  Bagi pegawai kerajaan ianya satu perkara biasa yang meloyakan. 

Saya teringat akan seseorang yang sejenis dengan Ahmad Maslan , berjawatan menteri, selalu menggunakan jawatan menterinya apabila tidak mampu berhujah secara baik dan sihat atas sesuatu pandangan atau cadangan. 

Maka kata menteri yang telah mati hujah itu,"Siapa menteri? Siapa bos? Kau ke aku?" Maka senyap sunyilah pegawai itu. Loya nak muntah.

Begitulah yang dilakukan oleh Ahmad Maslan. "Siapa kamu berbanding dengan aku., CGPA 3.85, MBAlah".

Tapi Ahmad Maslan silap odien. Beliau bukan berhadapan dengan pegawai kerajaan yang sentiasa berikrar "Saya Yang Menurut Perintah" seperti  yang dihadapi menteri yang berkenaan itu. Ahmad Maslan berhadapan dengan rakyat yang bebas memberi pandangan.

Sebab itu pengkritiknya segera bertanya sebagai reaksi kepada pemashuran CGPA dan MBAnya. "So what? Harga minyak pun tak boleh jaga. Bikin orang susah".

Harap jangan marah lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan